Jumaat, 5 Ogos 2011

Transformasi SBP mampu wujud generasi cemerlang

2011/08/05

TAHNIAH atas kejayaan Kementerian Pelajaran dalam usaha menambahkan bilangan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) kepada 62 sekarang. Usaha ini akan memberikan lebih banyak peluang kepada pelajar cemerlang meneruskan pengajian dalam suasana lebih terjamin.

Saban tahun permohonan ke SBP bertambah, iaitu 65,000 permohonan manakala tempat yang ditawarkan hanya 7,000. Sehinggakan pihak sekolah terpaksa mewujudkan temu duga dalam usaha memilih yang terbaik di kalangan terbaik.
Berikutan itu mereka yang terpilih meneruskan persekolahan ke SBP seharusnya bersyukur dengan pemilihan berkenaan. Kerajaan memberikan banyak kemudahan terbaik dari segi suasana pembelajaran sehinggalah pemberian biasiswa. Begitu juga status Sekolah Berprestasi Tinggi, rata ratanya adalah dari kelompok SBP.

Cuma apa yang menyedihkan, ada segelintir pelajar tidak tahu bersyukur atas peruntukan dan kemudahan yang diberikan kerajaan. Bagi memastikan sikap ini tidak berterusan, saya rasa transformasi perlu diwujudkan dalam bahagian SBP sendiri dalam usaha menghasilkan generasi cemerlang.

Antara yang boleh dilakukan adalah menetapkan syarat diperlukan untuk pelajar meneruskan pelajaran di SBP dengan memperkenalkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada pelajar.

Dalam dunia penuh persaingan, langkah itu diperlukan kerana ramai tidak berpeluang meneruskan pengajian bukan kerana tidak layak sebaliknya adalah kerana tempat di SBP yang terhadap. Rata-rata pengetua serta guru mahukan transformasi ini bagi memberikan peluang kepada mereka yang benar-benar cemerlang.

Guru SBP,
Kedah

Berita Harian Online: 5 Ogos 2011

Tiada ulasan: