Sabtu, 19 Mei 2012

4,374 sekolah terima RM987.1j

MUHYIDDIN Yassin (tiga kiri) beramah mesra dengan para penerima bantuan khas pada majlis penyerahan bantuan khas kepada sekolah-sekolah seluruh negara di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR 18 Mei - Sebanyak 4,374 buah sekolah di seluruh negara akan menerima agihan peruntukan bernilai RM987.1 juta secara berperingkat-peringkat bermula bulan depan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada jumlah peruntukan itu, RM900 juta merupakan tabung khas bagi pembinaan, penambahbaikan dan penyelenggaraan sekolah.
Katanya, daripada peruntukan tabung khas itu pula, RM500 juta akan disalurkan kepada 1,744 buah sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK).
Selebihnya iaitu masing-masing RM100 juta untuk 817 buah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), 369 buah sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT), 428 buah sekolah mubaligh serta 167 buah sekolah agama bantuan kerajaan (SABK).
''Bagi peruntukan tabung khas itu, ia akan dibelanjakan dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini. Selain itu, sebanyak RM87.1 juta peruntukan tambahan diberikan bagi pembinaan dan naik taraf surau sekolah di seluruh negara.
''Peruntukan itu merupakan sebahagian daripada Projek Insentif Luar Bandar yang terkandung dalam Bajet 2012 dan melibatkan sejumlah 849 projek,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penyerahan bantuan khas di bawah Pakej Rangsangan Khas (PRK) kepada sekolah-sekolah seluruh negara di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Datuk Seri G. Palanivel, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, peruntukan di bawah projek itu melibatkan proses mengganti surau lama yang berjumlah 24 buah dan 565 buah bagi projek menaik taraf surau.
Ujar beliau, peruntukan pembangunan surau itu diharap dapat membantu sekolah menyediakan ruang lebih selesa bagi menjalankan pelbagai program keagamaan selain aktiviti akademik pelajar.
Dalam perkembangan lain, beliau mengulangi komitmen kerajaan untuk tidak mengabaikan pembangunan pendidikan di sekolah-sekolah bantuan kerajaan lain seperti SJKC dan SJKT walaupun agenda memperkasakan SK mendapat pembelaan sewajarnya.
Katanya, ia termasuk sekolah mubaligh dan SABK yang masing-masing mempunyai peranan penting dalam membantu merealisasikan agenda pembangunan modal insan negara.
Sebagai contoh ujar beliau, pada tahun lalu, Kementerian Pelajaran telah menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM126.16 juta untuk sekolah-sekolah terbabit berdasarkan permohonan dan diteruskan pada tahun ini dengan penyerahan bantuan khas sebanyak RM400 juta.
''Kerajaan perlu melaksanakan agenda memperkasa SK sebagai komitmen kerajaan kepada masyarakat majoriti agar sekolah itu sebagai sekolah aliran perdana mendapat pembelaan sewajarnya. Namun, ia tidak bermakna kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran mengabaikan sekolah- sekolah bantuan kerajaan lain.
''Hakikatnya, kementerian telah berusaha dalam membantu sekolah-sekolah terbabit dan ia tidak pernah dipinggirkan daripada program-program utama pendidikan negara,'' katanya.
Muhyiddin berkata, selain peruntukan pembangunan, sekolah bantuan kerajaan juga menerima bantuan-bantuan lain sama seperti bantuan yang diberikan kepada SK seperti penyediaan guru dan kakitangan sekolah, buku teks serta geran per kapita.
''Contohnya, sepanjang tempoh 2010 hingga tahun lalu, Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan peruntukan belanja mengurus untuk keseluruhan SJKC sebanyak RM2.89 bilion dan RM1.04 bilion kepada SJKT,'' ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 19 Mei 2012

Tiada ulasan: