Oleh Mohd Feroz Abu Bakar, Mohd Idris Sulaiman, Hazwan Faisal Mohamad dan Shah Che Ahmad upen@bharian.com.my
2011/01/30
Perancangan rapi mudahkan pelaksanaan KSSR SELEPAS empat minggu sesi baru persekolahan bermula, pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) berjalan lancar. Tinjauan Berita Harian di beberapa sekolah dan makluman Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menunjukkan tidak banyak rungutan sama ada daripada guru, murid atau ibu bapa.
Ini berikutan perancangan teliti Kementerian Pelajaran ketika menggubal, melatih guru dan melaksanakan sukatan serta kaedah pengajaran dan pembelajaran yang inovatif itu.
Namun, katanya, ada penjaga mempersoal tindakan sesetengah sekolah yang hanya menawarkan satu mata pelajaran elektif iaitu Bahasa Arab menyebabkan murid tiada pilihan.
“Secara idealnya, murid keturunan India atau Cina berhak mempelajari bahasa ibunda mereka. Pengenalan subjek elektif bahasa juga menggalakkan ibu bapa India dan Cina menghantar anak ke sekolah kebangsaan dan ini baik untuk perpaduan,” katanya.
Antara elemen baru yang dimasukkan dalam KSSR ialah Pendidikan Kesihatan, Reproduktif dan Sosial dalam subjek Pendidikan Kesihatan di bawah Modul Teras Asas bagi Tahap Satu (Tahun Satu hingga Tiga).
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Tiram, Lekir, Sitiawan, Perak, Rosnaini Hashim, berkata elemen perkembangan manusia itu bermaksud pendedahan mengenai pengetahuan sistem reproduktif manusia manakala perhubungan (sosial) mendedahkan sifat kasih sayang dan persahabatan.
Katanya, pendedahan mengenai perkahwinan dan kekeluargaan yang merangkumi tanggungjawab sepanjang hayat sebagai ibu bapa turut diajar kepada murid, manakala kebolehan untuk membuat keputusan pula menjadi pengisian kepada tunjang kemahiran kendiri.
“Kesihatan dan tingkah laku seksual menyentuh amalan seks sepanjang kehidupan, kaedah mengelak hubungan seksual, fantasi, kehamilan, penyakit seksual berjangkit, HIV dan Aids manakala masyarakat dan budaya pula menyentuh isu seks dan masyarakat. Hal berkaitan perundangan turut diberi penekanan.
“Stigma masyarakat yang menganggap pendidikan seks tidak sesuai untuk golongan bawah umur harus dikikis supaya pemahaman asas itu dapat diserap kanak-kanak seterusnya mendidik mereka dengan betul,” katanya.
Rosnaini berkata, pendedahan awal seperti ini perlu bagi perkembangan mental kanak-kanak agar mereka membesar dengan pengetahuan penting yang diperlukan dan seterusnya mampu menghindari mereka daripada gejala sosial.
Beliau berkata, guru yang terbabit untuk pengajaran subjek berkenaan diberi kursus, manakala bahan pengajaran disediakan bagi memudahkan murid.
Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Zakaria Kasa, berkata topik Pendidikan Kesihatan, Reproduktif dan Sosial dalam KSSR berjaya mengurangkan kegusaran ibu bapa yang sebelum dikatakan menentang pendidikan seks di sekolah.
“Ibu bapa diberi persediaan mental bahawa elemen ini bukan mengajar seks tetapi lebih kepada aspek kesihatan diri dan sosial,” katanya.
Menyokong dasar pendidikan baru itu, Guru Besar SK Bukit Damansara, Zarina Jamil, berkata KSSR bersifat lebih menyeluruh daripada sukatan kurikulum sebelum ini kerana KSSR bukan saja cuba menerapkan aspek pendidikan akademik, malah kemahiran dan penaakulan maklumat.
KSSR, katanya, sesuai dengan murid yang kini lebih aktif dan pintar di samping bersemangat untuk belajar.
“KSSR merangkumi semua aspek pembelajaran, selain memastikan kecemerlangan murid dalam pendidikan. Kurikulum terbaru ini turut melatih kemahiran insaniah murid sejak kecil.
“Sesetengah masa mata pelajaran kelas dikurangkan manakala diselitkan dengan subjek berbentuk kemahiran,” katanya di Kuala Lumpur, baru-baru ini .
Beliau berkata, sukatan kemahiran yang diperkenalkan dalam KSSR termasuk komunikasi, Sains dan Teknologi, kerohanian, kemanusiaan, ketrampilan diri dan perkembangan fizikal.
Zarina berkata, murid didedahkan dengan asas teknologi maklumat (IT) dalam mata pelajaran Sains dan Teknologi bagi membuka minda mereka celik IT dan berfikiran lebih saintifik manakala tambahan penghayatan amalan agama, sikap dan nilai dalam subjek keterampilan diri.
“Murid berpeluang memilih bahasa diminati sama ada Bahasa Cina, Tamil dan Arab dalam subjek elektif bagi penguasaan bahasa dalam kemahiran berkomunikasi,” katanya.
Zarina berkata, hampir semua guru Tahun Satu sekolah itu menghadiri kursus KSSR anjuran Kementerian Pelajaran tahun lalu.
Berita Harian Online: 31 Januari 2011
3 ulasan:
murid Tahun 1 mana tahu apa itu Reproduktif.Memang tiada masalah sebab tahap pemikiran mereka belum sampai ke situ ...Ngol...
Tajuk Sistem Reproduktif ini pun hanya diajar di T4 dan T5
Sistem Reproduktif hanya di ajar di Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 bukan T4 dan T6..Sorry
ya..tiada masalah lagi.tunggulah beberapa tahun lagi...jangan terkezutttt andai nanti mereka nak beli konxxx di kedai
Catat Ulasan