SAYA ingin menarik perhatian pihak yang bertanggung-jawab untuk mengambil tindakan segera ke atas gejala pelajar ponteng yang berlaku di Plaza Chonglin, Kuching.
Apa yang menyedihkan, gejala ini berlaku pada setiap hari persekolahan. Hampir kesemua kumpulan pelajar ini terdiri daripada pelajar sekolah menengah yang terletak berdekatan.
Kumpulan pelajar ini dapat dilihat merokok, lepak di kedai makan atau leka bermain internet di pusat internet yang terletak di dalam bangunan tersebut dengan sewenang-wenangnya. Bahkan ada yang tidak segan silu bermesra seperti pasangan kekasih.
Amat menghairankan, bagaimana pusat internet ini boleh beroperasi dengan menjadikan para pelajar yang berpakaian sekolah sebagai pelanggan tetap mereka? Di manakah tanggung-jawab pihak berkuasa seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), polis atau pihak keselamatan bangunan berkenaan?
Saya sendiri hairan kerana gejala ini berlaku pada setiap hari dan melibatkan jumlah pelajar yang amat ramai. Tetapi ia tetap berterusan.
Komitmen pihak sekolah dalam menangani masalah ini juga dipersoalkan kerana dapat dilihat pada kebanyakan masa pintu utama sekolah tidak dikawal. Bahkan, pintu pagar dibiarkan terbuka tanpa pengawasan. Pelajar atau orang luar dapat dilihat dengan mudah sahaja untuk keluar dan masuk tanpa kebenaran. Adakah pihak guru membiarkan sahaja para pelajar ini ponteng?
Hasil tinjauan saya pada setiap hari semasa mengambil anak saya pulang dari sekolah pada sesi petang, saya juga mendapati sistem disiplin adalah terlalu longgar. Pelajar dapat dilihat dengan mudah memakai pakaian seragam yang tidak lengkap, berselipar, memakai anting-anting, berambut panjang, merayau-rayau semasa belajar dan membeli makanan di kantin sekolah pada masa yang tidak sepatutnya.
Di samping itu terdapat beberapa keputusan disiplin yang seolah-olah memihak kepada satu kaum sahaja. Oleh itu, saya memohon agar Pentadbir Sesi Petang bagi sekolah yang berkenaan bersikap lebih adil serta mesra kepada semua pelajar atau ibubapa tanpa mengira kaum dan lebih bertanggung-jawab dalam menjalankan tugas harian anda.Utusan Malaysia Online: 10 Ogos 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan