Ahad, 23 Januari 2011

Ponteng sekolah sebab cikgu tak mengajar

1
BERSEKOLAH pada hari Sabtu bukan berita gembira bagi murid dan juga ibu bapa. Guru-guru tak tahulah pula. Selepas lima hari bekerja dan bersekolah, kehadiran Sabtu dan Ahad sememangnya ditunggu-tunggu. Itulah hari untuk membasuh baju sekolah, kasut sekolah, bangun sedikit lewat berbanding hari biasa. Bila dapat pekeliling anak-anak perlu bersekolah pada Sabtu ada yang kelat wajah. Anak-anak apatah lagi, liat semacam terutama jika tahu telah ada perancangan untuk ke mana-mana.

Seorang teman menitip catatan sekolah hari Sabtu di Facebooknya. Dia yang juga seorang guru bertanya mungkinkah sekolah hari Sabtu ganti cuti Tahun Baru Cina akan mengulangi sejarah satu kelas satu murid. Satu guru mengajar satu murid.

Sebagai guru, tentunya sahabat itu amat arif perihal kehadiran murid setiap kali sekolah ganti diadakan pada Sabtu. Pasti kelas yang selalunya penuh dan riuh dengan pelbagai tata laku murid-murid agak sepi lantaran ramai yang ponteng. Ada ibu-bapa yang sengaja tidak mahu anaknya ke sekolah pada hari Sabtu. Alasannya mudah, mahu mencuci baju sekolah sekali gus pada pagi Sabtu. Lalu anak-anaknya diberi ‘pengecualian’ hadir ke sekolah atas alasan itu.

Ada juga murid tidak ke sekolah pada hari Sabtu kerana terikat dengan jadual ibu bapa. Oleh kerana ibu bapa telah membuat perancangan awal untuk bercuti atau menghadiri kenduri kahwin dan pelbagai majlis lagi, maka anak-anak terpaksa akur.

Boleh saja diandaikan ramai ibu bapa yang tidak peka tentang sekolah ganti pada hari Sabtu. Ada juga yang merungut setiap kali dimaklumkan tentang jadual persekolahan pada Sabtu. Bagi mereka cukuplah lima hari anak-anak bersekolah pagi dan petang (belum dicampur tuisyen pada waktu malam). Sabtu dan Ahad bagi kebanyakan ibu bapa adalah masa untuk bersama anak-anak biar pun dalam keadaan mana sekali pun. Kalau diberi cuti maka jangan minta diganti, kata mereka.

Mengajar

Ada juga ibu bapa yang berdisiplin mengikuti arahan sekolah atau pihak kementerian. Maka ‘berperanglah’ memujuk anak-anak bersekolah pada pagi Sabtu. Bukan mudah menyakinkan anak supaya bersekolah pada hari Sabtu. Apatah lagi jika adik beradik yang bersekolah di tempat lain tidak bersekolah. Mereka (anak-anak) ada alasan tersendiri untuk ponteng kelas. Alasan yang sering diberi cikgu tak mengajar. Kalau masuk kelas pun cikgu suruh buat kerja sendiri. Bila buat kerja sendiri faham-fahamlah, tentu ada rasa bosan. Nak buat bising takut cikgu ada di depan, nak baca buku, semestinya bukan itu pilihan mereka. Lalu apabila disuruh ke sekolah pada hari Sabtu tentu alasan tersebut meniti di bibir anak-anak. Ibu bapa pula apabila dengar cikgu tidak mengajar dan anak-anak tidak diajar maka cairlah hati mereka. Lalu termeterailah persetujuan bersama mengizinkan anak ponteng sekolah walaupun secara diam.

Yang pasti bersekolah pada Sabtu bagi menggantikan cuti peristiwa yang diambil oleh sekolah untuk menyambung cuti pendek sememangnya perlu. Tetapi sebagai guru yang berhadapan dengan cabaran dunia inovatif dan kreatif, apa kata wujudkan sedikit kelainan bagi hari persekolahan setiap Sabtu. Selain aktiviti biasa seperti merentas desa atau bersukan, tidak salah jika Sabtu dijadikan hari untuk mengenali alam semula jadi tanpa perlu pergi jauh. Jadikan kawasan sekeliling sekolah untuk bercakap tentang keindahan alam, pencemaran, kebersihan dan keselamatan. Aktiviti berkumpulan yang mencabar minda murid-murid sekali gus memberi nafas baru dalam pembelajaran secara tidak formal mesti dicetuskan oleh guru-guru. Apa kata Sabtu juga dijadikan hari untuk mengeratkan hubungan warga sekolah dengan penduduk di kawasan kejiranan terdekat. Terap nilai-nilai kejiranan, saling bantu-membantu, bekerjasama dan kenal-mengenali supaya persekolahan hari Sabtu menjadi umpama acara yang ditunggu-tunggu.

2
Bagi yang mengikuti kisah seorang pembaca yang terpaksa turun naik pejabat tanah dari Seremban ke Putrajaya dua minggu lepas, tentu tertanya-tanya apa kesudahannya.

Dalam luahan terbarunya, dia memberitahu akhirnya ‘nasib’ geran rumah ibu mertuanya diserahkan ke tangan peguam.

‘‘Sebabnya selepas pergi ke pejabat Tanah Seremban, saya diminta merujuk perkara itu kepada Wisma Persekutuan. Proses itu tidak berakhir di situ. Saya diberitahu selepas ke Wisma Persekutuan, saya kena kembali ke pejabat tanah dan ke Putrajaya semula.

‘‘Terlalu banyak ‘selepas itu’ dan ‘selepas itu’, menyebabkan saya jeran mahu mengunjungi pejabat-pejabat yang berkaitan dengan tuntutan geran rumah ibu mertuanya.

Berulang-alik

‘‘Bayangkan saya yang mempunyai sedikit wang berlebihan boleh menggunakan khidmat peguam untuk menyelesaikan masalah tersebut. Tetapi bagaimana pula orang susah atau orang kampung yang terpaksa berulang-alik ke pejabat-pejabat berkenaan yang bukan terletak di dalam satu negeri.

‘‘Apa jadi dengan kerja mereka? Bagaimana pula duit minyak dan tol untuk berulang-alik ke Putrajaya? Siapa pula yang hendak menguruskan anak-anak mereka? Adakah berbaloi berulang-alik tanpa mengetahui bilakah perkara tersebut dapat diselesaikan.

‘‘Saya juga tertanya-tanya sampai bila jabatan kerajaan masih terikat dan diikat dengan kerenah birokrasi ciptaan manusia. Jika Piagam Pelanggan menuntut segala urusan berkepentingan orang ramai diselesaikan secepat mungkin dengan mengetepikan kerenah birokrasi, kenapa pula kakitangan awam masih bersikap sambil lewa.

‘‘Adakah kerana saya rakyat marhaen maka mereka tidak kisah untuk buat begitu.’’

Utusan Malaysia Online: 23 Januari 2011

5 ulasan:

Cowboy Kg berkata...

glasteduPihak Menteri Pelajaran kena peka permintaan ibubapa supaya anak-anak mereka diberikan rehat yang cukup. Ramai ibubapa merunggut anak mereka pulang rumah terus tidur kerana terlalu penat. Kerja-kerja rumah yang sepatutnya mereka buat seperti membantu ibubapa memasak, membersihkan rumah, dan mengurus adik-adik tidak dapat di buat kerana tiada masa,penat bahkan ada anak yang sampai sakit kerana tidak cukup rehat.

Saya sebagai guru juga rasa terpanggil menyatakan situasi pelajar khususnya apabila berada di sekolah satu sesi yang kena balik sampai jam 3 petang. Bayangkanlah kesukaran anak-anak yang pulang jauh dan terpaksa menumpang. Ada antara mereka yang sampai ke rumah lewat petang jam 5.00, jam6.00 bahkan ada yang sampai ke rumah sekitar jam 7.00 petang. Bagi keadaan di Semenanjung jam 7 itu masih siang, jam 5.00 petang itu masih panas tapi berlainan keadaan bagi Sabah dan Sarawak. Disini jam 5.00 petang sama seperti jam 7.30petang di Semenanjung. Pihak Jabatan Pelajaran Negeri Sabah sepatutnya peka dengan masa pulang ini jangan terikut-ikut dengan keadaan di Semenanjung kerana masa di sana jauh berbeza berbanding di Sabah dan Sarawak.

Saya melihat pelajar terlalu penat dan hilang minat belajar apabila masuk ke jam 2.00 petang apa lagi masuk ke jam 3.00 petang mereka langsung tidak berminat jadi apa yang kami buat ialah memberikan kerja yang dapatt mengurangkan rasa mengantuk mereka.Namun begitu kerja-kerja yang kami suruh kurang membantu sebaliknya mereka rasa penat. Bukan soal kerja tidak menarik tapi mereka memang sudah penat. Bayangkan mereka bergerak dari rumah seawal jam 5 pagi kerana kenderaan yang mereka tumpangi kena jalan awal disebabkan jarak dari rumah ke sekolah sangat jauh ditambah pula dengan keadaan jalan raya yang rosak teruk dan hanya ditabur dengan batu sungai sahaja malah ada jalan yang langsung tidak berbatu.

Untuk pengetahuan kawan-kawan guru di Semenanjung jalan-jalan di Sabah memang sangat teruk kebanyakan jalan-jalan kampung tidak berturap malah berlobang.

Jadi sebenarnya sekolah satu sesi tidak sesuai bagi sekolah-sekolah luar bandar ini ditambah pula dengan kelas tambahan hari Sabtu.

Saya mintalah pihak yang berwajib bila merancang dan mencadangkan sesuatu program seperti menjadikan sekolah satu sesi yang semua pelajar balik seawal-awalnya jam 3 petang cobalah buat pemantauan dahulu. Jangan minta laporan dari Pengetua atau Guru besar sahaja tapi mintalah pendapat dari semua guru-guru yang terlibat. Pegawai-pegawai di pejabat mana tahu keperluan sekolah,keperluan pelajar kerena mereka sudah bertahun-tahun tidak berada di sekolah.

Tanpa Nama berkata...

Saya sangat bersetuju. Zaman skrg, sekolah 1 sesi patut diutamakan.

Bina sekolah baharu yg lebih besar. Biar kita berbelanja besar demi tuk pendidikan masa depan anak bangsa. jangan bagi alasan "MASALAH KEWANGAN".


Hapuskan sekolah 2 sesi secara beransur-ansur.

Tanpa Nama berkata...

Memang ada cikgu yg begitu, alasannya budak dah besar dan mereka sepatutnya sudah faham untuk menentukan masa depan. Satu lagi mengapa surat kebenaran murid untuk menyertai sebarang aktiviti sekolah seolah-olah mandatori, sebab dalam borang itu tiada pilihan bagi ibu bapa yang tidak membenarkan anak mengikuti aktiviti lasak kerana ada masalah kesihatan. Surat doktor dah ada.

Tanpa Nama berkata...

Susah nak melayan manusia ni ... Macam2 kerenah. Cuti perayaan yg pendek kata tidak kesempatan nak jumpa keluarga di kampung? Kena sekolah ganti pun masalah juga. Payah-payah, buat sekolah sendirilah, ajar sendiri. Dulu masa saya sekolah tak ada cuti ganti ni, tak perlu cuti panjang sempena perayaan. Cuti sekolah kan ada untuk balik kampung atau jalan-jalan cari makan bersama keluarga.

Tanpa Nama berkata...

Zaman dulu lain bang....la ni lain....