am@hmetro.com.my
ALOR GAJAH: Seorang murid perempuan tahun tiga sebuah sekolah rendah di daerah ini, trauma selepas mendakwa dirogol dan diugut menggunakan senjata tajam oleh remaja berusia 14 tahun di tangga sekolah berkenaan.
Sumber berkata, murid itu menjadi mangsa kerakusan remaja terbabit yang menyelinap masuk ke sekolahnya pada Isnin, Rabu dan Khamis lalu ketika waktu rehat dan selepas tamat sesi pembelajaran.
Mangsa anak sulung daripada dua beradik tinggal di asrama sekolah berkenaan pada tengah hari untuk menyalin pakaian sebelum diambil ibunya selepas tamat sesi persekolahan petang.
“Pada kejadian pertama kira-kira jam 6.30 petang, Isnin, mangsa yang dikatakan sedang menunggu ibunya di kawasan sekolah dihampiri seorang remaja lelaki sebelum dibawa ke tangga sekolah.
“Mangsa dibawa menaiki tangga sebelum remaja terbabit didakwa merogol mangsa di kawasan tangga berkenaan,” katanya, semalam.
Menurut sumber itu, murid yang menggigil ketakutan cuba menyelamatkan diri namun remaja terbabit menghunuskan senjata tajam dan mengugut akan membunuhnya.
“Pada kira-kira jam 10.30 pagi Rabu lalu, berlaku sekali lagi kejadian sama ketika waktu rehat apabila mangsa seorang diri datangi remaja terbabit.
“Remaja itu didakwa sekali lagi melakukan perbuatan terkutuk di tangga sekolah dan memberi amaran supaya mangsa merahsiakan perkara berkenaan,” katanya yang memaklumkan ketika kejadian mangsa tidak keluar rehat sebaliknya berada di sekitar kawasan sekolah berkenaan seorang diri.
Sumber berkata, mangsa diugut bunuh jika perlakuan sumbang itu diketahui orang, namun mangsa yang tidak tahan diperlakukan sedemikian melaporkan kepada pengurusan sekolah.
“Pihak sekolah yang terkejut selepas diberitahu perkara itu segera menyiasat sebelum memanggil ibu mangsa memaklumkan kejadian menimpa anaknya,” katanya.
“Difahamkan, ibu mangsa yang bekerja sendiri datang ke sekolah kira-kira jam 3 petang sebelum bertindak melaporkannya kepada polis,” katanya .
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan, polis ada menerima laporan.
“Polis sedang menjalankan siasatan berhubung laporan dan sudah mengenal pasti suspek seorang remaja lelaki dan tangkapan akan dibuat dalam tempoh terdekat,” katanya.
myMetro: 7 Mei 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan