Isnin, 22 Ogos 2011

YGMB bantu guru lanjut pelajaran


ALIMUDDIN Mohd. Dom dan Anuwar Ali berjabat tangan selepas menandatangani MoU antara YGBM dan OUM di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Dalam usaha untuk melahirkan warga pendidik yang mempunyai tahap pendidikan tinggi selaras dengan hasrat kerajaan untuk mempertingkatkan mutu pendidikan negara, Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) mengambil inisiatif dengan menyediakan peluang melanjutkan pelajaran kepada golongan tersebut.

Peluang ini terbuka kepada semua guru di bawah Kementerian Pelajaran (KPM) untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Kedoktoran (PhD) dalam hampir kesemua bidang yang ditawarkan oleh Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

Pengerusi YGMB, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, pihaknya bersedia menawarkan pinjaman kewangan kepada golongan pendidik termasuk mereka yang berada di peringkat pengurusan untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

"Pinjaman dengan jumlah maksimum sebanyak RM30,000 akan disediakan oleh Koperasi YGMB kepada setiap ahli yang berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Alimuddin, perjanjian kerjasama dengan OUM itu sekali gus dapat membuka peluang kepada warga pendidik untuk mendapatkan pendidikan ke tahap tertinggi di samping menjaga kebajikan ahli-ahli YGMB.

"Pihak YGMB bukan sahaja menjaga kebajikan ahli-ahlinya dalam bentuk kewangan yang bersifat sementara namun kali ini fokus kepada perkara yang lebih bernilai untuk masa depan iaitu pendidikan.

"Pinjaman ini pastinya dapat membantu memudahkan lagi urusan warga pendidik kerana pelbagai kemudahan lain turut disediakan dan ia diuruskan sepenuhnya oleh pihak yayasan dan universiti," terang beliau.

Jelasnya lagi, tempat dan tenaga pengajaran bagi program pengajian di OUM juga tidak terbatas di kampus utamanya di Kuala Lumpur sahaja.

"Bagi guru-guru yang berada di luar Kuala Lumpur, tenaga pengajar dan tempat akan disediakan di lokasi berhampiran di setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

"Pendekatan ini amat membantu dalam memudahkan guru-guru yang ditempatkan di luar Kuala Lumpur untuk melanjutkan pelajaran tanpa perlu ke kampus utama OUM," ujarnya lagi.

Tambah beliau lagi, pengajian di universiti ini juga lebih kepada kaedah pembelajaran atas talian (online learning) yang tidak memerlukan para pelajar bertemu pensyarah secara bersemuka. Manakala sesi pengajian pula dijalankan pada hujung minggu sahaja.

"Oleh yang demikian, ia dapat mengelakkan aktiviti pembelajaran di universiti itu daripada mengganggu kerja-kerja harian guru di sekolah," katanya lagi.

Bagaimanapun Alimuddin memberitahu, beberapa kriteria tertentu perlu diberi pertimbangan sebelum seseorang guru itu layak untuk melanjutkan pelajarannya.

"Pihak YGMB berharap agar guru-guru yang masih belum mempunyai ijazah supaya merebut peluang ini bukan sahaja untuk meningkatkan tahap pendidikan malah sebagai salah satu cara untuk kenaikan pangkat," jelas beliau.

Pada masa yang sama, YGMB juga dalam proses untuk mengadakan kerjasama serupa dengan beberapa universiti lain seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM).

Sementara itu, Tan Sri Anuwar Ali berkata, OUM telah bersedia menerima kemasukan lebih 100,000 ahli yayasan itu dengan program yang telah diubah suai mengikut keselesaan mereka.

"Sehingga kini pihak OUM mempunyai hampir 30,000 pelajar yang telah menyambung pelajaran mereka dalam bidang pendidikan dan ini menunjukkan kepercayaan warga pendidik terhadap kemampuan kami," katanya.

Utusan Malaysia Online: 22 Ogos 2011

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

BAGUSLAH USAHA SPT INI....tapi YGMB kena buat promosi besar-besaran kerana guru-guru baru ni tak minat dgn yayasan & kesatuan sbb gaji permulaan mereka dah banyak.

Kami dulu pun macam dipaksa masuk YGMB pada tahun 98-99. Tak tahu afa fekdahnya. Skrg, baru tahu...saya dah dpt pun fekdahnya. TQ YGMB....