Khamis, 18 Ogos 2011

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 hargai komitmen pendidik

Oleh Norrasyidah Arshad
upen@bharian.com.my
2011/08/18

RAHMAN menyampaikan sijil kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010, baru-baru ini.
RAHMAN menyampaikan sijil kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010, baru-baru ini.
SERAMAI 733 warga pendidik dari sekolah rendah, sekolah rendah jenis kebangsaan dan sekolah menengah di daerah ini menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 sebagai menghargai usaha, pengorbanan dan komitmen mereka dalam meningkatkan mutu pendidikan.

Penerima anugerah masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000 dan sijil penghargaan yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil di Shah Alam, baru-baru ini.
Penerima anugerah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Klang, Datin Nur Hanim Ahmad, berkata anugerah itu menyuntik semangat untuk beliau berusaha lebih gigih dalam melahirkan generasi muda cemerlang.
"Saya gembira kerana dipilih menerima anugerah ini. Memang dunia pendidikan kini semakin mencabar dan kami perlu sentiasa bergerak aktif seiring perubahan drastik berikutan perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi," katanya.

Isteri Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar yang mengajar mata pelajaran Matematik dan Fizik di sekolah itu berharap pihak atasan meneruskan pemberian anugerah sama pada masa depan.

Sementara itu, Abdul Rahman ketika berucap merasmikan majlis itu berharap anugerah berkenaan dapat dijadikan perangsang kepada semua guru lain agar terus berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan seterusnya memajukan prestasi sekolah.

"Anugerah ini bukanlah penamat kepada usaha guru mencapai kecemerlangan, sebaliknya penanda aras kepada kesungguhan dan komitmen semua warga pendidik.
"Anugerah ini patut dijadikan teras dalam usaha membentuk bangsa yang cemerlang dan gemilang serta membentuk modal insan berkualiti dan berakhlak tinggi pada masa depan," katanya.

Hadir sama, Pegawai Pelajaran Daerah Klang, Noraini Md Tahir.

Berita Harian Online: 18 Ogos 2011

1 ulasan:

guru lama berkata...

Tahniah kepada semua penerima APC tahun 2010.Tapi, persoalannya APAKAH BENAR-BENAR SEMUA PENERIMA APC adalah sebenar-benarnya telah berkhidmat dengan cemerlang??Ataukah mungkin para penerima APC hanyalah pada pandangan GB dan PK1 sahaja dan tidak melibatkan penilaian secara menyeluruh meliputi penilaian PKHEM, PK.KOKUM dan juga semua KB sekolah menengah setiap sekolah. Manakala di sekolah rendah hanya penilaian GB dan PK tanpa melibatkan PKHEM dan PKKOKUM? Jika penilaian hanya daripada 2 orang individu iaitu GB/Pengetua dan PK Pentadbiran maka sahlah bahawa Penilaian dan penerima APC adalah sebenarnya boleh dipertikaikan kerana tidak mungkin kedua-dua individu tersebut dapat menilai secara keseluruhan dari segi penglibatan dan prestasi dalam akademik, sahsiah dan kokurikulum.

Kecacatan penilaian mungkin berlaku kerana dalam borang LNPT tidak melibatkan penilaian oleh pegawai-pegawai yang lain...