Selasa, 9 Ogos 2011

Jaga ugut guru tegur anak didenda RM2,000

KUALA LUMPUR: Berang selepas mengetahui anak perempuannya ditegur, seorang bapa sanggup mengugut seorang guru dengan kata-kata ‘boleh menggunakan pistol bila-bila masa dan tidak kisah masuk penjara.’

Bagaimanapun, perbuatan Ibrahim Matering, 37, itu menerima padah apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam dan didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan mengugut secara jenayah Mohd Norizi Mohamad, 31, yang dibacakan di hadapan Majistret Hafizza Sauni.


Perbuatan itu dilakukan di Bengkel Kemahiran Hidup, Sekolah Kebangsaan Bangsar, Jalan Pantai Baharu, Bangsar di sini, pada jam 9.30 pagi, 14 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Mengikut fakta kes, Ibrahim yang bekerja sebagai pengawal keselamatan singgah ke sekolah berkenaan untuk menghantar barang yang ditinggalkan anaknya.


Kebetulan, tertuduh yang turut membawa sepucuk pistol kerana akan terus pergi bertugas selepas itu dimaklumkan bahawa seorang guru menegur anaknya.

Tertuduh kemudian bertindak melakukan ugutan jenayah dengan mendatangkan ketakutan terhadap guru berkenaan.


Terdahulu, Ibrahim yang tidak diwakili peguam merayu supaya hanya dikenakan hukuman ringan atas alasan tidak mempunyai taraf pendidikan tinggi.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Mawarni Abd Halim memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh untuk mencegah kesalahan sama.

myMetro: 9 Ogos 2011

1 ulasan:

Guru Borneo berkata...

aik denda 2 ribu jek..