Isnin, 28 Mei 2012

Guru penutur jati tingkat penguasaan BI

Guru penutur jati, Timothy Hughes dari British Council Malaysia berjaya membantu guru menjadikan aktiviti P&P dalam bilik darjah lebih kreatif, seronok dan menarik ketika sesi pelaksanaan program peningkatan penguasaan bahasa Inggeris di SK Tanjung Bijat, Sarawak, baru-baru ini.
KEMENTERIAN Pelajaran melalui Bahagian Pembangunan Dasar Kurikulumnya telah memperkenalkan Program Penutur Jati di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dalam usaha untuk mempertingkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru sekolah.
Timbalan Pengarah bahagian itu, Dr. Mohamad Nor Mohamad Taib berkata, strategi yang dicadangkan adalah dengan pengambilan pakar bahasa Inggeris (mentor) dari luar negara untuk bekerjasama dengan pakar negara ini bagi tujuan mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru mata pelajaran tersebut.
"Matlamat utama program adalah untuk meningkatkan kapasiti tenaga pengajar dalam pedagogi dan pengetahuan bahasa Inggeris yang seterusnya dapat membantu menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah lebih menarik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sesi lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Bijat bagi menyaksikan pelaksanaan program tersebut di Sri Aman, Sarawak, baru-baru ini.
Program ini disasarkan kepada guru bahasa Inggeris Tahap Satu (Tahun 1, 2 dan 3) di 1,800 buah sekolah rendah di seluruh negara.
Seramai 360 penutur jati dibahagikan kepada beberapa kawasan di seluruh negara. Seorang penutur jati dipertanggungjawabkan untuk menjaga lima buah sekolah yang berada di sesuatu kawasan tersebut.
Tiga syarikat telah dikenal pasti sebagai vendor untuk mengendalikan program ini selama tiga tahun iaitu SMR HR Group bagi kawasan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya; Brighton Education Group (Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan) dan British Council Malaysia (Sabah, Sarawak dan Labuan).
Menurut Mohamad Nor lagi, selain meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru, program ini diadakan bagi membantu kementerian meningkatkan tahap kebolehan berbahasa Inggeris di kalangan murid-murid sekolah luar bandar.
"Kepentingan program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada murid-murid di kawasan luar bandar yang kurang mendapat pendedahan serta peluang.
"Selain membantu meningkatkan kemahiran dalam penggunaan bahasa Inggeris, program ini juga secara tidak langsung membolehkan murid-murid luar bandar berkomunikasi secara langsung dengan guru bahasa Inggeris dari luar negara dan seterusnya meningkatkan keyakinan diri mereka," jelasnya.
Beliau menambah, pelbagai pendekatan menarik diwujudkan melalui program ini yang bermatlamat untuk meningkatkan lagi keseronokan murid-murid untuk belajar bahasa Inggeris termasuklah aktiviti latihan, aktiviti bercerita dengan muzik dan juga aktiviti pembelajaran di luar bilik darjah.
"Proses pengajaran dalam pelbagai bentuk kaedah dan situasi berbekalkan pengalaman dan cara-cara pengajaran baru ini lebih kreatif dan mampu menambah minat murid-murid untuk meminati subjek bahasa Inggeris," ujarnya lagi.
Sementara itu, Guru Besar SK Tanjung Bijat, Fadzli Mohd. Edon berkata, program yang dijalankan di sekolahnya itu terbukti telah berjaya membawa kepada peningkatan dalam pembelajaran murid-murid.
"Program ini sememangnya banyak membawa kebaikan kepada murid dan guru jika diambil manfaat penuh daripadanya.
"Selain itu, ibu bapa juga sangat seronok dengan usaha kerajaan dan pihak luar membawa kelainan positif yang terbukti dapat meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak mereka seterusnya menambah minat murid untuk datang ke sekolah.
''Program yang bermanfaat ini diharap dapat diperluaskan ke lebih banyak sekolah bagi memberi faedah serta manfaat berguna kepada murid-murid," jelasnya.

Utusan Malaysia Online: 28 Mei 2012

Tiada ulasan: