Jumaat, 26 Ogos 2011

Graduan PhD pensyarah, guru tingkat taraf pendidikan

Oleh Azmi Abdul Malek
upen@bharian.com.my
2011/08/26

Abidin bangga menerima Ijazah Sarjana Pendidikan (Pengurusan Pendidikan) pada Konvokesyen Ke-13, UPSI, baru-baru ini.
Abidin bangga menerima Ijazah Sarjana Pendidikan (Pengurusan Pendidikan) pada Konvokesyen Ke-13, UPSI, baru-baru ini.
TARAF pendidikan pensyarah dan guru sekolah rendah semakin meningkat apabila ramai daripada mereka memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) dan sarjana dari institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjong Malim, Perak.

Walaupun kelayakan tinggi belum tentu menjamin kenaikan pangkat dalam jangka masa pendek, namun guru berkenaan tetap cekal mendapatkan sekurang-kurangnya segulung ijazah.
Kesungguhan itu dibuktikan Pensyarah Pendidikan Guru Tawau (IPGT), Sabah, Dr Abdul Ghani Sani, 39, guru Sekolah Kebangsaan Losong, Kuala Terengganu, Abdul Rashid Ishak, 49, dan Guru Sekolah Kebangsaan Parit Baharu, Sabak Bernam, Selangor Abidin Mohamad, 47.
Sepanjang tempoh menyiapkan tugasan itu, saya terpaksa berulang-alik dari Tawau ke UPSI dan dianggarkan sejumlah RM100,000 dibelanjakan untuk itu. - Dr Abdul Ghani Sani, Pensyarah Pendidikan Guru Tawau (IPGT), Sabah
Abdul Ghani, pensyarah Jabatan Pengajian Melayu di IPGT mengambil masa lapan tahun menyiapkan tesisnya bertajuk “Deskripsi Struktur Dan Fungsi Tata Hubung Dalam Bahasa Melayu Berasaskan Kajian Teks Hikayat Abdullah Munsyi”.

Sepanjang tempoh menyiapkan tugasan itu, katanya dia terpaksa berulang-alik dari Tawau ke UPSI dan dianggarkan sejumlah RM100,000 dibelanjakan untuk itu.

Bagaimanapun, dia bertuah kerana mempunyai isteri yang juga seorang guru sekolah menengah di Kota Kinabalu, Siti Zaiton Ismail, 33, sentiasa bersama menunggunya menamatkan pengajian.

Isterinya yang turut mendapat dua kali tawaran meneruskan pengajian, bagaimanapun niat murni itu dipendamkan bagi memberi laluan kepada suami menamatkan pengajian.
“Kini saya puas kerana pengorbanan serta kesabaran ahli keluarga sepanjang lapan tahun membantu memperoleh PhD,” katanya ketika ditemui selepas menerima PhD Pendidikan Bahasa Melayu pada majlis Konvokesyen ke-13 UPSI, baru-baru ini.

Abdul Ghani, anak ketiga daripada enam beradik ditemani bapanya yang juga bekas Pengarah Muzik Polis Diraja Malaysia Kontijen Sabah, Sani Rosman, 63, ibunya Aisah Jani, 59 dan isteri.

Katanya, dia sudah mengemukakan permohonan untuk menjadi pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan berharap impian bergelar profesor satu hari nanti menjadi kenyataan.

Sementara itu Abdul Rashid, berkata dia gembira menerima Ijazah Sarjana Pendidikan (Pengurusan Pendidikan), apabila isterinya Halimah Ton Mansor, 55, Pengarah Kemas Pahang memberi sokongan ketika dia menghabiskan masa menyiapkan tugasan di UPSI.

Abdul Ghani, lulusan Ijazah Sarjana Pendidikan (Pengurusan Pendidikan), berkata dia bangga memperoleh ijazah berkenaan kerana ketika muda tidak berpeluang meneruskan pengajian.

“Sebagai anak pesawah dan keluarga hanya menyewa tapak tanah orang lain. Saya perlu memberi sepenuh perhatian kepada 10 adik beradik lain,” kata bapa kepada lima anak dan tiga daripadanya masih menuntut di IPT tempatan.

Berita Harian Online: 26 Ogos 2011

Tiada ulasan: