Selasa, 23 Ogos 2011

Harapan Kongres

Oleh Amir Hamzah Nordin

2011/08/23

Kementerian wajar perhalusi gred, kebajikan warga pendidik

KESATUAN Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) berharap Kementerian Pelajaran dapat menambah baik laluan kerjaya perkhidmatan pendidikan dengan melakukan penstrukturan semula bagi meningkatkan semangat bekerja warga berkenaan.

Presidennya, Jemale Paiman, berkata pihaknya memohon sembilan perkara dalam meningkatkan laluan kerjaya yang lebih menarik sejajar dengan transformasi pendidikan yang sedang dijalankan sekarang.
Antaranya beliau berkata, jawatan guru besar di sekolah kurang murid (SKM) dinaikkan daripada gred DGA32 kepada DGA34 sesuai dengan perkembangan semasa.
Katanya, kini sudah ramai guru lulusan diploma berada pada Gred DGA32 secara ‘time based’ dan melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dan berada pada Gred DG41.

“Kita mahu guru besar yang berada pada gred DGA34 dinaikkan kepada DGA38. Kementerian Pelajaran juga patut memperkenal gred baru, iaitu DGA40.

“Jawatan itu perlu bagi mengisi jawatan guru besar dan pengelola cemerlang yang bertugas di pejabat pelajaran daerah (PPD), jabatan pelajaran negeri dan Kementerian Pelajaran,” katanya.

Jemale berkata, KONGRES juga berharap elaun khas perjawatan guru besar dan pengetua dinaikkan daripada RM100 kepada RM500.
Beliau yang juga Presiden Kesatuan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KGLMSM), berkata gred jawatan pegawai pelajaran daerah (PPD) yang kini pada Gred DG52 perlu diletakkan pada Gred DG54.

Katanya, ada 139 PPD di seluruh negara dan mereka seharusnya diletakkan pada gred lebih tinggi memandang bidang pentadbiran yang luas dan jumlah warga pendidik yang ramai manakala kebanyakan PPD mempunyai kelayakan akademik yang tinggi.

“Gred PPD sewajarnya lebih tinggi berbanding gred pengetua (DG52) dalam struktur pentadbiran Kementerian Pelajaran,” katanya.

Beliau berkata, KONGRES juga mencadangkan Pegawai Teknologi Pendidikan di 340 Pusat Kegiatan Guru seluruh negara yang kini pada Gred DGA32, DGA34 dan DGA38 perlu dinaikkan sehingga ke Gred DG41 dan DG52.

Katanya, Kementerian Pelajaran juga perlu meningkatkan peruntukan kewangan dalam pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) secara berperingkat-peringkat.

“Kementerian Pelajaran perlu menjaga kebajikan guru dan pegawai yang banyak mengikuti kursus KSSR dengan membayar elaun tuntutan perjalanan menghadiri program anjuran kementerian.

“Selain itu, kekosongan jawatan guru besar atau pengetua harus diisi dengan segera dan tidak terbiar kosong sehingga melebihi 60 hari kerana ini akan menjejaskan pentadbiran sekolah,” katanya.

Berita Harian Online: 23 Ogos 2011

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sepatutnya jawatan GB DGA32,34&38 dijumudkan secara berperingkat-peringkat. Pengambilan PK hendaklah dlm kalangan guru siswazah(Ex- PPPLD DG29/32) ke DG 41.(yg tahu buat kerja BUKAN spt skrg...... asal senior je lantik PK. kerja takj tau buat.)

Dgn itu, 5 thn lagi, 70& GB adalh guru siswazah yg mengajar di SR.
GB sedia ada diteruskan hinggalah pencen.

Lagi satu, pegawai di PKG tu, hantar balik ke sekolah je....

INI hanyalah cadangan shj. Memang KPM tak akan buat pun sebab mereka takda masa nak fikir hal ni.... sibuk...

bapa prihatin jelawat bachok berkata...

Penstrukturan semula laluan kerjaya Penjawat Awam yang merangkumi juga perkhidmatan pendidikan adalah langkah bijak meningkatkan mutu sistem penyampaian awam.
Di mana-mana kita melihat semangat bekerja warga Penjawat Awam semakin berkurang disebabkan kekangan dan hambatan kewangan serta ditambah dengan bebanan kerja yang semakin meningkat dan berlambak.
Apakah kerajaan mampu melayan kehendak Penjawat Awam?
Boleh baca ulasan dalam utusan Malaysia 23 ogos 2011 yang ditulis oleh Dato Salleh Majid di bawah tajuk 'Bersedia Hadapi Krisis Ekonomi'.

Tanpa Nama berkata...

Saya sangat menyokong cadangan KONGRES supaya dibuat penambahbaikan struktur pentadbiran sekolah rendah,dan PPD. Oleh kerana ramai guru yang berada di gred DG41 bahkan ada juga guru sekolah rendah yang dinaikkan ke gred DG44 maka sewajarnya gred GB di sekolah rendah dinaikan ke gred DG44 bagi sekolah ramai murid dan DG41 bagi sekolah kurang murid(GB dari Dg34 ke Dg41).Saya juga bersetuju supaya Gred PPD lebih tinggi daripada gred pengetua kerna dalam kebanyakan hal tindakan daerah PPD adalah yang paling kanan dan mempunyai kuasa penuh berbanding pengetua jadi sewajarlah gred PPD lebih tinggi dariapda pengetua.

Tanpa Nama berkata...

MAAF la. KPM belum terkifir nak menyediakan kertas kerja ke arah pelaksanaan cadangan cikgu-cikgu yg bernas ini. HARAP MAAF

Tanpa Nama berkata...

kenapa KPM tu lembabkeeeeee?kalau lembab gantilah semua yang tua-tua tu

Tanpa Nama berkata...

Dalam akhbar asyik beri jwpn yg sama je bila isu prjwtn dibangkitkan penulis.
Cubalah beri jwpn yg bernas sikit.