Sabtu, 20 Ogos 2011

Pusat tuisyen didakwa sebar dakwah Kristian ditutup

KUALA LUMPUR 19 Ogos — Kementerian Pelajaran telah mengarahkan pusat tuisyen yang dikatakan menyebarkan dakwah Kristian secara halus di Jalan Klang Lama berhampiran pasar raya besar Tesco ditutup serta-merta.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ini kerana ia beroperasi secara haram ekoran tidak mempunyai permit yang sah.

Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Jabatan Agama Islam Wilaya Persekutuan (Jawi) sedang menjalankan siasatan terperinci bagi membolehkan guru pusat tuisyen tersebut diambil tindakan yang sewajarnya.

“Kita serahkan kepada polis dan Jabatan Agama untuk menjalankan siasatan kerana ia berkait dengan undang-undang negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Puad turut mendedahkan laporan awal siasatan Kementerian Pelajaran mendapati tiga murid Melayu dari Sekolah Kebangsaan Seri Setia, Jalan Kuchai Lama menghadiri kelas tuisyen yang dikendalikan secara haram itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali memaklumkan bahawa siasatan masih dijalankan oleh pihaknya.

Kata Che Mat, sebarang tindakan terhadap mana-mana pihak akan diambil berdasarkan laporan yang akan dikeluarkan oleh Jawi nanti.

Utusan Malaysia Online: 20 Ogos 2011

1 ulasan:

bapa prihatin jelawat bachok berkata...

Kementerian Pelajaran Malaysia diminta bertindak segera ke atas pusat-pusat tuisyen yang beroperasi secara haram (tidak mempunyai permit yang sah).

Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) bolehlah mengenalpasti guru-guru yang terlibat mengajar di pusat tuisyen tersebut.