SAYA adalah salah seorang calon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) ambilan Jun 2010 di salah sebuah Institut Pendidikan Guru (IPG).
Saya mewakili rakan-rakan untuk menarik perhatian pihak berwajib mengenai urusan penempatan perkhidmatan di sekolah KPLI ambilan Jun 2010 yang masih samar-samar.
Kami telah menamatkan pengajian pada bulan Mei 2011 dan menjalani Kursus Sistem Induksi Sistem Saraan Malaysia (KISSM) pada bulan Jun 2011.
Setelah ditemu duga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) pada penghujung Jun 2011, kebanyakan kami telah diperakukan di dalam jawatan. Tetapi yang menjadi tanda tanya adalah mengenai tarikh penempatan kami ke sekolah.
Saya telah menghubungi pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) bertanyakan tarikh penempatan kami. Tetapi jawapan yang diberikan amat mendukacitakan kami.
Tarikh yang diberi oleh pegawai yang terbabit seolah-olah hanya untuk melepaskan batuk di tangga. Tarikh pertama yang diberi kepada kami adalah pada 2 Ogos 2011, kemudianya 16 September 2011. Setelah dihubungi baru-baru ini, KPM terus terang menjawab tidak tahu.
Untuk pengetahuan umum, kebanyakan calon KPLI sudah bekeluarga. Semestinya keadaan tarikh penempatan yang tidak tetap dan terumbang-ambing menjejaskan kehidupan seharian kami. Juga menjejaskan emosi para bakal guru.
Tujuan kami menulis dalam ruangan ini bukan untuk menjejaskan kredibiliti KPM dan kerajaan umumnya, tetapi inginkan penjelasan tanpa berselindung. Untuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kami meminta jasa baik pihak Tan Sri untuk melihat masalah ini dengan lebih serius.
Utusan Malaysia Online: 25 Ogos 2011
1 ulasan:
rasenye KPM tgu data dr egtukar bln sept ni..kemungkinan penempatan bln jauanri 2012
Catat Ulasan