Jumaat, 19 Ogos 2011

6,000 guru prasekolah dilatih 2012

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Seramai 6,000 guru prasekolah akan dilatih pada tahun depan bagi merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan taman asuhan kanak-kanak dan prasekolah di negara ini bertaraf dunia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah tersebut adalah tambahan kepada 14,000 guru prasekolah sedia ada, yang telah diberi latihan sejak setahun lalu melibatkan kos RM39.5 juta.

Menurutnya, daripada sejumlah 14,000 guru prasekolah tersebut, seramai 6,580 dilatih pada 2010 yang melibatkan kos RM19 juta manakala baki 7,420 guru dilatih pada tahun ini dengan kos RM20.5 juta.

"Kemudahan fizikal yang canggih semata-mata tidak memberi jaminan ke arah merealisasikan impian kita untuk menjadikan taman asuhan kanak-kanak dan prasekolah mencapai tahap kelas pertama dan bertaraf dunia.

"Kita sebaliknya memerlukan pengasuh dan guru prasekolah yang berkaliber. Tenaga pengajar ini mesti berpengetahuan, berkemahiran, mempunyai sifat pengasih serta memiliki minda terbuka," katanya.

Beliau berucap merasmikan Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia (ECCE) di Auditorium Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri di Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Datin Fatimah Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Azmi Ariffin.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk mewujudkan satu skim khas bagi membantu kanak-kanak daripada keluarga miskin mengikuti kelas taska dan prasekolah swasta.

Bagaimanapun katanya, ketika ini bantuan khas RM150 sebulan untuk setiap kanak-kanak memang sudah diberi kepada setiap keluarga miskin yang menghantar anak mereka ke kelas taska dan prasekolah swasta.

"Kita berharap skim khas yang sedang dikaji ini bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada kanak-kanak daripada keluarga miskin tetapi turut meringankan beban keluarga yang berpendapatan sederhana rendah," katanya.

Utusan Malaysia Online: 19 Ogos 2011

Tiada ulasan: