Khamis, 20 Januari 2011

578 guru sandaran Sabah minta sambung kontrak

2011/01/20

Pengerusi GSTT dakwa sekolah hadapi kekurangan 19 guru

PUTRAJAYA: Seramai 578 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di Sabah yang tamat kontrak akhir tahun lalu mengharapkan Kementerian Pelajaran menyambung semula perkhidmatan mereka seperti dijanjikan.

Pengerusi Jawatankuasa GSTT Sabah, Norman Lantayan, berkata awal bulan lalu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi memberi jaminan kementerian tidak memberhentikan sebahagian daripada 12,000 guru terbabit yang tamat kontrak, tahun lalu.

“Bagaimanapun, sehingga kini kami belum menerima surat tawaran sambungan kontrak perkhidmatan yang menyebabkan ada sekolah kekurangan guru sehingga 19 orang,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Terdahulu, Norman bersama pemimpin GSTT Sabah menyerahkan memorandum rayuan sambungan perkhidmatan kepada Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Yusuf Haniff untuk diserahkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin di pejabatnya di sini.

Hadir sama, Exco Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa GSTT Sabah, Junaidi Paik.

Sebelum ini jawatankuasa terbabit pernah mengadakan perbincangan dengan Mohd Puad untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah mereka.
Norman berkata, penamatan kontrak GSTT di negeri itu menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran, termasuk menyebabkan kekurangan 19 guru di Sekolah Menengah Teknik (SMT) Lahad Datu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemabong, Tenom (13) dan SMK Tandek, Kota Marudu (11).

Katanya, berdasarkan maklum balas daripada pihak sekolah, GSTT komited melaksanakan tugas dan amanah mendidik untuk membantu memperkasakan pengetahuan pelajar di Sabah.

“Biarpun tidak terlatih, guru sandaran terbabit bekerja keras meningkatkan pengetahuan, termasuk menimba ilmu daripada guru berpengalaman di sekolah masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Jamawi yakin Timbalan Perdana Menteri dapat menyelesaikan masalah guru terbabit dengan mengambil kira isu kekurangan guru di sekolah yang sebelum ini menggunakan perkhidmatan mereka.

“Jasa dan sumbangan mereka banyak membantu kerajaan memperkasakan modal insan menerusi pendidikan. Komitmen tinggi mereka perlu dihargai, termasuk menerima tugasan di kawasan pedalaman yang serba kekurangan,” katanya.

Berita Harian Online: 20 Januari 2011

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya pun bersimpati... tapi rasanya kerajaan kekurangan wang skrg. Selepas di Tenang, ada 2 lagi pilihanraya. Banyak duit hendak digunakan. Mungkin harga minyak pun terpaksa dinaikkan tidak lama lagi. Harap saudara semua bersabarlah.... kami di sekolah pun, bilangan guru semakin dikecilkan, kelas walau kekurangan sorang murid pun, kelas kena bubar. Waktu mengajar pun skrg ni dah lebih 900 minit skrg ni. harap maklum.

Tanpa Nama berkata...

kekurangan wang? boleh percayakah kata2 mereka dan kerabat mereka? apabila khazanah negara dijadikan wang poket sendiri, negara secara perlahan-lahan akan menuju ke zaman kegelapan

kamanuk berkata...

Kepada tanpa nama yang memberi komen pertam tentang nasib GSTT.Kepada tanpa nama 1 buat penyelidikan sebelum membuat kenyataan yang tidak tepat terhadap keadaan sekolah. Saya sudah 23 tahun mengajar tapi belum pernah dengar bilangan guru dikurangkan. Tidak pernah dan tidak akan berlaku. Ketiadaan GSTT itu bukan bermakna saiz bil guru di sekolah dikecilkan. Tidak pernah berlaku pembuangan guru terlatih kerna masalah wang kerajaan. Kalau ada pun GT yang dibuang itu disebabkan masalah disiplin guru terlibat. Jadi, tidak logik dan bohonglah kalau saiz guru di sekolah dikecil. Kalau Pengetua atau GB yang buat begitu bermakna ketua tu tidak tahu dasar kerajaan jadi main hentam sahaja.

Saya amat bersimpati dengan kawan-kawan GSTT yang belum dapat penyambungan. Betul dan tepat bahawa GSTT menjalankan tugas dengan lebih baik malah ada yang lebih baik daripada GT. Mereka sangat komited menjalankan tugas.

Tanpa Nama berkata...

KAMANUK... 23 thn jadi guru?????susah nak cakap kalau isu ABM pun tak faham

Tanpa Nama berkata...

Orang yang tiada perasaan manusia sahaja yang sanggup membuang guru tanpa sebab.

Sekarang ini pengambilan guru masuk ke Kursus KPLI bukan mengikut kebolehan atau pengalaman tapi kau siapa....Saya ada GSTT yang sudah 5 tahun mengajar sebagai GSTT dan setiap tahun tidak lupa mengisi borang masuk ke Kursus KPLI tapi jawapan yang diterima dukacita. Tetapi ada pula kawan GSTT yang baru mengajar 1 tahun ,pertama kali memohon kursus KPLI terus dapat masuk..Jadi inilah menjadi pertikaian bukan sahaja kepada GSTT malah kepada semua orang yang waras..

JAWAPAN..KABEL..KABEL....SAUDARAKU...KAU BUKAN SAUDARAKU JADI NANTILAH ...KALAU PELUANG YANG LAIN...