Oleh Hanizam Abdullah
2011/08/07
NIAT memang baik tetapi ada kalanya orang curiga dan tak boleh terima. Biasalah, penawar bagi kita mungkin racun bagi yang lain pula. Mungkin itu yang berlaku apabila 33 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru UDA, Johor Bahru mendakwa dipaksa membotakkan kepala ketika mengikuti kem motivasi di Pusat Latihan Penjara Kluang, Johor baru-baru ini. Al-kisahnya, mereka juga kononnya dipukul, ditumbuk dan diherdik dengan kata-kata kesat dan diperlakukan seperti banduan sedangkan mereka sepatutnya didedahkan dengan kehidupan insan pagar kawad berduri melalui program Price of Freedom.Jumaat lalu, berita itu dinafikan pihak Jabatan Penjara selepas menjalankan siasatan dalaman, tiada sebarang ‘sentuhan badan’ dengan pelajar itu kecuali ketika proses simulasi. Ada yang ditepuk belakang tetapi kata pihak penjara ia sekadar nasihat kepada mereka supaya jangan sesekali terjerumus dalam kegiatan jenayah dan tak bermoral. Anehnya, sejak terbongkarnya insiden itu, ramai pula bekas peserta program itu tampil membuat kenyataan mereka juga pernah diperlakukan sebegitu, sehingga kononnya ada masih trauma dan berpendapat program itu tidak langsung memanfaatkan mereka.
Mendidik anak bukan semudah membaca ABC. Apatah lagi dalam zaman serba mencabar ini, cara didikan ibu bapa zaman dulu dan kini bagai langit dengan bumi. Ibu bapa selalunya sibuk memanjang memenuhi tuntutan kerja sehingga apabila tiba bab anak seperti tak kuasa kerana tak cukup masa. Maaflah, teman hendak angkat bendera tanda bersalah kerana tak pernah sekali pun hadir mesyuarat PIBG sedangkan banyak perkara yang mahu dikongsi. Alasan klise, sibuk, mesyuarat di pejabat dan 1001 sebab musabab. Paling tidak pun, teman ke sekolah sempena hari terbuka, itu pun mengambil laporan prestasi akademik anak atau ketika telefon bimbitnya dirampas.
Jumpa cikgu, baru dapat tahu kerenah si manja. Merah juga muka yang tak berapa nak putih ini apabila dengan selamba cikgu bertanya, “Dia lewat tidur ke sebab selalu tertidur dalam kelas?” Selamba juga teman jawab, “Ya Cikgu... selalu main SMS dalam selimut!” Itu baru perkara kecil yang ibu bapa dapat diselongkar. Biasalah anak kalau depan kita memang pijak semut pun tak mati tetapi di belakang kita semut tengok pun lari. Tak mustahil ada yang bukan setakat kaki ponteng dan perokok tegar tetapi juga kaki buli. Apa nak jadi kalau kecil lagi sudah pandai membuli, bayangkan apabila sudah besar panjang.
Bukan sesuatu yang asing bagi teman melihat pelajar yang tukar arah sebaik saja dihantar ke sekolah. Mati-matilah ibu bapa itu ingat mereka masuk bilik darjah, sedangkan mereka buat benda tak semenggah. Selamba saja mereka menuju arah yang bertentangan dengan pintu pagar sekolah dan sebaliknya menuju ke pusat beli-belah. Ada juga yang sebaik saja melangkah keluar kawasan sekolah terus mengeluarkan kotak rokok sambil ketawa mengilai. Lagak mereka seperti keluar dari kelab malam. Teman urut dada sambil berdoa agar dihindari daripada menghadapi situasi sebegini.
Pihak sekolah pun resah gelisah kerana dibebankan tugas semakin mencabar. Kisah di SMK Bandar Baru UDA itu contoh klasik. Mungkin tenaga pengajarnya sudah buntu mencari jalan penyelesaian masalah disiplin pelajar. Lalu perkara ini dibawa dalam mesyuarat PIBG. Namun apa yang berlaku lain pula. Itulah teman kata, penawar bagi kita mungkin jadi racun bagi sesetengah orang. Teman amat berharap program sebegini dapat diteruskan tetapi perlu diawasi dan dipinda modulnya dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian.
Seperti juga apabila kerajaan mewujudkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Sejak diperkenalkan tujuh, lapan tahun lalu, kem itu sudah melalui pelbagai perubahan baik dari segi fizikal kem itu sendiri sehingga kepada modulnya.
Semua ini dibuat selepas mendapat maklum balas semua pihak sementalah anak kita pun ada kalanya terlebih manja. Dulu mak bapak kita tak ambil pusing jika anak ditengking jerkah cikgu tetapi sekarang ini nak tinggi suara pun, bimbang masuk mahkamah. Susah juga melayan ibu bapa yang sensitifnya semacam. Bak cubit paha kira, paha kanan pun terasa.
Siapa pun tidak mahu anak mereka didera. Seperti cerita beberapa hari lalu, bagaimana anak semuda 12 tahun didakwa bukan saja membelasah pelajar lebih junior tetapi lebih memeranjatkan apabila mereka juga dikatakan meliwat mangsa. Paling sedih apabila mereka kalangan pelajar sekolah tahfiz. Siapa nak jawab apabila pelajar tahfiz pun boleh terbabit dalam salah laku sebegini keji? Jumpa lagi!
Berita Harian Online: 7 Ogos 2011
3 ulasan:
sekadar ingin mencelah ;
1. Mendidik anak-anak adalah tanggongjawab ibubapa.
2. Tanggongjawab utama ini tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada guru-guru di sekolah kerana mereka cuma Penjawat Awam Malaysia dan core bisnes mereka cuma P&P.
3. Adalah menjadi tanggongjawab ibubapa mengambil tahu status anak-anak mereka di sekolah melalui majlis anjuran sekolah dan PIBG. Banyakkan majlis dialog ibubapa -guru.
4. Usah dibebankan pihak sekolah dengan kerenah anak-anak kita kerana sekolah institusi pendidikan milik awam.
5. Peranan PIBG adalah penting.
6. Guru-guru jugak memerlukan sokongan ibubapa dalam melaksanakan P&P mereka.
7. Kes SMK Bandar Baru UDA perlu diambil iktibar ........
SALAM GURU MALAYSIA,
BAGI SAYA TIDAK SALAH SISTEM SAPS INI TETAPI SEKIRANYA KITA TERPAKSA MENGEMASKINI MARKAH BERULANG KALI AKIBAT MASALAH ONLINE INI, AMAT MEMBUANG MASA DAN TENAGA.GURU BUKAN SEKADAR MENGAJAR DI DALAM KELAS TETAPI BANYAK KERJA-KERJA PENGURUSAN TERPAKSA DILAKUKAN. GURU SEKARANG BUKAN GURU DAHULU.YG BILA TAMAT WAKTU PERSEKOLAHAN TERUS PULANG.TIDAK SAMA SEKALI. GURU SEKARANG KADANG2 TERPAKSA PULANG PUKUL LIMA PETANG DISEBABKAN ADA MESYUARAT, KELAS TAMBAHAN, LDP DAN MENYEMAK LATIHAN PELAJAR. KERJA INI TERPAKSA DISAMBUNG DIRUMAH PULA. UBAH SISTEM LAIN YG LEBIH EFISIEN BARU KERJA JADI PROFESIONAL. BUKAN MENYUSAHKAN GURU.
SISTEM SAPS TIDAK BERJAYA.BANYAK MASALAH DAN MEMBUANG MASA GURU. BUKAN TIDAK SABAR,TTP MANA ADA MANUSIA BUAT KERJA YG SAMA BERULANG KALI.TIADA PERUBAHAN
Catat Ulasan