Sabtu, 19 Mei 2012

Sekolah-sekolah 'parah' dipastikan dapat cukup peruntukan - Muhyiddin

KUALA LUMPUR 18 Mei - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan memastikan projek-projek penambahbaikan sekolah terutamanya yang dilaporkan 'parah' menerusi audit fizikal mendapat peruntukan mencukupi.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, untuk tujuan itu, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Rosli Mohamed memperuntukkan sebahagian daripada peruntukan yang diterima khusus bagi melaksanakan projek penyelenggaraan sekolah.
Usaha itu katanya, bagi menjamin bangunan-bangunan sekolah sentiasa berkeadaan baik, sempurna dan selamat.
''Adalah penting untuk memiliki infrastruktur dan kemudahan-kemudahan yang lengkap dan baik serta berkualiti agar proses pembelajaran dapat dijalankan dengan selesa. Dua tahun lepas kementerian mengambil inisiatif membuat audit fizikal sekolah seluruh negara. Ia telah pun siap.
''Daripada lebih 10,000 buah sekolah (diaudit), sebanyak 600 buah sekolah dilaporkan berada dalam keadaan cukup parah. Disebabkan itu projek-projek penambahbaikan khususnya di Sabah dan Sarawak, kita perlu tentukan mereka dapat sejumlah peruntukan yang mencukupi.
''Namun, daripada jumlah bajet yang diperuntukkan kepada kementerian, ia tidak dapat menampung kesemua sekolah-sekolah itu dan usaha mengadakan peruntukan dilakukan pada tahun-tahun akan datang,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penyerahan bantuan khas di bawah Pakej Rangsangan Khas (PRK) kepada sekolah-sekolah seluruh negara di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, usaha menambah baik kualiti infrastruktur di sekolah diharap dapat meningkatkan mutu pendidikan negara.
''Sememangnya ada kaitan antara mutu pendidikan dengan suasana pembelajaran di sekolah-sekolah. Mungkin bangunan sekolah yang baik dan situasi selamat ini akan memberikan keselesaan kepada guru dan pelajar,'' jelasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, aspek bantuan persekolahan terus diberi perhatian dengan sejumlah RM2.8 bilion diperuntukkan bagi membiayai 21 jenis bantuan yang memberi faedah kepada 5.4 juta pelajar.
Segala bentuk bantuan yang bersesuaian katanya, telah diberikan kepada sekolah berdasarkan kemampuan semasa kerajaan.
''Ini membuktikan bahawa kerajaan sangat menekankan aspek pembangunan modal insan dan semua golongan mendapat pembelaan sewajarnya terutama mereka daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah termasuk mereka yang kurang upaya.
''Langkah ini bagi memastikan golongan tersebut berpeluang memperoleh akses pendidikan berkualiti dan seterusnya memperbaiki masa depan mereka supaya menjadi insan yang berguna kepada negara,'' ujarnya.
Beliau berkata, Kementerian Pelajaran sentiasa bertindak secara pragmatik dan bersikap realistik dalam menangani cabaran-cabaran yang dihadapi pelbagai kategori sekolah.

Utusan Malaysia Online: 19 Mei 2012

Tiada ulasan: