BIASANYA tokoh guru adalah mereka yang telah bersara. Selain sejarah
perkhidmatan di sekolah sebagai guru, maka sebahagian besar biodatanya
memaparkan pelbagai jawatan yang disandang sebagai pentadbir di sekolah,
pejabat, jabatan atau Kementerian Pelajaran serta sumbangannya dalam
pendidikan dan khidmat masyarakat.
Elok juga jika kriteria pemilihan tokoh guru menekankan nilai-nilai
inovasi yang diamalkan semasa mereka menjadi guru dahulu. Namun anugerah
khas kepada guru yang keunggulan mereka begitu terserlah sebagai guru
berinovasi amat wajar diberi keutamaan, khususnya dalam majlis sambutan
Hari Guru peringkat daerah.
Pengiktirafan ini bukan sahaja sebagai lambang penghargaan kepada
kegigihan ribuan guru yang sedang mengajar di sekolah tetapi memberi
penekanan bahawa tugas utama guru ialah mengajar di bilik darjah.
Dalam ucapan di majlis sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan pada
16 Mei lepas, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan
Sri Muhyiddin Yassin memperincikan ciri-ciri guru berinovasi.
Guru berinovasi tidak semestinya dapat menghasilkan pelajar yang
meraih 10A dalam peperiksaan. Yang penting keberhasilan pengajaran
mereka mendorong murid seronok dan minat belajar kerana mereka mudah
memahami pelajaran. Pengurusan bilik darjah terkawal, murid menumpukan
perhatian di kelas dan pencapaian murid semakin meningkat.
Guru sentiasa berusaha agar objektif pengajaran tercapai. Mereka
berjaya menghasilkan murid yang berakhlak mulia, menguasai kemahiran
berfikir dan memiliki daya saing yang tinggi.
Kita sering mendengar guru muda yang baru tamat latihan perguruan
berinovasi tinggi dan begitu bersemangat mengajar. Perkara penting ialah
bagaimana untuk mengekalkan semangat inovasi guru? Bagaimana jika tahap
disiplin pelajar di sesebuah sekolah tidak terkawal, ibu bapa tidak
memberi perhatian kepada pelajaran anak, pelajar bebas keluar rumah dan
terlibat dengan pelbagai gejala negatif?
Keadaan ini bukan sahaja boleh menjejaskan hasil pengajaran bahkan
mungkin tahap inovasi guru. Pentadbir sekolah juga perlu bijaksana
mengurus sumber manusia agar wujud gaya kepimpinan yang mesra guru.
Kita boleh berkata guru berinovasi sepatutnya gigih menghadapi
kerenah pelajar dalam melaksanakan tugas profesional dan tugas tambahan.
Persoalannya adakah kita yakin guru yang sibuk dengan kerja pentadbiran
dan perkeranian serta kerap bertugas di luar sekolah maka keberkesanan
pengajarannya di bilik darjah tidak terjejas?
Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan sewajarnya agar wujud
persekitaran sekolah yang dapat menyuburkan tahap inovasi guru.
Utusan Malaysia Online: 23 Mei 2012
Rabu, 23 Mei 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan