Rabu, 2 Mei 2012

‘Bazir latih guru BI di luar negara’

Oleh Lum Chee Hong

2012/05/02

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mengambil tenaga pengajar bahasa Inggeris tempatan untuk melatih guru menguasai bahasa itu dengan cemerlang bagi menjimatkan kos pembiayaan pengajian mereka di luar negara.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Hashim Adnan, berkata mereka tidak perlu dihantar mempelajari bahasa berkenaan di luar negara memandangkan negara sudah mempunyai ramai tenaga pengajar berkebolehan di pusat bahasa sekarang.
“Ini membolehkan kerajaan menghantar lebih ramai guru menguasai bahasa Inggeris, sekali gus membantu kerajaan menjimatkan ratusan ribu hingga jutaan ringgit bagi melatih mereka di luar negara.
“Jadi, kerajaan perlu bertindak bijak dengan mengutamakan pengambilan tenaga pengajar ini untuk melatih guru berkenaan daripada menghantar mereka ke luar negara yang memakan kos sangat tinggi,” katanya ketika dihubungi
Berita Harian di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berpendapat cadangan Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Antarabangsa Kirkby (KIC), Tan Sri Dr Yahaya Ibrahim supaya kerajaan menghantar semula guru pelatih Bahasa Inggeris ke Maktab Kirkby, England adalah baik.

Hashim berkata, jika kerajaan masih memerlukan tenaga pengajar dari luar negara, pendekatan terbaik ialah mengambil mereka secara kontrak di antara enam bulan hingga dua tahun untuk melatih guru di negara ini bagi menjimatkan kos.
“Tenaga pengajar ini boleh diletakkan di universiti tertentu seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk melatih guru dan lebih jimat daripada menghantar 40 orang ke luar negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, kerajaan tidak seharusnya memberi keutamaan untuk mengambil tenaga pengajar dari England, sebaliknya perlu memberi perhatian terhadap pilihan lain iaitu negara mempunyai bahasa Inggeris yang baik.

“Contohnya, kita perlu melihat tenaga pengajar dari Universiti Harvard di Amerika Syarikat (AS), selain Australia, Kanada dan Jerman,” katanya.

Selain itu, katanya, guru juga perlu mempelajari bahasa antarabangsa lain seperti bahasa Jerman dan Jepun bagi memudahkan mereka menerima perkembangan ilmu dalam dunia pendidikan.

Berita Harian Online: 2 Mei 2012

Tiada ulasan: