Oleh Hassan Omar
2011/01/24
KOTA KINABALU: Suara bisikan yang menusuk telinga guru lelaki dikatakan menjadi punca dia mengamuk menggunakan pedang samurai menyebabkan 14 guru termasuk dua wanita terpaksa menyembunyikan diri dalam hutan paya bakau di Kampung Sabur, Pulau Banggi dekat Kudat, kira-kira 300 kilometer dari sini, tengah malam Selasa lalu.Suara itu dikatakan mengarahkan suspek berusia 30 tahun itu mencederakan orang di sekelilingnya termasuk rakan setugasnya selain memarahi suspek kerana terus berkhidmat di kampung terpencil itu sedangkan dia sepatutnya sudah dibenar berpindah ke bandar.
Selepas berkhidmat lapan tahun di Sekolah Kebangsaan (SK) Sabur yang hanya mampu dikunjungi menggunakan perahu atau bot serta tiada kemudahan bekalan air dan tenaga elektrik, suara berkenaan dikatakan menghasut suspek berpindah kerana sekolah itu kononnya tidak sesuai lagi untuk suspek.
Sumber berkata, hanya selepas tiga hari ditahan reman, suspek menjelaskan punca dia mengamuk mengggunakan pedang samurai hingga rakan setugasnya bertempiaran lari dalam kegelapan malam dan meredah hutan paya bakau.
“Suspek mendakwa suara perempuan itu mengganggunya sejak beberapa minggu lalu menyebabkan dia tidak tahan lalu mengamuk,” katanya ketika dihubungi, di Kudat semalam.
Banggi dengan keluasan 432 kilometer persegi adalah pulau terbesar di Malaysia yang boleh dikunjungi dengan menaiki feri dari Kudat dengan tempoh perjalanan satu setengah jam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam 18 Januari lalu, 14 guru bertarung dengan nyamuk dan pacat kira-kira 11 jam dalam hutan paya bakau ketika bersembunyi daripada suspek.
Seramai 12 guru lelaki yang mengajar di sekolah itu antara dua hingga 10 tahun, serta dua guru wanita yang baru berpindah sebulan lalu, sedang tidur sebelum dikejutkan dengan hentakan kuat pada dinding dan pintu, selain pekikan suspek.
Mereka melompat keluar dari rumah papan setinggi kira-kira dua meter untuk melarikan diri ke hutan paya bakau dan keluar apabila polis tiba jam 12 tengah hari.
Sumber berkata, reman suspek berakhir esok dan Mahkamah Majistret Kudat bakal menentukan sama ada suspek diarah menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Mesra Bukit Padang.
Berita Harian Online: 24 Januari 2011
2 ulasan:
apabila seorang guru terlalu lama di sesuatu tempat tu mcm ni la jadinye.
patutnya KPM buat rotation 5 thn sekali diposting semula
tanpa nama berbisik..
bukan masalah KPM sebenarnya..stres boleh jadi sebab faktor masalah keluarga,kewangan,persekitaran,carahidup,budaya dan pergaulan. elakan sikap suka menyendiri dan buruk sangka dengan orang lain..sentiasalah berfikran positif dan terbuka..
Catat Ulasan