Khamis, 6 Januari 2011

Guru sandaran rayu sambung kontrak



Sebahagian daripada guru sandaran tidak terlatih (GSTT) menunjukkan berita mengenai nasib mereka selepas tidak disambung tugas sebagai guru walaupun ada kenyataan pihak tertentu mengekalkan jawatan itu di Kangar, semalam.


KANGAR 5 Jan. - Harapan sekumpulan guru sandaran tidak terlatih (GSTT) di negeri ini untuk sentiasa bergelar guru musnah setelah ditamatkan kontrak perkhidmatan walaupun ada di antara mereka pernah mengharumkan nama sekolah.

Lebih menyedihkan, mereka sudah lima kali membuat permohonan untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) namun jawapan yang diterima mengecewakan.

Ada di antara mereka yang telah menjadi GSTT sejak tiga tahun lalu malah mereka merupakan antara GSTT yang tidak pernah merungut untuk berkhidmat sebagai pendidik walaupun pada cuti sekolah.

Sehubungan itu, mereka merayu Kementerian Pelajaran untuk menyambung khidmat mereka dan mempermudahkan pengambilan KPLI dan DPLI dengan mengutamakan GSTT yang telah mempunyai banyak pengalaman mengajar.

Menurut GSST berkenaan iaitu Suriani Shahidan, 27; Aznida Hassan, 26; Habibah Saad, 29; Haniza Hashim, 26; dan Tarmizi Shukeri, 28; pengalaman menjadi guru amat bernilai dan mereka berharap dapat meneruskan profesion tersebut.

"Kami bukan tidak mahu mencari kerja lain namun jiwa kami telah sebati dengan tugas mendidik malah kami pernah memohon Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan sekolah swasta namun tiada jawapan," kata mereka kepada pemberita di sini hari ini.

Mereka merupakan antara GSTT yang sangat meminati bidang pendidikan malah sanggup dihantar ke kawasan pedalaman di negara ini untuk menjadi guru.

"Kami bukan berjanji kerana belum dapat jawatan ini, tetapi memang kami menyintai bidang perguruan malah kami tidak kisah jika dihantar ke mana sahaja walaupun ke Sabah atau Sarawak."

"Sekali kami dipanggil cikgu biarlah selama-lamanya kami dipanggil cikgu juga," ujar mereka.

Mereka juga berharap agar dapat diterima masuk mengikuti kursus berkenaan dalam tempoh yang terdekat memandangkan usia mereka menghampiri had umur kelayakan memohon kursus itu.

Bagi Tarmizi, kejayaannya mengharumkan nama sekolah dalam sukan bola tampar merupakan saat yang paling manis dalam hidupnya.

Dia yang menjadi jurulatih sukan berkenaan untuk kategori bawah 18 tahun dan bawah 16 tahun berjaya menempatkan sekolah itu di tempat ketiga dan kedua pada Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Perlis (MSSPs) tahun lalu.

"Malah dua pelajar sekolah berkenaan telah dipanggil untuk mengikuti Latihan Pembangunan Bola tampar Perlis kerana kejayaan sekolah justeru saya sangat berharap ada pihak yang menghargai usaha saya dan rakan-rakan dengan menerima kami sebagai guru tetap," katanya.

Utusan Malaysia Online: 6 Januari 2010

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kontrak saya juga tidak disambung walaupun punya sijil guru sandaran komited 2010...masih menanti

Tanpa Nama berkata...

sampai sekarang kontrak sebilangan besar gstt masih belum disambung.. sangat sedih n kecewa dengan tindakan KPM yg tidak memberikan kami peluang. sedangkan kami gstt sgt2 menghargai jawatan kami sbg seorg pendidik..