Rabu, 16 Mei 2012

J/Kuasa kerja tangani isu bebas guru sedang laksana 28 perakuan -Muhyiddin

KUALA KANGSAR 16 Mei - Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru sedang melaksanakan 28 perakuan bagi menangani 14 isu yang memberi kesan terhadap beban tugas guru, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, antara langkah yang dilaksanakan Jawatankuasa Kerja itu adalah memperkenalkan Sistem Pengurusan Sekolah yang merupakan satu sistem tunggal kemasukan data untuk mengurangkan beban tugas guru yang menggunakan pelbagai sistem kemasukan data pada masa ini.
"Sistem ini telah dilaksanakan secara rintis di 88 buah sekolah dan dijadualkan semua sekolah di bawah Kementerian Pelajaran akan menggunakan sistem baru ini menjelang 2013," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Guru 2012 peringkat kebangsaan ke-41 di sini, hari ini.
Beliau berkata, kementerian turut menjalankan kajian rintis bagi penempatan Pembantu Tadbir N17 hingga Jun 2012 untuk melihat impak penempatan kakitangan itu bagi mengurangkan beban tugas perkeranian guru.
"Seterusnya satu cadangan akan dikemukakan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam bagi peluasan penempatan Pembantu Tadbir N17 di sekolah-sekolah di bawah kementerian," katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagi menangani isu beban tugas guru itu juga, semua Jabatan Pelajaran Negeri telah melaksanakan pemansuhan ujian dan peperiksaan setara serta menambah baik pengendalian ujian dan peperiksaan di peringkat sekolah.
Oleh itu, katanya, pada tahun ini hanya satu peperiksaan setara sahaja dibenarkan.

"Pemansuhan sepenuhnya ujian dan peperiksaan setara akan dikuatkuasa mulai 2013, di mana semua ujian akan dijalankan di waktu pengajaran dan pembelajaran," katanya.
Katanya, kerajaan tetap mengambil perhatian serius terhadap keluhan guru yang terbeban dengan pelbagai tugasan dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan organisasi sekolah.
Beliau berkata, kualiti guru perlu dimantapkan, mutu kepimpinan sekolah perlu ditingkatkan, kurikulum dan sistem pentaksiran perlu diperkemaskan, prasarana sekolah perlu ditambahbaik serta sumber dan sistem penyampaian pendidikan perlu diurus dengan cekap.
"Pendek kata, keseluruhan sistem pendidikan kita perlu disemak dan dimantapkan kualitinya secara bersepadu," katanya. - BERNAMA

Utusan Malaysia Online: 16 Mei 2012

Tiada ulasan: