Selasa, 2 Ogos 2011

Sekolah Kebangsaan Pawang Nong miliki kebun durian sendiri


IDRIS Said (kanan) menikmati durian bersama warga pendidik di Sekolah Kebangsaan Pawang Nong, Jerantut, kelmarin.


JERANTUT 1 Ogos - Setiap kali tiba musim durian, keceriaan jelas terpancar pada wajah warga Sekolah Kebangsaan (SK) Pawang Nong, Ulu Cheka, dekat sini apabila mereka dapat menikmati keenakan 'raja buah' itu secara percuma.

SK Pawang Nong merupakan satu-satu sekolah di daerah ini yang memiliki kebun durian yang mempunyai 20 pokok yang mengeluarkan hasil sejak 20 tahun lalu.

Guru besar sekolah itu, Idris Said berkata, setiap kali tiba musim durian, buah yang gugur akan dapat dinikmati oleh semua 35 guru dan 300 murid termasuk kakitangan sokongannya.

"Kami akan mengumpulkan buah durian kampung yang gugur dan mengadakan pesta makan durian bersama semua warga sekolah ini biarpun jumlahnya tidak banyak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Idris memberitahu, pokok durian tersebut ditanam sejak sekolah berkenaan dibuka dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan guru (PIBG).

"Kami sebagai generasi baru ini turut mendapat hasil dari penat lelah mereka yang terdahulu namun separuh daripada pokok durian terpaksa ditebang untuk membina bangunan baru memandangkan jumlah murid yang semakin meningkat," ujarnya.

Menurutnya, durian kampung yang ditanam mempunyai isi yang tebal dan enak hingga menjadi kegilaan warga sekolah itu.

Setiap kali tiba musim durian katanya, sekolahnya akan didatangi oleh pelawat yang ingin melihat sendiri buah durian itu.

''Bagi memastikan semua guru dan murid dapat merasai durian tersebut, kami akan memasak pulut dan bubur durian dengan mengadakan majlis khas selepas waktu persekolahan.

"Durian yang gugur akan dikutip secara bergilir-gilir oleh tukang kebun sekolah sehingga buah yang terakhir dan setakat ini belum ada kejadian curi durian di sekolah ini," jelasnya.

Utusan Malaysia Online: 2 Ogos 2011

2 ulasan:

guru berkata...

Itu pun nak ditunjukkan kah??
Mana-mana sekolah pun boleh buat kebun, ladang, kolam atau apa-apa sahaja andainya kawasan sekolah luas. Ini sekadar 13 ekar apa ada...

PemikirpolitikJerantut berkata...

Kalau dah malas nak buat tak payah nak jadikan alasan la kawasan takada la..piiirah!!!