Ahad, 14 Ogos 2011

Guru maut dilanggar lari

JOHOR BAHRU 13 Ogos – Seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Universiti 4 maut selepas terlibat dalam kemalangan langgar lari di Jalan Pendidikan, Taman Universiti di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 8.35 malam itu, mangsa, Khuzainah Omar, 52, dikatakan keluar dari rumahnya di Jalan Pertanian, untuk ke kedai dengan menunggang motosikal.

Bagaimanapun, motosikal jenis Suzuki yang baru dibeli mangsa bulan lalu, dipercayai bergesel dengan sebuah kereta Honda Accord berwarna biru sebelum mangsa terjatuh dan pemandu kereta bertindak melarikan diri.

Suami mangsa, Mohammad Amir Marjonid, 52, berkata, ketika kejadian dia ke masjid untuk menunaikan solat tarawih sebelum dimaklumkan kejadian tersebut oleh anak sulungnya, Khairul Bariyah, 24.

“Bila saya pergi ke tempat kejadian, keadaan dia (isteri) agak parah sebelum dia dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Bagaimanapun, doktor yang merawatnya memaklumkan isteri saya sudah meninggal dunia pukul 2.45 pagi,” katanya kepada pemberita di pekarangan bilik mayat HSA di sini, hari ini.

Mohammad Amir yang merupakan Guru Besar Sekolah Agama Taman Universiti berkata, isterinya yang mengajar subjek Bahasa Inggeris tidak menunjukkan sebarang perubahan sejak akhir-akhir ini.

Khairul Bariyah pula berkata, ibunya yang mempunyai enam anak berusia 12 hingga 24 tahun itu selalu keluar rumah menaiki kereta namun semalam, bapanya menggunakan kenderaan tersebut untuk ke masjid.

“Ibu jarang menunggang motosikal yang baru dibeli itu. Bagaimanapun, kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi dan agak terkilan kerana tidak sempat menyambut Aidilfitri bersamanya,” katanya.

Jenazah mangsa dibawa ke kampung halamannya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Masjid di Pontian sebelum solat Zohor.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, siasatan awal pihaknya tidak menolak kemungkinan insiden itu merupakan kemalangan langgar lari berdasarkan penemuan beberapa serpihan kereta di lokasi.

Utusan Malaysia Online: 14 Ogos 2011

Tiada ulasan: