Rabu, 24 Ogos 2011

PLM mahu PPSMI dihentikan serta-merta

2011/08/24

MERUJUK kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam akhbar semalam mengenai pilihan bahasa oleh sekolah untuk mengajar sains dan matematik, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) berharap kerajaan dan Kementerian Pelajaran bertegas menolak sebarang usaha menghidupkan semula PPSMI dengan menggunakan dua bahasa iaitu sekolah tertentu diizin menggunakan bahasa Inggeris manakala sekolah lain menggunakan bahasa Melayu.

PLM tetap mahu PPSMI dihentikan. Segala usaha membina tamadun ilmu berbahasa Melayu seperti penulisan dan penerbitan ilmu sains dan teknologi terencat dengan serta-merta akibat PPSMI. Masa yang panjang perlu diambil untuk membangun tamadun atau menebus kembali masa enam tahun yang hilang ketika pelaksanaan PPSMI tetapi untuk meruntuhkan tamadun berkenaan cukup dengan hanya membuat satu keputusan.
Kesannya mungkin tidak nampak segera di depan mata bagi kebanyakan kita. Namun fenomena antara dua darjat seperti terpapar dalam filem P Ramlee akan wujud dan seterusnya dalam jangka pendek dapat dijangka bahasa Melayu akan terus terpinggir buat selama-lamanya kerana kecenderungan rakyat yang lebih terpesona dengan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu.
Akhirnya sekolah ‘bersains dan matematik’ dalam bahasa Inggeris akan menjadi kelas pertama dan rebutan berbanding sekolah ‘bersains dan matematik’ dalam bahasa Melayu yang akan terus dipinggir. Ibarat diberi betis hendakkan paha, ibu bapa dan anak akan berkejar-kejar ke sekolah sana dan akhirnya permintaan akan bertambah dan tinggallah sekumpulan kecil sekolah berbahasa Melayu.

Ketika sains, matematik dan teknologi diajar dalam bahasa Melayu di sekolah hingga di universiti sejak 1972 hingga 2002 tiada sebarang masalah kronik sehingga menggendalakan kemajuan negara ini.

Malah puluhan ribu jurutera, doktor serta profesional lain daripada pelbagai bangsa di Malaysia dilahirkan oleh universiti tempatan dan juga mereka yang lulus dari luar negara sedangkan mereka berpendidikan dalam bahasa Melayu.
PLM berharap hasil murni selama ini yang selaras dengan acuan dan jati diri negara ini tidak dihancurkan buat kali kedua yang kesannya dalam jangka panjang akan lebih parah dari segi membangun modal insan yang mempunyai roh dan jiwa Malaysia yang sejati.

KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI,
Timbalan Presiden,
Persatuan Linguistik Malaysia

Berita Harian Online: 24 Ogos 2011

Tiada ulasan: