Selasa, 16 Ogos 2011

Buli bukan demam

Oleh Mohd Sah Muda
am@hmetro.com.my

PRIHATIN...kakitangan Baitulmal Pejabat Agama Mersing menyerahkan sumbangan kepada bapa Amirul.
PRIHATIN...kakitangan Baitulmal Pejabat Agama Mersing menyerahkan sumbangan kepada bapa Amirul.

MERSING: Selepas sedar daripada koma selama dua bulan, baru ibu bapa seorang pelajar tingkatkan tiga sebuah sekolah menengah di Rompin, Pahang mengetahui anak mereka tidak sedarkan diri kerana urat saraf di lehernya terputus dipercayai akibat dipukul menggunakan objek keras oleh pelajar senior dan mangsa kini kemungkinan lumpuh.

Mohamad Amirul Abdul Rahim yang koma di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru sedar semula pada 8 Ogos lalu dan apabila ditanya ibu bapanya mengenai kejadian dia terjatuh dalam dewan ketika menduduki peperiksaan pada 23 Mei lalu, dia mendakwa dibuli enam pelajar senior yang memukulnya dengan objek keras sama ada kayu atau batu.


Ketika kejadian kira-kira jam 12 tengah hari pada 23 Mei lalu, Mohamad Amirul menduduki peperiksaan percubaan kertas Bahasa Melayu untuk Penilaian Menengah Rendah (PMR) apabila tiba-tiba terjatuh di dalam dewan dan tidak sedarkan diri.

Warden Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Gemuk, Rompin, menghantarnya ke Klinik Tanjung Gemuk sebelum doktor mengesahkan dia demam panas.


Bapa mangsa, Abdul Rahim Aris, 57, berkata sebelum itu, warden sekolah menghubunginya memaklumkan anak ketiga daripada enam beradik itu terjatuh mungkin kerana demam teruk.


“Saya tidak puas hati dengan penjelasan warden serta doktor, tetapi ketika itu Amirul koma lalu kami menghantarnya ke Hospital Mersing sebelum dirujuk ke HSI.

“Di HSI, Amirul dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lebih mengejutkan kami sekeluarga, pakar HSI mendapati urat saraf Amirul putus dan perlu menjalani pembedahan di lehernya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Wawasan di sini, semalam.


Ibu mangsa, Normah Jayapetri@Aziz, 42, berkata, dia dapat bercakap dengan anaknya itu selepas Amirul sedar daripada koma pada 8 Ogos lalu.

“Saya bertanyakan Amirul apa yang berlaku dan dia memberitahu dipukul seniornya dengan objek keras sama ada kayu atau batu.


“Kami kesal dengan kejadian yang menimpa Amirul dan lebih membimbangkan ialah masa depannya kerana berdasarkan penjelasan doktor, dia mungkin lumpuh kerana urat saraf berkenaan putus,” katanya.


Pada masa sama, Normah serta suami kesal dengan sikap kakitangan perubatan klinik yang mengatakan Amirul demam panas sedangkan pemeriksaan di HSI mendapati terdapat kesan dipukul di bahagian kanan dan kiri kepalanya.


Menurut Normah, suaminya membuat laporan di Balai Polis Majidee, Johor Bahru pada 9 Ogos lalu. Pada masa sama, menurut Normah, suaminya yang merujuk perkara terbabit kepada pengurusan sekolah Amirul dan dimaklumkan mereka menyiasat kes berkenaan.


“Kami harap Amirul mendapat pembelaan sewajarnya daripada pengurusan sekolah serta polis dan pelajar yang melakukan perkara terbabit perlu dikenakan hukuman setimpal,” katanya.


Sementara itu, sumber polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.


“Kami masih menyiasat kes berkenaan dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitannya,” katanya enggan mengulas lanjut.

myMetro: 16 Ogos 2011

1 ulasan:

bapa prihatin jelawat bachok berkata...

Harapan setiap ibubapa, anak-anak mereka selamat ketika berada di sekolah.
Pihak sekolah pula perlu memastikan setiap pelajar mereka selamat ketika berada di dalam premis sekolah.

Perkara keselamatan pelajar perlu diutamakan oleh pihak Pengurusan Sekolah disamping kecemerlangan akademik dan sakhsiah.
Oleh kerana kes ini sudah dilapor PDRM, kita tunggu keputusan siasatan.