Sabtu, 20 Ogos 2011

Guru pencen hilang sejak Rabu



KUALA NERANG - Seorang pesara guru dipercayai hilang di Bukit Kuari, Kampung Perik, dekat sini Rabu lalu dan didakwa berpunca daripada kemurungan selepas tidak mendapatkan rawatan pakar sejak tiga bulan lalu.

Azmi Sidek, 59, bekas Guru Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan Seri Bakti, Kuala Nerang hilang kira-kira jam 2 petang dan kelibat terakhirnya dilihat oleh anak bongsunya, Mohd Firdaus Azmi, 29.

Isterinya, Rodziyah Abdullah, 54, berkata, suaminya sebelum ini sering mengalami tekanan dan sering mengadu menerima beban kerja yang banyak semasa menjawat jawatan sebagai guru.

Menurutnya, suaminya yang sudah bersara sejak tiga tahun lalu sering mengadu kepadanya selain kepada dua anaknya.

“Semenjak menanggung tekanan itu, suami saya mendapatkan rawatan pakar di Jitra lebih setahun sebelum dia bersara sehinggalah tiga bulan terakhir pada tahun ini, dia bergantung kepada ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor.

“Semenjak tidak mendapatkan rawatan keadaannya masih lagi stabil walaupun kadang-kadang mengalami kemurungan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Firdaus berkata, sebelum bapanya hilang, dia sempat melihat bapanya menuju ke kawasan berhampiran kaki Bukit Kuari sebelum dia memanggil bapanya beberapa kali.

Menurutnya, bapanya sempat berpaling dan riak wajahnya seolah-olah dalam keadaan marah.

“Pada petang Rabu kira-kira jam 6 petang, seorang penduduk melihat kelibat bapa berhampiran kandang lembu di kaki Bukit Kuari sebelum dilaporkan hilang,” katanya.

Menurutnya, semasa hilang bapanya memakai kain pelikat, baju kemeja lengan panjang berwarna putih dan berkopiah putih.

Susulan kehilangan itu, satu laporan polis turut dibuat di Balai Polis Kuala Nerang dan gerakan mencari turut dilancarkan yang melibatkan polis, bomba, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan penduduk kampung.

Kepada sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi keluarga mangsa menerusi talian 019-5225578 atau menghubungi balai polis berhampiran.

Sinar Harian: 20 Ogos 2011

Tiada ulasan: