SEREMBAN 27 Mei - Kesabaran dalam menghadapi cabaran adalah kunci
kejayaan seseorang guru bagi menghadapi dunia pendidikan yang kini terus
berubah dalam arus globalisasi ketika ini.
Malah pendidikan ketika ini menuntut kesungguhan dan pengorbanan guru
dalam menguasai semua bidang meliputi teknologi dan maklumat bagi
memastikan mereka tidak terus ketinggalan demi memastikan kecemerlangan
anak bangsa tercapai.
Tokoh Guru Negeri Sembilan 2012, Datuk Azam Md. Atan berkata, cabaran
guru ketika ini bertambah kritikal apatah lagi memerlukan warga
pendidik menguasai bidang teknologi bagi mendidik anak murid mereka.
''Perkara yang paling asas untuk menjadi guru adalah bersabar apatah
lagi cabaran ketika ini semakin bertambah dan murid sekarang ini
memerlukan perhatian yang lebih bagi memastikan kejayaan mereka dapat
dicapai.
''Malah mereka juga perlu memberikan perhatian dan tumpuan ketika
mengajar kerana itulah prinsip yang perlu dipegang oleh warga pendidik
sekiranya mereka mahu melihat anak-anak murid dan pelajar berjaya dalam
bidang akademik mahupun kokurikulum," katanya ketika ditemui di sini
baru-baru ini.
Azam yang merupakan bekas Presiden Majlis Pengetua Sekolah Malaysia
dipilih sebagai Tokoh Guru 2012 dalam Majlis Sambutan Hari Guru 2012
yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini
baru-baru ini.
Pemilihan beliau sebagai penerima anugerah itu membolehkan Azam, 59,
menerima wang tunai RM3,500 dan plak cenderamata yang disampaikan oleh
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Dalam pada itu, Muhd. Syahlyme Abd. Wahid, 31, pula menjelaskan,
peranan guru kini jauh berbeza berbanding dahulu kerana para pelajar
kini lebih terdedah dengan pelbagai maklumat menerusi pelbagai medium
termasuklah internet.
Justeru kata penerima Anugerah Guru Inovatif Kategori Individu
Sekolah Rendah itu, sudah tiba masanya untuk guru ketika ini mengusai
bidang teknologi yang kini terus berkembang dalam memastikan mereka
tidak terus ketinggalan.
''Kalau dulu guru hanya membawa sebatang kapur dan papan hitam untuk
mengajar, kini mereka menggunakan komputer sebagai alat bantu
pembelajaran dan dari situ kita telah nampak transformasi pendidikan
negara telah berubah sama sekali.
''Biarpun kaedah kini telah berubah dengan pantas namun apa yang
penting matlamat guru untuk menjadikan anak didik kita mencapai
kecemerlangan dalam pendidikan tidak dikesampingkan," kata guru dari
Sekolah Kebangsaan Yam Tuan Lenggang, Kuala Pilah itu.
Utusan Malaysia Online: 29 Mei 2012
Selasa, 29 Mei 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan