Selasa, 31 Mei 2011

Apa kesudahan nasib Guru Sandaran Tidak Terlatih?

SAYA merupakan bekas Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang telah mencurahkan khidmat bakti sama seperti guru terlatih. Kami tidak terkecuali dalam melaksanakan tugas sama ada daripada segi kurikulum dan kokurikulum.

Malah kami juga dicerap atau dipantau oleh pihak pentadbir mahu pun pegawai pelajaran peringkat negeri.

GSTT juga tidak dibezakan oleh pihak pentadbir. Maksudnya apabila saya menerima tawaran sebagai GSTT, bermakna tanggungjawab dan amanah yang dipikul adalah besar dan tiada bezanya seperti guru tetap.

Pendek kata, segala program yang diatur oleh pihak sekolah, GSTT juga bertanggungjawab dalam melaksanakan program berkenaan.

Pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran pada 8 Mac lalu, seolah-olah memberi nafas kepada GSTT sehinggakan keesokan harinya terpampang di dada akhbar dan di kaca televisyen mengenai berita gembira untuk para GSTT.

Namun sehingga kini masih belum diketahui status sebenar kenyataan beliau.

Rata-rata masyarakat setempat umumnya mengandaikan bahawa kami bekas GSTT seolah-olah akan mendapat tawaran mengajar kembali setelah mendengar pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pelajaran.

Hakikatnya, hingga kini status pengumuman berkenaan masih lagi menjadi tanda tanya kepada bekas GSTT.

Oleh yang demikian, saya mengharapkan agar persoalan tersebut dapat dirungkaikan.

Saya juga amat mengharapkan agar Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran memberi peluang kepada bekas GSTT untuk menyambung kembali perkhidmatan kerana rata-rata GSTT telah berkhidmat lebih dari setahun dan telah mempunyai pengalaman.

Beri kami peluang untuk mencurahkan khidmat bakti kepada anak bangsa.

Utusan Malaysia Online: 31 Mei 2011

Tidak dapat komputer

SAYA Mohd. Faridzuan Abd. Rahman adalah pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Darulaman, Alor Star, Kedah. Saya sedih dan dukacita kerana nama saya telah tercicir dari senarai penerima komputer notebook yang diberikan oleh pihak kerajaan pada hari Sabtu 21 Mei lalu.

Program 'Satu rumah, satu komputer' adalah sesuatu yang tepat dan amat bermakna. Sebagai pelajar, saya merasa bangga kerana Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak begitu prihatin kepada golongan pelajar miskin agar memiliki satu komputer untuk setiap satu rumah.

Malangnya saya tidak memiliki satu pun komputer di rumah dan bertambah malang lagi nama saya tercicir kerana kelewatan saya mengisi borang kepada pihak sekolah.

Saya akui akan kesilapan ini. Apa harus saya lakukan sekarang? Masih adakah peluang untuk saya memiliki komputer notebook tersebut? Bantulah saya.

Utusan Malaysia Online: 31 Mei 2011

Isnin, 30 Mei 2011

Cabaran Guru Bila Anak Murid Lebih Ke Hadapan

Oleh Nurul Halawati Azhari

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Nilai-nilai seorang guru yang cemerlang memang terpancar pada pertuturan dan air wajahnya. Kata-katanya lembut dan berhemah bukti pengalaman mengajarnya selama 41 tahun.

Asnah Mansor, 58, adalah antara tokoh pendidik cemerlang dan wajar dicontohi. Walaupun tahun ini sambutan hari guru tidak lagi diraikan di sekolah, namun, semangat guru tetap sebati dalam jiwanya biarpun baru sebulan bergelar 'cikgu pencen'.

Bagi Asnah, mengenang kembali sambutan hari persaraan beliau di sekolah terakhir beliau berkhidmat, Sekolah Kebangsaan Taman Midah 2 tentu sahaja satu kenangan manis dalam kerjaya perguruannya.

Daripada sekecil-kecil murid pra sekolah hinggalah ke murid tahun 6, mereka berkumpul meraikan guru yang disayangi. Seronok melihat gelagat mereka membuat persembahan penuh ikhlas di atas pentas.

Paling mengembirakan apabila melihat barisan panjang murid yang diajarnya beratur memegang hadiah buat Cikgu Asnah yang disayangi. Bagi seorang guru bukan hadiah yang dinanti tetapi didikan dan tunjuk ajarnya yang diingati mereka.

Asnah tentu sahaja merindui wajah-wajah polos anak-anak masa depan negara itu. Bahkan tentu sahaja beliau merindui rakan seperjuangan.

LOMPONG DALAM PENDIDIKAN

Istimewanya guru bersara ini ialah semangat dan dedikasi beliau dalam menjalankan tugasnya yang wajar dicontohi oleh kelompok guru muda hari ini.

Bagi Asnah, tugas guru semakin mencabar lebih-lebih lagi apabila anak murid lebih ke hadapan daripada guru. Malahan karenah dan harapan ibu bapa juga adalah satu cabaran buat guru masa kini.

"Dunia pendidikan sekarang memang banyak berubah. Cabaran yang dihadapi oleh guru lebih besar berbanding dahulu. Apatah lagi dengan keadaan murid sekarang yang lebih ke hadapan berbanding guru dan ada juga yang kurang menghormati orang tua," kata Asnah yang telahpun melalui pelbagai fasa perubahan dalam sistem pendidikan negara.

Pandangan Guru Cemerlang Bahasa Malaysia ini mengenai perkembangan pendidikan negara dari kaca mata seorang guru yang telah lama berkhidmat, mungkin boleh dijadikan panduan.

Bagi Asnah, sebagai guru, beliau melihat terdapat lompong dalam sistem pendidikan negara. Walaupun akur bahawa setiap perubahan polisi yang dilaksanakan adalah bertujuan membuat penambahbaikan, tetapi ada beberapa perkara yang kurang berkaitan.

"Sebagai guru di sekolah rendah, saya melihat murid sama ada di bandar mahupun luar bandar, mereka kurang pendedahan kepada dunia luar. Berbeza dengan murid yang pernah mengikuti ibu bapa mereka ke luar negara dan bersekolah di sana, apabila pulang ke sini, corak pengajaran dan sistemnya seperti menyekat kemahiran dan kreativiti mereka."

Menurut Asnah, memang benar seperti yang banyak diperkatakan, corak pembelajaran yang terlalu berorientasikan peperiksaan menyebabkan pelajar mudah hilang arah. Jika guru boleh menerapkan lebih banyak elemen praktikal dalam pengajaran mereka, murid akan lebih pro aktif dan dapat mengasah kemahiran.

"Contohnya mata pelajaran Kemahiran Hidup, walaupun diajar sejak tahun empat, apabila masuk tingkatan 1, masih ada yang ketuk paku pun tak lepas. Sia-sia sahaja tiga tahun mereka belajar kelas Kemahiran Hidup kerana apabila masuk tingkatan 1, asas yang sama perlu diulang."

"Saya fikir, fokuskan murid terhadap apa yang mereka minat sejak di sekolah rendah lagi. Di tahun 1-3, kita melihat perkembangan dan minat mereka, kemudian masuk tahun empat hingga enam, mereka sudah tahu pengkhususan masing-masing. Mereka juga perlu didedahkan dengan dunia kerjaya sejak di peringkat sekolah rendah lagi," saran beliau.

TERLALU TUMPU PEPERIKSAAN

Menurut beliau, tumpuan yang terlalu terhadap peperiksaan boleh menyebabkan guru mengabaikan murid yang tidak berada di tahun peperiksaan. Apabila di sekolah menengah pula, guru lebih tertumpu kepada pelajar tingkatan tiga dan tingkatan lima.

Sedangkan pelajar yang baru memasuki sekolah menengah memerlukan bimbingan. Di pihak ibu bapa pula, mereka percaya jika anak berjaya mendapat 4A atau 5A, mereka akan cemerlang di sekolah menengah.

"Sebenarnya di peringkat awal sekolah menengahlah mereka perlu diberi lebih perhatian. Kadang-kadang, kita terlepas pandang hal ini menyebabkan ramai anak Melayu yang tercicir sebaik sahaja memasuki sekolah menengah kerana fokus mereka terganggu dan dipengaruh dengan anasir lain.

Sebagai guru yang berpengalaman mengajar Bahasa Malaysia di sekolah rendah, mereka memikul tangungjawab membentuk sahsiah. Menurutnya, dahulu, pembelajaran Bahasa Malaysia adalah satu daripada subjek yang boleh dijadikan medium membentuk peribadi pelajar.

"Misalnya sebelum memulakan pembelajaran, cikgu dah terapkan nilai-nilai moral yang baik terhadap seisi kelas. Kemudian barulah pelajaran bermula. Malahan semasa sesi pembelajaran berlangsung, guru boleh bertindak menarik perhatian dan kesedaran pelajar tentang nilai-nilai murni," sambung Asnah yang bergelar Guru Pakar Bahasa Malaysia dan bergelar Guru Cemerlang 1Malaysia.

Bukti kejayaannya apabila hasil kecemerlangan pengajarannya dalam kelas telah dirakamkan dalam bentuk cakera padat (CD) dan diedarkan ke semua sekolah rendah di seluruh negara.

KERJASAMA GURU DAN IBU BAPA

Sebelum memulakan kerjaya perguruannya sebagai lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (sekarang Universiti Perguruan Sultan Idris), Asnah sudah mula mengajar secara sambilan selama lapan tahun. Sehinggalah beliau ditawarkan ke MPSI dan sejak itu, beliau menetapkan fokusnya untuk menjadi guru.

Beliau mencurahkan ilmu di lima buah sekolah sepanjang perkhidmatannya iaitu di Sekolah Kebangsaan Sri Pangkor, Sekolah Convent Bukit Nanas, Sekolah Kebangsaan Jalan Peel, Sekolah Kebangsaan Yaakob Latif 2 dan berakhir di Sekolah Kebangsaan Taman Midah 2. Sepanjang tempoh itu, beribu murid diajarnya termasuk Menteri Besar Perak sekarang, Datuk Seri Diraja Dr Zambri Abd Kadir.

Bagi wanita yang berperwatakan tenang ini, kejayaan seseorang murid dan sesebuah sekolah adalah hasil kerjasama antara guru dan ibu bapa. Jika dahulu, ibu bapa sering ke sekolah untuk menyokong PIBG, hari ini ibu bapa hadir ke sekolah semata-mata untuk membuat aduan terhadap guru.

"Saya fikir, sebagai guru, pasti ada sebab anak murid dimarahi. Bukan semua guru sengaja memukul atau memarahi anak murid. Misalnya tidak menyiapkan kerja sekolah, malas atau tidak menghormati guru.

Bila keadaan ini timbul, guru pun boleh tawar hati untuk mengajar dengan ikhlas apabila kepercayaan daripada ibu bapa tidak diperoleh," sambung Asnah.

Asnah juga melihat perubahan semangat kerjasama sesama guru sudah jauh berbeza.

Walaupun tugas guru memang berat ditambah dengan bebanan tugas selain mengajar, Asnah berpendapat kerjasama sesama guru perlu dipupuk bagi mengurangkan beban itu. Kesibukan guru mungkin menyebabkan mereka terpaksa bertindak sendirian berbanding guru pada 10-20 tahun lepas.

"Saya masih ingat, dulu rakan-rakan setugas banyak membantu dalam menyiapkan tugasan mengajar untuk mendapatkan taraf guru pakar. Ia menjadi kerjasama berpasukan berbeza hari ini guru lebih banyak mengambil sikap sendiri-sendiri, mungkin perkara ini juga perlu diberi perhatian agar profesion ini terus dipandang tinggi," katanya.

ANAK BERJAYA

Beliau bukan sahaja bergelar guru cemerlang, bahkan ibu kepada empat orang anak dengan lima orang cucu ini juga cemerlang sebagai ibu apabila anak-anaknya juga berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading hingga ke luar negara.

Anak sulungnya, Mohamad Nizam Mohamed Shapie, 32, sedang menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah di University of Wales Institutes Cardiff, United Kingdom, yang kedua Mohamad Azlan, 31, Pengarah di sebuah syarikat swasta, anak ketiga Mohamad Fahmi, 30, seorang guru dan yang bongsu Noor Izni, 28, bergelar doktor perubatan dan kini bertugas di Hospital Kuala Lumpur.

Bagi Asnah, sokongan suami Mohamed Shapie, 63, bekas pegawai di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang sentiasa membantu adalah pendorong kejayaan mereka sekeluarga.

Sebagai guru dan ibu, Asnah berpendapat, kemahiran seorang anak perlu dilihat sejak mereka di sekolah rendah. Manakala ibu bapa pula, jangan terlalu mengongkong anak dengan pelajaran sahaja. Didikan agama juga perlu agar mereka seimbang. Beri juga ruang untuk mereka bermain kerana anak-anak di sekolah rendah akan menjadi lebih kreatif dan cerdas apabila mereka diberi kebebasan untuk bermain.

"Bayangkan kepenatan mereka yang terpaksa belajar di sekolah dan kemudian petang ke sekolah agama dan malamnya pula ke pusat tuisyen. Jadi mereka perlu diberi ruang bagi melepaskan tekanan tersebut. Misalnya dengan mengizinkan mereka keluar bermain selepas pulang dari sekolah agama.

"Sekurang-kurangnya ia dapat melepaskan tekanan belajar yang dihadapi," tambah guru bersara ini sambil berharap akan adanya perubahan yang lebih relevan terhadap dunia pendidikan di negara ini.

-- BERNAMA

BERNAMA: 30 Mei 2011

Puad nafi laporan 80,000 guru Semenanjung ke Sarawak

30/05/2011 6:37pm

PETALING JAYA 30 Mei - Kementerian Pelajaran hari ini menafikan laporan kononnya ia akan menghantar sekitar 80,000 guru dari Semenanjung ke Sarawak tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, sehingga 11 Mei tahun ini, terdapat seramai 80,382 guru yang mengajar di sekolah rendah dan sekolah menengah di Sabah dan Sarawak di mana 15,641 daripada jumlah itu terdiri daripada guru yang berasal dari Semenanjung.

"Sekiranya kita hendak menghantar 80,000 orang guru dari Semenanjung ke Sarawak, siapa pula yang akan mengajar di Semenanjung?” katanya ketika ditemui selepas melancarkan pertandingan mural PLUS antara sekolah-sekolah menengah peringkat kebangsaan 2011 di sini hari ini. - Bernama

Utusan Malaysia Online: 30 Mei 2011

Tunggu panggilan induksi guru

SAYA merupakan seorang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah DG41 (guru). Saya ditempatkan di sebuah sekolah di sebuah daerah di Selangor pada tahun 2009.

Saya juga telah memohon untuk menghadiri kursus induksi sejurus selepas mendapat surat lantikan. Sehingga kini saya masih belum lagi dipanggil untuk kursus tersebut.

Kawan-kawan saya di daerah dan negeri yang lain telah selesai menjalani kursus tersebut sedangkan saya belum dipanggil.

Apabila diajukan soalan kepada Unit Latihan, Jabatan Pelajaran Selangor, alasan tiada peruntukan yang diberikan. Harap Kementerian Pelajaran beri perhatian kepada perkara ini.

GURU KECEWA

Selangor


Utusan Malaysia Online: 30 Mei 2011

Guru mahir lahirkan pelajar cemerlang

JOHOR BAHRU 29 Mei - Golongan guru disaran meningkatkan kemahiran dan daya kepimpinan mereka bagi membantu melonjak prestasi para pelajar pada masa akan datang.

Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Nor A. Ghani berkata, budaya seperti itu merupakan sesuatu yang sangat diperlukan untuk mewujudkan pelajar yang bertanggungjawab dan berwawasan.

Menurutnya, guru juga perlu memastikan ilmu yang disampaikan dapat diadaptasikan para pelajar dalam dunia sebenar bagi membina sebuah negara bangsa berjaya.

"Sesungguhnya profesion guru ini hanya layak kepada mereka yang bersedia mencurahkan jiwa dan raganya terhadap pendidikan anak bangsa.

"Sekiranya semua guru bersama berganding bahu memikul amanah yang dipertanggungjawab maka segala yang sukar akan menjadi mudah," katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Pasir Gudang di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru, di sini semalam.

Pada majlis itu juga, bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai, Musleha Othman, 62, dinobatkan sebagai Tokoh Guru Daerah Pasir Gudang 2011 di atas sumbangannya selama ini dalam meningkatkan kualiti pendidikan.

Mohd. Nor berkata, guru pastinya menjadi harapan untuk membentuk jati diri pelajar yang kukuh serta berdaya saing di samping berpegang teguh pada nilai-nilai agama.

Katanya, kecekapan guru menerusi sistem pendidikan di negara ini dilihat mampu mewujudkan generasi muda yang berfikiran global yang tidak membelakangkan ciri-ciri tempatan.

Utusan Malaysia Online: 30 Mei 2011

Sekolah integriti cemerlang

PENCAPAIAN akademik dan kokurikulum sekolah integriti setanding dengan sekolah harian biasa.

Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Wira Zulkifli Omar berkata, institusi ini mencatat kelulusan 95.24 peratus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan salah seorang calon dari Sekolah Integriti Sungai Petani mendapat keputusan cemerlang 7A dan 1B.

"Lapan mata pelajaran SPM pula telah mencatatkan kelulusan melebihi 80 peratus," ujarnya.

Menurut beliau, kejayaan ini hasil usaha berterusan Jabatan Penjara Malaysia bagi meningkatkan kecemerlangan pendidikan serta menambah baik sistem pendidikan di sekolah-sekolah kawalannya.

"Sebanyak RM600,000 telah dibelanjakan tahun lalu untuk peningkatan prasarana serta perlaksanaan program melibatkan banduan muda dan juvana yang terlibat dalam sistem pendidikan di enam buah sekolah integriti dan dua Sekolah Henry Gurney," jelasnya.

Manakala dalam kokurikulum pula, pelajar dari sekolah kategori ini turut mencipta kegemilangan dengan mewakili pasukan tinju Melaka pada Kejohanan Sukan Malaysia.

"Diharapkan dengan usaha gigih berterusan guru-guru yang berkhidmat bersama Jabatan Penjara akan dapat melahirkan lebih ramai banduan muda dan juvana yang cemerlang pada masa akan datang.

"Para pendidik yang terlibat diseru untuk menjaya dan memainkan peranan dengan lebih gigih demi melahirkan insan berwajah baru seterusnya meletakkan sistem pendidikan Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney ke tahap yang lebih cemerlang," ujarnya.

Sekolah Integriti diwujudkan melalui kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dan Kementerian Pelajaran pada 2008 termasuk dua buah Sekolah Henry Gurney mengikut sistem zon.

Sistem persekolahan yang dijalankan di institusi yang terpilih telah membuka peluang kepada 513 pelajar yang terdiri daripada pesalah juvana dan banduan muda untuk menduduki sistem aliran pendidikan arus perdana.

Sekolah Integriti Kajang dan Sekolah Henry Gurney Keningau masing-masing telah dinobatkan sebagai sekolah terbaik dalam pencapaian PMR dan SPM 2010 berdasarkan jumlah gred purata keseluruhan yang diperoleh sekolah berkenaan.

Utusan Malaysia Online: 30 Mei 2011

Cabaran mendidik pesalah juvana

ua Pengarah Pelajaran, Datuk Asariah Mior Shaharuddin berkata, komitmen dan pengorbanan warga guru dalam meningkatkan kualiti pendidikan di kalangan pelajar sekolah kawalan Jabatan Penjara Malaysia amat dihargai.

Menurut beliau, iltizam dan komitmen yang ditunjukkan oleh warga pendidik dalam membantu juvana atau banduan muda telah membuka satu dimensi baru bagi mengangkat martabat profesion keguruan bersesuaian dengan tema Hari Guru tahun ini iaitu Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara.

"Guru juga berperanan sebagai pemangkin kepada amalan pendidikan sepanjang hayat dan sekolah sebagai organisasi pendidikan," katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Guru Peringkat Jabatan Penjara Malaysia di Dewan Kelab Penjara Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Jelasnya, walaupun golongan pelajar ini berada dalam proses pemulihan kerana kesalahan yang telah dilakukan, namun mereka tetap memerlukan pendidikan agar tidak ketinggalan apabila tamat menjalani hukuman kelak.

"Guru memainkan peranan penting dalam usaha memberi didikan sebaik mungkin kepada penghuni tirai besi ini dan tanpa bimbingan guru, tidak mustahil apabila bebas kelak mereka akan mengulangi kesilapan sama," jelasnya.

Beliau menyarankan guru-guru menjalankan tugas dengan gigih dan menganggap pengalaman mendidik golongan pelajar ini sebagai sesuatu yang istimewa seterusnya berusaha memantapkan lagi kemahiran demi memartabatkan profesionalisme keguruan.

Utusan Malaysia Online: 30 Mei 2011

Ahad, 29 Mei 2011

Mangsa buli lapor polis

TELUK INTAN 28 Mei – Mangsa buli, Mohd. Saiful Nizam, 10, yang kini buta sebelah penglihatan setelah didakwa dicucuk dengan pensel oleh tiga rakannya hari ini membuat laporan di Balai Polis Langkap di sini, hari ini.

Menurut bapa tiri murid lelaki tahun empat Sekolah Kebangsaan Sungai Lampam, Rosli Nordin, 24, laporan itu dibuat bagi membolehkan pihak berwajib termasuk Jabatan Pelajaran Daerah Hilir Perak dan polis membuat siasatan berhubung kecederaan anaknya itu.

Katanya, laporan itu juga bagi memberi pengajaran kepada semua individu terutama pelaku yang terlibat dalam insiden mencucuk mata kanan Mohd. Saiful dengan pensel mekanikal.

“Saya harap siasatan dapat dilakukan namun kami sekeluarga mahu kejadian ini dijadikan iktibar kepada semua.

“Kejadian ini jelas menunjukkan gejala buli masih berleluasa dan ibu bapa serta pengurusan sekolah perlu sedar mengenai perkara ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Rosli, keadaan anak tirinya itu semakin stabil namun masih ditempatkan di wad Hospital Teluk Intan di sini.

“Doktor memaklumkan anak saya belum mampu melihat dan akan dibedah sekiranya kanta matanya diganti,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang memberitahu, kes tersebut melibatkan Mohd. Saiful dan dua kanak-kanak lain.

Utusan Malaysia Online: 29 Mei 2011

Sabtu, 28 Mei 2011

Pelajar terkilan sikap guru bahasa Inggeris perbodohkan pelajar

2011/05/28

KAMI pelajar tingkatan tiga di SMK Dato Sulaiman, Parit Sulong amat kecewa dengan sikap seorang guru bahasa Inggeris yang berkelulusan dari universiti di Amerika Syarikat.

Pada hari pertama beliau memasuki kelas kami, kami begitu bangga dan teruja kerana mendapat guru bahasa Inggeris lulusan dari luar negara.
Tentu hebat orangnya, tentu juga hebat cara mengajarnya dan tentu sekali harapan kami akan dapat menguasai bahasa Inggeris dengan lebih cepat dan mudah.

Malangnya, apa yang kami harapkan tidak kesampaian. Pada setiap hari, beliau memulakan pengajarannya dengan memperbodoh-bodohkan kami, mukanya tidak pernah menyenangkan hati kami dan ada kalanya menyalahkan guru bahasa Inggeris kami yang terdahulu.

Agaknya, begitulah caranya lulusan luar negara mengajar? Memaki, menghina, menjatuhkan maruah kami?

Semuanya ini berbeza dengan guru bahasa Inggeris kami yang terdahulu, iaitu lulusan dalam negara saja. Mereka begitu sabar, teliti, sentiasa memberi motivasi dan tekun mengajar, malah tidak kedekut dengan masa, tenaga malahan wang ringgit.

Jika guru lulusan Amerika ini terus mengajar kami, saya rasa akan gagal dalam mata pelajaran bahasa Inggeris dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kelak.

Mohon jasa baik pengetua menggantikan guru ini dengan guru bahasa Inggeris lain yang lebih memahami jiwa, kehendak dan pencapaian kami.

PELAJAR TERHINA,
SMKDS


Berita Harian Online: 28 Mei 2011

Mata murid buta dicucuk pensel


Mohd. Saiful menunjukkan mata kanannya yang buta akibat dibuli.


TELUK INTAN - Masa depan seorang murid lelaki Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Sungai Lampam dekat sini kabur apabila mata kanannya dikhuatiri buta akibat dicucuk dengan pensel mekanikal oleh rakan sekelasnya kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu, Mohd. Saiful Nizam, 10, mendakwa dia dibuli sekumpulan rakan sekelasnya sebelum mata kanannya dicucuk dengan pensel.

Menceritakan semula kejadian itu, Mohd. Saiful yang merupakan seorang pendiam berkata, sebelum kejadian dia yang berjalan menuju ke kelas selepas tamat waktu rehat sesi pagi ditahan sekumpulan rakan.

"Mereka minta saya melakukan sesuatu tetapi saya tidak mahu dan terus masuk ke dalam kelas.

"Semasa berada dalam kelas, mereka pegang tangan dan kaki saya sementara salah seorang daripada mereka ambil pensel mekanikal dan cucuk mata saya," katanya ketika ditemui di Hospital Teluk Intan di sini semalam.

Mohd. Saiful mendakwa, selepas kejadian itu dia mengerang kesakitan sebelum dibawa ke hospital oleh guru sekolah tersebut.

Dakwa kanak-kanak itu, dia pernah dibuli oleh rakan-rakan sekolahnya sebelum ini tetapi terpaksa berdiam diri kerana takut dibelasah.

Difahamkan, sebelum ini, kumpulan pelajar tersebut pernah mengajak Mohd. Saiful menyertai geng mereka tetapi kanak-kanak itu enggan berbuat demikian.

Kosmo Online: 28 Mei 2011

Guru dipanggil bantu siasatan pukul pelajar

SEREMBAN - Beberapa orang guru di sebuah sekolah di Jelebu dekat sini akan dipanggil bagi membantu siasatan polis berhubung dakwaan seorang pelajar dibelasah oleh sekumpulan guru lelaki Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Supritendan Setapa Yusoff berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan kes terbabit dan siasatan kini dilakukan terhadap dakwaan pelajar itu.

"Setakat ini polis belum menahan mana-mana suspek," katanya di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan seorang pelajar dibelasah hingga cedera oleh sekumpulan guru lelaki sekolah itu.

Mangsa, Muhamad Noor Azim Ajis, 17, mendakwa ketika kejadian dia sedang menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia sebelum seorang guru memintanya ke bengkel sekolah lalu dibelasah enam guru lelaki lain.

Kosmo Online: 28 Mei 2011

Jumaat, 27 Mei 2011

Pelajar cedera dakwa dibelasah 6 guru


LAKONAN semula bagaimana Muhammad Noor Azim dipijak oleh sekumpulan enam guru dalam kedudukan bersujud.


HULU LANGAT – Seorang pelajar sebuah sekolah di Jelebu, Negeri Sembilan mendakwa dibelasah hingga cedera oleh sekumpulan guru lelaki di sekolah itu pada Selasa lalu.

Muhammad Noor Azim Ajis, 17, mendakwa, kejadian bermula ketika dia sedang menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kertas Bahasa Melayu sebelum seorang guru datang dan memintanya ke bengkel sekolah.

“Apabila tiba di bengkel, ada enam guru lelaki lain. Tiba-tiba mereka menumbuk, menendang dan memijak saya hampir setengah jam,” dakwanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Jawa, Batu 18 di sini semalam.

Selain menjadi mangsa sepak terajang, dia juga mendakwa dipukul dengan objek keras pada kejadian pukul 8.30 pagi itu.

Akibat serangan itu, Muhammad Noor Azim terpaksa mengambil cuti sakit kerana cedera di muka, kepala dan badan serta tidak berupaya menduduki peperiksaan.

Dia mendakwa, kumpulan guru itu mengarahkan dia bersujud dengan kedua-dua tangan dilipat ke belakang sebelum dipijak dan ditendang.

Kosmo Online: 27 Mei 2011

Guru MRSM juga perlu diberi kenaikan pangkat - Idris Jusoh

KUALA TERENGGANU 26 Mei - Majlis Amanah Rakyat (Mara) meminta kerajaan menimbangkan kenaikan pangkat dan skim gaji baru bagi guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seperti yang dinikmati mereka di bawah Kementerian Pelajaran.

Pada masa ini, terdapat lebih 3,000 guru yang berkhidmat di 45 buah MRSM di seluruh negara.

Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, untuk tujuan itu, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam waktu terdekat.

Beliau memberitahu, sekiranya kerajaan bersedia memberi kenaikan pangkat kepada guru di Kementerian Pelajaran, guru-guru di MRSM juga layak menikmati faedah yang serupa.

Jelasnya, guru-guru yang berkhidmat di MRSM turut mempunyai kelayakan serupa selain dibebani tanggungjawab yang hampir sama dengan guru Kementerian Pelajaran.

"Memang patut guru-guru MRSM dapat kenaikan (pangkat) baru tapi perkara ini kena bincang dengan JPA terlebih dahulu. Ia perlu diselaraskan oleh JPA.

"Tiada sebab bagi guru-guru di MRSM tidak dapat gaji yang sama dengan guru-guru di Kementerian Pelajaran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Badan Pemuafakatan Pendidikan Mara (Muafakat) Ketujuh di MRSM Kuala Terengganu dekat sini hari ini.

Idris memberi reaksi berhubung pengumuman kerajaan baru-baru ini mengenai kenaikan pangkat mengikut kaedah baru kepada golongan guru.

Menurut Idris, beliau akan memastikan kesemua guru MRSM sentiasa mendapat pembelaan sewajarnya atas jasa dan sumbangan besar mereka selama ini dalam mendidik anak bangsa sehingga mampu melahirkan ramai tenaga profesional.

"Saya akan pastikan guru-guru di MRSM tidak dianak tiri, kita akan terus bela nasib mereka," ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 27 Mei 2011

Khamis, 26 Mei 2011

Sembilan lagi diiktiraf SBT

PUTRAJAYA 25 Mei - Kementerian Pelajaran mengiktiraf sembilan lagi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) membabitkan tujuh buah sekolah menengah dan dua sekolah kebangsaan di bawah kohort dua kumpulan kedua tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perkara itu berkata, pertambahan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan SBT kohort dua sebanyak 32 buah.

''Sasaran kita ialah 50 buah sekolah mencapai status SBT pada tahun ini, justeru 30 buah lagi perlu dikenalpasti untuk diberi status SBT agar kita setanding negara maju dan merapatkan jurang pendidikan negara.

''Sehubungan itu, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan berhasrat mempertingkatkan pencapaian pelajar secara menyeluruh serta meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti," katanya ketika berucap pada majlis pengiktirafan SBT 2011, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Ir. Wee Ka Siong.

Sekolah-sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Sains (SMS) Sabah; SMS Tuanku Munawir, Negeri Sembilan; SMS Kuala Selangor, Selangor; SMS Kuching, Sarawak: SM Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan; SM Kebangsaan Lembah Bidong, Terengganu dan SMK Agama Naim Lilbanat, Kelantan.

Sekolah rendah pula membabitkan Sekolah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam, Selangor dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Tung Hua, Sarawak.

SBT ditakrifkan sebagai sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti tersendiri dan unik serta menyerlah dalam semua aspek pendidikan selain mempunyai tradisi budaya kerja sangat tinggi, cemerlang dengan modal insan berkembang secara holistik serta mampu bersaing di peringakt antarabangsa.

Rasionalnya ialah ia dapat mengangkat kualiti sekolah-sekolah terbaik melalui tahap autonomi yang membolehkan mereka melaksanakan inovasi dalam pengurusan; menghasilkan murid cemerlang dan berpersonaliti unggul dalam bidang diceburi serta membina visi yang memberi inspirasi kepada sekolah lain.

Kementerian Pelajaran sebelum ini menyenaraikan 20 buah SBT dalam kohort satu membabitkan 14 buah sekolah menengah dan enam buah sekolah rendah.

Muhyiddin berkata, kecemerlangan pencapaian pelajar amat penting bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang kompetitif selari dengan wawasan negara untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.

''Terdapat SBT yang dilawati negara luar seperti Singapura, Thailand, China, Jepun dan Finland bagi tujuan penanda aras, ini membuktikan sekolah-sekolah kita telah berjaya menarik minat negara lain," katanya.

Utusan Malaysia Online: 26 Mei 2011

Insentif guru tingkat integriti

2011/05/26

TAHUN ini genap 21 tahun saya menjadi warga pendidik dan sepanjang tempoh itu sudah banyak insentif diterima pendidik.

Tidak disangkal ada antara insentif dinikmati sebahagian pendidik menjadikan saya dan rakan agak terkilan. Antaranya, kenaikan gaji 10 peratus untuk guru lepasan maktab berbanding lima peratus kami yang berijazah.
Penjenamaan semula Tingkatan Enam menyebabkan mereka yang baru berkhidmat boleh menikmati DG44 dan DG48. Pemberian elaun RM400 kepada DG41 sedangkan saya menikmati elaun RM400 selepas 15 tahun berkhidmat.

Itu belum dikira kerenah birokrasi yang menyebabkan saya dan rakan tidak dapat memohon guru cemerlang dan guru akademik Tingkatan Enam meskipun ada yang sudah berbelas tahun mengajar Tingkatan Enam dan menjadi pemeriksa kertas STPM dan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia.

Saya menyeru kepada semua pendidik agar jadi manusia yang bersyukur. Jangan kerana tamak, kita mengorbankan integriti dan profesionalisme kita.

GURU LAMA,
Kuala Lumpur

Berita Harian Online: 26 Mei 2011

Selasa, 24 Mei 2011

PRS bimbang 80,000 guru Semenanjung ke Sarawak

24/05/2011 3:22pm

SIBU 24 Mei - Parti Rakyat Sarawak (PRS) melahirkan kebimbangan terhadap laporan bahawa Kementerian Pelajaran akan menghantar sekitar 80,000 guru dari Semenanjung ke negeri ini tahun depan.

Presidennya, Datuk Dr. James Jemut Masing berkata, mereka terutamanya bimbang kerana di kalangan kumpulan itu, sejumlah besar akan terdiri daripada guru agama.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis jamuan pra-perayaan Gawai Dayak anjuran Sayap Wanita PRS Bukit Assek di sini malam tadi, beliau berkata, “Mereka (guru-guru agama) itu tidak dilihat sebagai ustaz atau ustazah tetapi sebagai kaunselor bagi “perkara yang saya tidak pasti”.

Hal ini membimbangkan dalam erti bahawa jika mereka sebenarnya sebagaimana dikatakan, kecenderungan untuk mengajar tidak ada tetapi lebih kepada melihat aspek-aspek agama, dakwa beliau.

"Di sinilah mungkin timbul implikasi berlainan,” katanya.

"Saya harap saya salah. Saya senang hati jika saya salah,” tambahnya.

Sarawak, mengikut Masing, selama ini begitu aman dan liberal dalam banyak hal termasuk agama. - Bernama

Utusan Malaysia Online: 24 Mei 2011

Surat: Insentif diberi patut dinikmati semua lapisan guru

2011/05/24

BERITA baik sempena Hari Guru baru-baru ini membolehkan Penolong Kanan (GPK) dan Pengetua masing-masing menerima kenaikan pangkat Gred DG48 dan DG52.

Jika sebuah sekolah menengah ada 100 guru termasuk GPK Pentadbiran, GPK Hal Ehwal Murid, GPK Kokurikulum dan Pengetua, peluang guru biasa mendapat DG48 cuma tiga peratus dan DG52 hanya satu peratus. Akibatnya majoriti guru kecewa termasuk guru bukan siswazah di sekolah rendah.
Memang benar perkara ini membabitkan soal keupayaan kerajaan, tetapi jika dirundingkan dengan kesatuan guru dan mendapat pandangan semua lapisan guru, pendekatan lebih adil pasti dapat dicapai.
Misalnya guru gred DG41 dengan prestasi cemerlang selepas lima tahun boleh dinaikkan ke Gred DG44 berbanding tempoh 10 tahun sekarang. Lebih banyak gred naik pangkat diwujudkan dan jawatan Guru Cemerlang ditambah supaya lebih ramai guru biasa menikmati Gred DG48 dan DG52.

Memang benar tugas Pengetua dan GPK berat kerana mereka bertanggungjawab memastikan semua bidang ditadbir dengan cekap agar perjalanan sekolah berkesan untuk menjamin kejayaan murid.

Namun, guru mendakwa tugas mereka lebih berat kerana bertanggungjawab secara langsung kepada murid dengan mengurus kelas untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dilaksanakan dengan berkesan.

Ada guru menuduh pihak pentadbir hanya tahu merancang, mengarah dan memantau, yang teruk melaksanakan tugas ialah guru.
Sebenarnya kedua-dua pihak sama penting. Oleh itu, jika ada berita baik, perlu dirasai semua. Kata pepatah ‘hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah.’

ZIN MARKAM,
Pontian, Johor

Berita Harian Online: 24 Mei 2011

Surat: Kaedah pembelajaran bahasa Inggeris perlu ditukar

2011/05/24

USAHA murni Kementerian Pelajaran untuk mempertingkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar khususnya Bumiputera adalah satu langkah terpuji. Subjek bahasa Inggeris adalah satu subjek yang cukup penting.

Tanggapan bahawa bahasa Inggeris itu susah dan membosankan masih lagi menebal dalam diri pelajar yang sukar untuk diubah supaya mereka mempunyai satu minda yang positif terhadap subjek berkenaan. Selagi situasi ini tidak ditangani, maka selagi itulah permasalahan ini akan terus menjadi duri dalam daging dalam kita mencari jawapan kepada jalan penyelesaiannya.
Penyelesaian kepada isu ini ialah sistem pembelajaran bahasa Inggeris perlu kepada pendekatan yang baru. Sistem yang ada sekarang perlukan kepada penambahbaikan. Sistem pembelajaran bahasa Inggeris sekarang secara keseluruhannya berfokus kepada penilaian peperiksaan yang memerlukan pelajar mesti belajar untuk lulus.
Dunia globalisasi sekarang menuntut kita faham dan mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris supaya kita tidak ketinggalan dalam arus rentak kemajuan moden. Faham dan boleh berbahasa Inggeris sebenarnya sudah memadai pada dunia sekarang.

Tetapi dalam isu bahasa Inggeris ini, kita masih lagi terikat dengan sistem peperiksaan. Peperiksaan itu menjadi kayu ukur kepada tahap penguasaan bahasa Inggeris seseorang. Lulus dengan cemerlang, maka bererti baguslah penguasaan bahasa Inggeris seseorang itu. Tanggapan ini sebenarnya sudah tidak boleh diambil kira lagi pada masa kini.

Pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah sekarang ini lebih menekankan kepada kemahiran menguasai tata bahasa, sedangkan penguasaan asas bahasa Inggeris itu sendiri masih lagi belum dapat dikuasai oleh pelajar.

Kaedah pembelajaran bahasa Inggeris perlu ditukar kepada satu bentuk pembelajaran yang baru. Pembelajarannya mestilah lebih menjurus kepada kemahiran bertutur, mendengar dan memahami pertuturan bahasa Inggeris itu sendiri.
Modul pelajaran hendaklah menekankan kepada keupayaan pelajar untuk memahami pertuturan bahasa Inggeris dan mampu untuk membalas balik pertuturan itu. Pembelajarannya hendaklah lebih kepada aktiviti perbualan seharian bagi memahirkan dan membiasakan murid untuk bertutur.

Peperiksaannya juga mestilah mengambil kira keupayaan pelajar itu dalam memahami dan berbahasa Inggeris sebagai syarat wajib lulus peperiksaan. Dengan cara ini, pelajar akan terdedah kepada dunia pertuturan bahasa Inggeris yang akan memberikan mereka keberanian dan keyakinan untuk bertutur.

MOHD NORHIESYAM KAMALUDIN,
Larkin, Johor

Berita Harian Online: 24 Mei 2011

Inovasi muzik wayang kulit dalam P&P

ARKIB : 23/05/2011


Mohd Asmawi (bertali leher kuning) bersama ahli kumpulan wayang kulit SMK Sering selepas membuat persembahan di Festival Hari Guru 2011, Kuching, Sarawak, baru-baru ini.


PENGGUNAAN muzik tradisional wayang kulit dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berjaya meningkatkan minat pelajar untuk hadir ke sekolah di samping menggalakkan generasi muda untuk mencintai warisan budaya bangsa.

Penerima Anugerah Guru Inovasi Hari Guru 2011, Mohd Asmawi Isa berkata, penggunaan muzik dalam P&P terbukti berkesan dalam menarik minat pelajar datang ke sekolah bagi melibatkan diri dalam aktiviti sebelah petang dan pada hujung minggu.

"P&P luar bilik darjah ini bukan sahaja membolehkan pelajar menguasai notasi muzik dengan cepat dan mudah malah mampu mempromosi Malaysia di mata dunia," kata Guru Muzik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sering, Kota Bharu, Kelantan ini.

Beliau memberitahu, kumpulan wayang kulit sekolahnya telah membuat persembahan di United Kingdom, Bulgaria, Itali, China, Scotland dan Kanada.

"Pendedahan di peringkat antarabangsa ini dapat memupuk minat pelajar untuk menguasai dan memelihara seni budaya bangsa agar tidak pupus," katanya ketika ditemui di Festival Hari Guru 2011 di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Modul pembelajaran notasi muzik wayang kulit ciptaan Mohd Asmawi sesuai digunakan oleh semua peringkat usia dari tahap prasekolah hingga ke universiti termasuk untuk orang dewasa.

Ketika ini, ujarnya, modul tersebut digunakan di Sekolah Seni Sarawak dan Sekolah Seni Johor.

Dalam pada itu, menurut Mohd Asmawi, pelajar boleh menjana pendapatan sendiri melalui persembahan di luar sekolah seperti dalam majlis perkahwinan atau acara sambutan orang kenamaan.

"Pelajar juga diajar kemahiran untuk membuat sendiri peralatan wayang kulit," tambahnya.

Selain itu, modul P&P ciptaannya turut menerapkan kemahiran merentas subjek seperti lukisan, bahasa Melayu, sejarah, matematik dan KOMSAS.

Sebagai contoh, cerita dan asal usul wayang kulit merupakan sebahagian daripada subjek Sejarah manakala bahasa yang digunakan pula satu bentuk pembelajaran bahasa Melayu.

Permainan muzik dan wayang kulit ini turut meningkatkan kemahiran psikomotor melalui pelbagai gabungan pergerakan anggota tubuh pelajar.


Utusan Malaysia Online: 24 Mei 2011

Guru parah diserang madu, dua anak tiri

KUALA LUMPUR: Seorang guru wanita berusia awal 40-an cedera parah selepas diserang seorang wanita dan dua anaknya di sebuah kondominium, di sini, kelmarin, selepas rahsia perkahwinan mangsa dengan suaminya diketahui wanita berkenaan yang juga isteri pertama.

Mangsa cedera pada kepala, muka dan badan selepas ditendang, ditumbuk dan disepak dua remaja perempuan berusia belasan tahun yang juga anak isteri pertama suaminya selain turut dipukul madunya berusia lewat 40-an yang dikatakan hilang pertimbangan selepas mengetahui dirinya dimadukan.

Difahamkan, mangsa mendakwa suaminya memberitahu perkahwinan mereka sejak enam bulan lalu mendapat persetujuan isteri pertama. Namun, wanita terbabit dilaporkan tidak pernah bersemuka dengan madunya itu kerana dipercayai dilarang suami kononnya bagi mengelakkan pergaduhan.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, kebahagiaan perkahwinan mangsa tersentak selepas mangsa diserang tiga beranak terbabit.


Sumber polis berkata, kejadian bermula apabila mangsa yang menaiki kereta untuk ke sekolah kerana ada urusan penting tiba-tiba dihalang sebuah kereta dinaiki seorang wanita dan dua anaknya.

myMetro: 24 Mei 2011

Isnin, 23 Mei 2011

Kegembiraan bertukar sedih cikgu dicaci, dihina sempena Hari Guru

2011/05/23

KEGEMBIRAAN menyambut Hari Guru pada 16 Mei lalu dan mendapat khabar gembira anak didik mendapat tempat di Institut Pengajian Tinggi (IPT) berubah menjadi luka apabila membaca ruangan SMS dan surat di akhbar ini yang mengeluarkan kata-kata menyakitkan golongan guru.

Sedih kerana selepas 40 tahun Hari Guru diadakan, kata-kata seperti guru banyak cuti, guru tak ikhlas, guru dera murid, tak malu dan suka meminta-minta dan pelbagai tuduhan lain benar-benar menyinggung perasaan guru selepas menerima ‘khabar gembira’ yang tidak menggembirakan daripada kerajaan pada hari guru.
Kami tidak minta apa-apa tetapi sejak beberapa hari sebelum Hari Guru sudah dicanangkan kami akan menerima berita gembira, dengan kata lain kami diberi harapan oleh Menteri Pelajaran sendiri.
Tetapi apabila tiba masa kami semua gigit jari sebab di sekolah saya yang ada 100 guru, tiada siapa dapat ‘durian’ itu. Itu yang menyebabkan warga guru kecewa ibarat petir berdentum-dentam tapi setitik air pun tak turun.

GURU DG44 IKHLAS,
Kuala Lumpur

Berita Harian Online: 23 Mei 2011

Ahad, 22 Mei 2011

Timbang beri kenaikan tiga tangga gaji

KUALA LUMPUR 21 Mei - Kerajaan diminta mempertimbangkan memberi kenaikan tiga tangga gaji kepada kira-kira 70,000 guru yang hampir bersara dan kini berada pada kedudukan gaji mati.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, ia merupakan antara beberapa perkara yang perlu diambil perhatian dalam perbincangan yang akan diadakan oleh Kementerian Pelajaran berhubung nasib kumpulan guru yang tidak tersenarai dalam pengumuman kenaikan pangkat baru-baru ini.

"Pada masa ini, kenaikan gaji mereka adalah RM90 setahun. Jika mereka diberi kenaikan untuk tempoh tiga tahun, itu sudah memadai. Mereka ini antara golongan yang setia dalam perkhidmatan dan kenaikan itu amat dihargai," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas jaminan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan akan mempertimbangkan nasib kumpulan guru yang tidak tersenarai dalam pengumuman kenaikan pangkat baru-baru ini.

Hashim turut meminta kerajaan melaksanakan pelarasan elaun bantuan sara hidup (COLA) sebanyak RM300 kepada semua guru dan penjawat awam.

Kata beliau, amaun COLA yang berbeza-beza tidak praktikal untuk sesetengah kawasan terutama di luar bandar kerana di sesetengah kawasan harga barang di luar bandar lebih tinggi berbanding di bandar.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB), Mohamed Sabri Mohd. Arsad pula mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan kedudukan pangkat guru-guru dan guru besar sekolah rendah.

Antara tuntutan itu kata beliau, ialah kenaikan gred di kalangan guru besar sekolah kurang murid, guru besar sekolah gred A, guru besar cemerlang dan guru besar sekolah biasa.

Utusan Malaysia Online: 22 Mei 2011

Sabtu, 21 Mei 2011

Guru 'tercicir' diminta sabar

BALING 20 Mei - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta kumpulan guru yang tidak tersenarai dalam kenaikan pangkat mengikut kaedah baru yang diumumkan baru-baru ini supaya bersabar kerana kerajaan sedang meneliti perkara itu.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, kerajaan sentiasa peka dengan nasib golongan guru terbabit dan percaya kajian mengenainya sedang dilakukan.

"Apa yang saya boleh katakan sekarang ialah minta mereka sabar kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah tentu mempunyai pertimbangan sendiri berhubung pengumuman kaedah kenaikan pangkat guru baru-baru ini.

"Lagi pun pelaksanaan kaedah baru itu akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012. Maknanya, sementara menunggu tempoh tersebut, mungkin ada sesuatu yang akan dilakukan.

"Saya tidak katakan perkara ini selesai, tetapi sekurang-kurangnya saya boleh katakan perkara ini akan terus dibincangkan bersama Perdana Menteri," katanya selepas merasmikan Pejabat Pelajaran Daerah Baling/Sik bernilai RM4.3 juta di Batu 42, Pulai dekat sini hari ini.

Beliau diminta mengulas keluhan beberapa pihak termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengenai nasib guru termasuk 400,000 guru sekolah biasa yang tidak mengalami kenaikan pangkat walaupun sudah berkhidmat lebih 15 tahun.

Muhyiddin berkata, beliau juga akan mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa bersama Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk memenuhi permintaan NUTP bagi menjaga kebajikan ahli-ahli mereka.

"Bagaimanapun, ingin ditegaskan bahawa setiap pertimbangan yang dilakukan kerajaan perlu mengambil kira keupayaan ekonomi negara.

"Sekarang kita nak berjimat bagi mengurangkan defisit. Kalau buat keputusan harus kira keupayaan kerajaan untuk tampung kos tambahan kenaikan sama ada gaji atau elaun," jelasnya

Utusan Malaysia Online: 21 Mei 2011

Surat: Guru kena inovatif jayakan transformasi pendidikan

2011/05/21

MEI kebiasaannya dikaitkan dengan sambutan pelbagai hari tertentu Hari Guru yang diraikan pada setiap 16 hari bulan. Tema Hari Guru 2011 adalah ‘Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara’.

Tema itu jelas membawa maksud perubahan ke arah penambahbaikan sistem pendidikan negara perlu digerakkan 400,000 pendidik di seluruh negara.
Golongan ini adalah jumlah terbesar daripada keseluruhan 1.2 juta kakitangan kerajaan. Justeru, antara elemen terpenting yang harus dimiliki guru dalam merealisasikan transformasi itu ialah budaya inovasi, khususnya dalam pelaksanaan strategi pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Secara umumnya, inovasi memberi makna pembaharuan dari aspek idea dan amalan guru. Nilai aspirasi 1Malaysia turut menyenaraikan budaya inovasi sebagai nilai yang perlu diberi penekanan dalam melaksanakannya.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyatakan sistem pendidikan perlu diperbaharui dengan memasukkan elemen karakter bersama kebijaksanaan seperti inovasi.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia tahun lalu turut menekankan antara fokus yang diterapkan dalam sistem pendidikan negara ialah membangunkan generasi muda yang mampu berfikir secara kreatif dan inovatif.

Ini jelas menunjukkan betapa pentingnya budaya inovasi dipupuk dalam diri pendidik. Guru perlu berani berubah untuk kebaikan, mencari penyelesaian baru dalam menangani masalah dan sentiasa menjadi perintis dalam bidang pendidikan. Guru berinovasi harus memikirkan cara memanfaatkan kemudahan disediakan untuk kebaikan pelajar.

Mungkin ada baiknya juga Kementerian Pelajaran merancang untuk memansuhkan peperiksaan wajib darjah enam dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) selain mengehadkan pengambilan subjek dalam Sijil pelajaran Malaysia (SPM).

Di samping mengurangkan beban guru yang terkejar-kejar untuk menghabiskan sukatan pelajaran mengikut tempoh ditetapkan, banyak masa boleh digunakan mereka untuk membudayakan inovasi ini khususnya memikirkan strategi pengajaran dan pembelajaran berkesan untuk pelajar mereka.

ABDUL HALIM ABDULLAH,
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Berita Harian Online: 21 Mei 2011

Surat: Guru wajar bersyukur khidmat tetap dihargai

2011/05/21

TERIMA kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan hadiah paling istimewa sempena Hari Guru tahun ini. Walaupun saya bukan dI kalangan guru, namun saya bangga kerana pernah mendapat khidmat guru ketika bersekolah pada masa lampau.

Saya terpanggil untuk mengutarakan rasa kesyukuran di atas pengumuman Perdana Menteri dan komitmen kerajaan terhadap guru.
Pengumuman itu memperlihatkan kerajaan mengambil berat dan sentiasa memartabatkan kerjaya perguruan.

Kini peluang kenaikan pangkat golongan ini semakin bertambah baik, melalui pewujudan empat kategori guru iaitu guru biasa, guru kanan, guru wibawa dan guru pendeta dengan mereka yang mencapai dua kategori tertinggi berpeluang mencapai sehingga gred DG54 dalam tempoh 25 tahun berkhidmat.

Jika dibandingkan dengan masa lampau, beban tugas guru hari ini semakin berat dan mencabar seperti mengurus kewangan, pentadbiran sekolah, hal ehwal akademik, kokurikulum, kemasyarakatan dan berbagai-bagai lagi.

Guru juga bertanggungjawab untuk melonjakkan keputusan peperiksaan saban tahun yang menjadi harapan ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhannya.

Semoga dengan pengumuman kaedah dan naik pangkat guru menjadi pencetus semangat untuk memberikan perkhidmatan dengan jujur dan ikhlas.
Baru-baru ini ada rungutan di kalangan guru sama ada berkhidmat di sekolah rendah, mahupun di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD). Hendaknya bersyukurlah mereka kerana mempunyai pekerjaan dan jaminan kerja yang baik.

Di luar sana masih ramai yang tidak dapat berkhidmat dengan kerajaan bukan kerana tidak mempunyai kelulusan akademik serta bakat dan kreativiti tetapi kerana tidak terpilih sebagai guru kerana tempat yang terhad.

Saya memohon guru itu memberikan reaksi positif terhadap pengumuman kerajaan kerana saraan gaji guru kini semakin baik dan dinamik, demikian juga peluang untuk melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat lebih tinggi.

Hendaknya guru jangan mengejar pangkat dan gaji tinggi saja. Jauh daripada itu tugas mendidik anak bangsa hingga menjadi insan berkualiti dan mampu membina tamadun baru lebih diutamakan.

Lihat bagaimana guru pada suatu masa dulu bukan saja menjadi guru di sekolah, bahkan menjadi guru juga di kalangan masyarakat sehinggakan sudah bersara pun tetap dipanggil cikgu dan mampu pula menggerakkan rakyat untuk meniup semangat nasionalisme bagi menuntut kemerdekaan dengan mengusir penjajah melalui kaedah pendidikan dan pembelajaran.

YOSRI ABU MAHSIN,
Kota Belia, Putrajaya

Berita harian Online: 21 Mei 2011

Memahami perguruan sebagai institusi keinsanan, peradaban

Oleh Zaini Ujang

2011/05/21

SETIAP 16 Mei kita meraikan Hari Guru. Perdana Menteri biasanya berucap memperihalkan pelbagai dasar baru untuk memartabatkan lagi kerjaya guru sesuai dengan impak guru kepada pembangunan negara. Skim dan pelbagai insentif baru diperkenal yang sudah pasti diterima dengan pelbagai tanggapan. Ramai suka, tetapi ada juga kecewa.

Penyair menggambarkan guru dengan warna pelangi menggunakan metafora dan susunan bahasa indah. Penulis pula meletakkan peranan guru dalam konteks pembangunan dan citra bangsa. Sementara pemimpin kesatuan dan tokoh meluahkan hasrat supaya penghargaan terhadap jasa guru diterjemahkan dalam bentuk persekitaran kerja lebih kondusif, kemudahan dan sistem saraan lebih kompetitif secara lebih menyeluruh.
Sepanjang ingatan saya, setiap tahun itulah kebiasaannya, walaupun diungkapkan dengan pelbagai tema, lokasi dan acara berbeza. Pokoknya sama, nadanya sekata. Memang kepentingan dan jasa guru perlu kita kenang, bukan hanya 16 Mei. Memang peranan guru kepada pembangunan bangsa wajib kita nobatkan sebagai penyuluh zaman. Dalam segala hal, gurulah pemula, gurulah pelopor dan guru jugalah yang perlu kita hargai sentiasa. Dalam kalangan ahli sufi misalnya, guru adalah segala-galanya, doa dan salasilah sehingga Rasulullah SAW disebut setiap bermulanya zikir dan amal.

Jika kita menyusur sejarah kemerdekaan negara, golongan guru cukup berperanan. Merekalah yang menjadi nadi kefahaman rakyat untuk bangkit menyuburkan jiwa merdeka. Tanpa terlalu memikirkan masa depan pangkat dan kedudukan dalam perkhidmatan, gurulah yang menjadi pemangkin kegiatan politik dari akar umbi sehingga kepemimpinan nasional. Peranan institusi perguruan dari Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) sejak 1922, kerjaya guru sehinggalah aktiviti guru di luar sekolah terakam dengan catatan tinta emas dalam sejarah negara.

Maka lahirlah beberapa nama besar seperti Ghaffar Baba, Za’ba, Aminudin Baki, Hamdan Sheikh Tahir, Shaharom Husein dan Syed Nasir Ismail dalam kalangan guru yang berperanan bukan sekadar mengajar dengan sukatan formal untuk memastikan anak murid mereka mendapat kejayaan cemerlang menduduki peperiksaan.

Guru turut membina sikap dan watak, mencanai jiwa dan aspirasi anak bangsa. Demikian peranan guru yang pada hakikatnya, menurut perspektif Islam, lebih dari sekadar muddaris (pengajar) malah adalah muaalim (penyampai ilmu), muaddid (pembina adab), murabbi (pendidik akhlak) dan murshid (inspirator).

Itulah pendorong sehingga peranan guru juga mewarnakan dasar utama dan kepemimpinan negara. Ini begitu ketara pada 1959 apabila Kesatuan Guru-Guru Melayu mendesak Tunku Abdul Rahman supaya segera membangunkan sekolah menengah Melayu.
Ketika itu hanya sekolah rendah saja disediakan untuk aliran Melayu walaupun aliran Inggeris sudah lama dimulakan menerusi penubuhan Penang Free School pada 1902. Walaupun Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) ditubuhkan pada 1905 tetapi matlamatnya adalah untuk meraikan golongan bangsawan Melayu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Demikianlah besar jasa dan peranan guru. Selain mencetuskan pelbagai bentuk idea dan kesedaran baru berkaitan pendidikan, mereka juga komited melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memartabatkan bangsa. Kadangkala mereka berhadapan dengan pelbagai rintangan dan kesusahan.

Bertugas jauh di pedalaman, keadaan sekolah serba kekurangan dan latar belakang sosiobudaya murid yang ketinggalan. Kenyataannya, keadaan ini memperkuat dan meningkatkan lagi komitmen guru untuk lebih cemerlang memberi sumbangan kepada kemajuan bangsa.

Membaca sejarah hidup Pendeta Za’ba menyedarkan kita bahawa idealisme guru berkait rapat dengan kemerdekaan jiwa dan pembangunan minda. Guru juga berfungsi menggerakkan pemikiran bangsa bukan hanya dengan lisan kepada anak murid dalam bilik darjah, malah dengan tulisan kepada seluruh anak bangsa dalam pelbagai media.

Kita juga terkesan bahawa tokoh guru seperti Ghaffar Baba dan Pendeta Za’ba melaksanakan tugas mendidik dan membina bangsa tidak terhad ketika memegang jawatan sebagai guru sekolah. Sepanjang hidup mereka dalam pelbagai lapangan, aspirasi guru sebagai mudarris dan murshid tetap didokong dan mengembang. Tugas muallim dan muaddid tidak hanya terlaksana ketika mengajar di dalam darjah atau dewan kuliah.

Sehubungan itu, ada baiknya kita melihat semula kebiasaan kita meraikan Hari Guru setiap 16 Mei. Memang kerjaya guru perlu mendapat sorotan utama dan dokongan istimewa. Memang kerjaya guru perlu diperkasa dan terus dimartabatkan. Memang lebih banyak kemudahan perlu disediakan supaya guru boleh berperanan dengan lebih berkesan mendidik anak bangsa.

Hakikatnya tidak ada imbuhan yang boleh menyamai peranan dan jasa guru. Tidak ada skim perkhidmatan yang setara dengan kepentingan guru kepada pembinaan sesebuah bangsa dan tidak ada insentif duniawi yang setanding dengan karamah guru sebagai murshid dan muaddid.

Justeru, dalam kemeriahan menyambut 16 Mei, kita juga perlu memahami bahawa institusi perguruan adalah institusi keinsanan dan peradaban. Tugas muaddid dan muallim sebenarnya adalah peranan semua pihak.

Justeru, kita tidak boleh menyalahkan mereka yang berkhidmat sebagai guru sekolah semata-mata apabila pelajar sekolah terbabit dalam pelbagai aktiviti tidak sihat, apatah lagi jenayah. Hakikatnya peranan membangunkan minda, akhlak dan aspirasi bangsa adalah tugas bersama seluruh warga.

Justeru, pada hemat saya, institusi perguruan melebihi batas sesuatu kerjaya. Dalam konteks Islam sebagai contoh, kita dituntut untuk mengajar kepada mereka yang tidak tahu walaupun sepatah ayat, seperti maksud sebuah hadis.

Kita juga diperintah untuk menyuburkan akhlak mulia, sebagai muadib dan murabbi bukan saja untuk diri sendiri dan keluarga, malah jiran tetangga dan masyarakat sekitar. Apabila melihat kemungkaran dan salah laku, kita bertanggungjawab untuk mencegah sama ada dengan kuasa, tangan atau lisan.

Itulah rasional pada hemat saya setiap 16 Mei, selain meraikan jasa dan peranan guru maka kita juga perlu menghidupkan semula jiwa pendidik dalam setiap anggota masyarakat. Tarikh 16 Mei seharusnya dihayati dengan melihat semula komitmen semua pihak terhadap penghayatan memajukan bangsa dan negara menerusi institusi pendidikan yang melewati sempadan sekolah, kolej dan universiti. 16 Mei seharusnya kita sambut dengan penuh kesedaran bahawa membangunkan umat, memajukan bangsa dan menyuburkan adab perlu dilaksanakan sesuai dengan peranan setiap anggota masyarakat sebagai ‘guru’ – muddaris, muallim, muaddid, murabbi dan murshid.

Malang sekali jika 16 Mei sekadar ritual perhimpunan rasmi tahunan dengan acara menyanyikan lagu dan deklamasi puisi, serta menanti-nanti pengumuman rasmi mengenai insentif baru dalam skim perkhidmatan, apatah lagi jika diriuhkan dengan perdebatan tentang siapa dapat apa?

Zaini Ujang ialah penulis buku Menghayati Budaya Ilmu (Penerbit UTM, 2009)

Berita Harian Online: 21 Mei 2011

Jumaat, 20 Mei 2011

Berita baik hanya gembirakan pengetua, GPK

2011/05/20

APABILA kerajaan mengumumkan berita baik untuk guru sempena Hari Guru baru-baru ini, majoriti saya lihat dan dengar ialah tidak enak didengar. Antara komen mereka ialah apa yang guru dapat? Nasib guru DG41, DG44 baik sekolah menengah ataupun sekolah rendah seperti terpinggir.

Berita baik itu hanya menggembirakan pengetua dan guru penolong kanan (GPK) yang bertukar secara automatik kepada DG48 atau DG52 yang mana ada antara mereka ini berkhidmat tidak sampai 10 tahun.

Kononnya tugas mereka berat? Saya berpendapat tugas guru biasa lebih berat daripada mereka. Saya berpendapat tugas pengetua dan GPK, kerani biasa pun boleh buat. Itulah sebabnya kerani lebih banyak di pejabat. Sebab semuanya kerani yang buat. Jadi di mana rasionalnya kerajaan menaikkan gred GPK dan pengetua kepada DG48 dan 52 secara automatik mulai 1 Januari 2012?

Tugas guru biasa lebih berat sebab mereka mengajar. Tugas mengajar sangat berat. Jika murid gagal, guru biasalah yang membantu murid meningkat. Sebab itu guru biasa sanggup buat kelas tambahan dan pulang lewat. Hasilnya sekolah akan meningkat prestasi muridnya.

Siapa yang dapat nama? Biasanya pengetua. Pada hal semua idea datang dari guru biasa itu sendiri. Mereka buat kertas kerja dan jawatankuasa. Pengetua hanya tanda tangan dan berilah sikit komen.

Begitu juga dengan GPK. Semua tugas berat, guru biasalah yang buat. Mereka kurang idea dan salah satu kerja mereka meronda dan tugas ini juga boleh dilakukan kerani.

TLS JELEBU,
Negeri Sembilan

Berita harian Online: 20 Mei 2011

Rintihan hampa seorang guru

Umum tahu 16 Mei setiap tahun adalah Hari Guru. Saya sendiri sudah 12 tahun bersara sebagai guru.

Saya teringat sambutan Hari Guru tahun 1977. Sambutan peringkat kebangsaan diadakan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya. Tiga atau empat hari sebelum tarikh tersebut, saya menerima sepucuk telegram daripada Jawatankuasa Sayembara Mengarang Novel Hari Guru 1976, menjemput saya ke majlis penyampaian hadiah di Dewan Tunku Canselor kerana karya saya berjaya memenangi salah satu hadiah tersebut.

Walaupun saya hanya mendapat hadiah sagu hati, saya rasa amat gembira, berbaloi penat lelah saya selama lebih kurang enam bulan menghasilkan karya saya berjudul Keretapi. Sesuai dengan judul novel, saya membawa isteri dan anak yang ketika itu berusia lima tahun menaiki kereta api dari Alor Setar ke Kuala Lumpur.

Apabila sampai ke Dewan Tunku Canselor, saya dan lima pemenang lagi disambut oleh seorang petugas. Dibisikkan kepada saya bahawa di kalangan pemenang sagu hati, novel Keretapi adalah yang terbaik. Malah dibisikkan ia dicadang dijadikan buku teks sastera tingkatan tiga.

Saya hanya tersenyum. Saya tidak yakin novel saya akan terpilih. Novel saya hanya novel kanak-kanak. Kisah dalam novel itu hanya kisah biasa sahaja. Lagipun saya seorang penulis yang langsung tidak dikenali. Ketika itu saya hanya menulis dua buah buku, sebuah novel kanak-kanak dan sebuah kumpulan cerpen kanak-kanak terbitan Saudara Sinaran Berhad Pulau Pinang terbitan tahun 1967, sepuluh tahun terdahulu dari tarikh Hari Guru 1977.

Pemenang-pemenang hadiah utama iaitu Saudara Baharudin CD, Abd. Talib Hassan dan Ibrahim Omar adalah penulis-penulis yang sudah terkenal pada masa itu. Novel Desa Pingitan karya Ibrahim Omar telah pun dijadikan teks Sastera tingkatan lima. Tentu novel-novel mereka lebih berpeluang menjadi buku teks sastera bagi kelas seperi tingkatan tiga. Cukuplah novel saya menjadi buku bacaan di perpustakaan sekolah, saya terfikir.

Hari itu kami menerima hadiah masing-masing daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu menjadi Menteri Pelajaran. Masa itu hadiah tidaklah besar, hadiah utama RM3,000, RM2,000 dan RM1,000. Pemenang hadiah saguhati hanya menerima RM500 sahaja. Saya rasa sangat gembira bukan kerana RM500 tetapi mengenangkan tak berapa lama lagi saya akan melihat novel Keretapi di kedai-kedai buku termasuklah melihat novel itu di perpustakaan di sekolah tempat saya mengajar.

Tidak berapa lama kemudian, novel-novel yang mendapat hadiah utama diterbitkan. Saya membeli ketiga-tiga buah novel tersebut. Saya menunggu penerbitan novel saya pula. Tunggu punya tunggu tidak juga diterbitkan. Saya menulis di akhbar Utusan Malaysia, bertanyakan hal ini tetapi tidak mendapat reaksi dari mana-mana pihak. Saya amat kecewa.

Kemudian, saya menyertai Peraduan Menulis Novel Kanak-Kanak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Saya tidak memenangi sebarang hadiah. Saya berasa sedikit terkejut apabila DBP menghubungi saya mengatakan bahawa pihak DBP akan menerbitkan novel saya berjudul Cahaya dengan sedikit pindaan.

Saya tersenyum memikirkan novel saya yang kalah pun dapat diterbitkan. Pihak DBP mahu saya memberi persetujuan akan pindaan yang mereka buat. Saya pun bersetuju. Judul novel saya Cahaya telah ditukar kepada Inah. Saya merasakan tindakan DBP meminda manuskrip saya kerana mahu menyesuaikan isi buku untuk kanak-kanak dengan pembaca di kalangan kanak-kanak. Novel Inah telah dicetak dua kali. Terima kasih tak terhingga kepada DBP.

Hari ini, setelah menunggu 34 tahun, novel yang saya menangi ketika hadiah Sayembara Novel Hari Guru 1976 tidak juga diterbitkan. Saya berasa kecewa dan letih. Saya tidak lagi mengharapkan Keretapi diterbitkan kerana ceritanya mungkin tidak lagi memenuhi cita rasa pembaca di era zaman milinieum ini. Kalau dapat diterbitkan juga, syukur Alhamdulillah.

Di sini, saya meminta jasa baik sesiapa yang menyimpan manuskrip novel Keretapi agar memulangkannya kepada saya kerana saya tidak menyimpan salinannya. Tentu semua orang tertanya-tanya mengapa sampai tiada salinannya. Ketika menulis novel tersebut, saya cuma mencatat di kertas-kertas. Kemudian menaip dengan menggunakan mesin taip berjenama Brother dan saya tidak menggunakan kertas karbon sebagai penduanya kerana mengejar waktu.

Setelah selesai menaip tidak ada waktu pula untuk saya membuat salinan karya saya itu. Manuskrip saya sampai ke meja pengadil sehari sebelum tarikh tutup. Saya sebagai seorang guru selalu memastikan kerja sekolah yang akan saya dahulukan. Ini yang membuatkan saya kelam kabut. Lagipun saya selalu terfikir, kalau karya saya tidak dapat diterbitkan, pihak berkenaan akan mengembalikan manuskrip saya.

Bolehkah manuskrip novel Keretapi saya ditemui semula? Sejarah telah membuktikan dokumen-dokumen penting yang hilang ribuan tahun lalu dapat ditemui semula.

Saya sangat mengharapkan dapat membaca kembali karya Keretapi yang saya tulis 34 tahun lalu. Mungkin, pada ketika anak-anak sudah berjauhan, kesunyian adalah teman sejati. Selain mengisi waktu terluang di usia ini dengan beribadah, saya juga ingin sekali membaca novel hasil karya sendiri. Kasihanilah saya.


Utusan Malaysia Online: 20 Mei 2011

Terlalu sedikit insentif guru lepasan Diploma

SELAMAT Hari Guru buat semua yang bergelar pendidik. Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara. Itulah tema perayaan Hari Guru tahun ini yang disambut dengan begitu meriah di Kuching, Sarawak.

Tahniah kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan juga Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak yang berjaya menganjurkan perayaan Hari Guru tahun ini dengan kelainan. Pastinya ia menjadi nostalgia buat kami semua yang hadir sebagai tetamu, terutama Majlis Berambih yang diadakan sebagai meraikan tetamu warga pendidik yang hadir dari seluruh negara.

Majlis pelancaran Hari Guru yang diadakan di Borneo Convention Centre Kuching sekali lagi turut meninggalkan beberapa impak besar. Pastinya ramai yang ternanti-nanti apakah kejutan bakal diumumkan sebagai menghargai peranan guru selama Ini. Sambutan gilang-gemilang di pintu masuk utama amat meriah.

Sambil menanti ketibaan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, serta dif-dif kehormat, warga pendidik disajikan klip video pengorbanan guru-guru yang bertugas di pedalaman. Juga guru-guru yang mendidik anak-anak istimewa di serata tanah air. Sungguh terharu melihat pengorbanan mereka yang kebanyakannya adalah para pendidik di sekolah rendah.

Warga pendidik secara umumnya mengetahui betapa sukarnya menjadi guru di sekolah rendah. Amanah dan tanggungjawab menjayakan KSSR, LINUS, Pendidikan Khas, Pemulihan Khas dan pelbagai lagi cabaran tugas yang datang bertimpa tanpa henti dilaksanakan dengan sebaik mungkin walaupun terdapat banyak kekangan yang tidak perlu dijelaskan di sini.

Malahan jumlah warga pendidik daripada Kumpulan Sokongan II masih mendominasi jumlah sebenar guru-guru. Begitu juga jumlah sekolah rendah termasuk Sekolah Kurang Murid, jumlahnya jauh melebihi Sekolah Menengah. Oleh itu, tentu sekali jumlah guru Lepasan Diploma juga amat besar dari keseluruhan jumlah warga pendidik dalam perkhidmatan awam.

Guru-guru terutama warga pendidik Lepasan Diploma amat berbesar hati atas usaha kerajaan memartabatkan profesion keguruan. Usaha mewujudkan Guru Wibawa dan Pendeta Guru sewajarnya disokong. Kejayaan-kejayaan seperti NKRA Pendidikan dan LINUS secara khususnya adalah usaha guru-guru sekolah rendah. Lihat sahajalah jumlah sekolah rendah yang mendapat penghargaan New Deal yang jauh melepasi unjuran awal Kementerian Pelajaran.

Namun ramai kecewa kenapa terlalu sedikit pengumuman insentif untuk warga pendidik Lepasan Diploma dari sekolah rendah yang telah berkorban. Ramai daripada mereka tertanya-tanya kerana sudah beberapa kali pengumuman semasa pelancaran perayaan Hari Guru sejak tahun 2009, yang menerima habuan adalah warga pendidik siswazah.

Begitu jelas terpancar kekecewaan di wajah mereka yang hadir pada majlis pelancaran Hari Guru 2011. Yang kuat bertepuk adalah yang menerima habuan. Maka menjelma kembali ulasan kecewa mereka yang telah menanti sekian lama sejak tahun 2009 hinggalah 2011, termasuk kekecewaan semasa Perhimpunan Guru 1Malaysia pada tahun 2010. Kepada Kongress dan beberapa kesatuan guru yang lantang bersuara, teruskanlah usaha murni memartabatkan kaum guru terutama mereka yang berada dalam Kumpulan Sokongan II.

Terharu dan simpati kepada Guru-Guru Besar Sekolah Kurang Murid yang masih terbelenggu pada Gred DGA 32. Kami juga simpati kepada Guru-guru Penolong Kanan Sekolah Rendah yang sepatutnya diberi Elaun Tanggungjawab lebih tinggi daripada RM60 sebulan. Jika boleh tingkatkan gred perjawatan mereka ke DGA 34 agar dapat dibezakan dari guru-guru time-based DGA 32.

Kepada semua Guru Besar Sekolah Rendah, terpaksalah terus membuat tuntutan Elaun Keraian bulanan yang tidak seberapa itu walaupun hakikatnya belanja keraian itu melebihi dari apa yang dituntut, walaupun banyak kerenah membuat tuntutan.

Teruskanlah mendidik anak bangsa kerana Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara. Selamat Hari Guru.

Utusan Malaysia Online: 20 Mei 2011

KPPK yakin kerajaan bantu guru kelas biasa

KUALA LUMPUR 18 Mei — Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) yakin kerajaan akan menangani rintihan serta masalah yang dihadapi oleh kira-kira 400,000 guru kelas biasa dan memberikan mereka lebih banyak peluang kenaikan pangkat.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng berkata, guru-guru ini yang merupakan teras pendidik peringkat akar umbi, seharusnya bertenang dan meneruskan tugas-tugas murni mereka seperti biasa, dan menyerahkan kepada kesatuan soal mengenai perjuangan menjaga kebajikan mereka.

Katanya, kenyataan beliau itu adalah sebagai menyuarakan rasa kecewa dan kebimbangan para guru ini dengan pengumuman kerajaan pada Hari Guru baru-baru ini yang membawa berita gembira kepada lebih 2,000 guru besar dan guru penolong kanan yang akan menikmati kenaikan gaji mulai awal tahun depan.

"Ironinya di sebalik membawa kegembiraan, pengumuman itu menimbulkan kebimbangan dan rasa sedih di kalangan guru kerana sejumlah besar daripada mereka seperti diketepikan," katanya kepada di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak kesatuan yang mewakili 140,000 guru di seluruh negara akan berusaha untuk mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secepat mungkin untuk memaklumkan sendiri mengenai rintihan dan masalah yang dihadapi oleh guru kelas biasa.

Yim Pheng berkata, pihak kesatuan tidak akan menghampakan guru-guru ini kerana mereka merupakan tonggak pendidikan, di mana semua sekolah bergantung kepada kejayaan mereka melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

"Tanpa dedikasi guru-guru kelas ini, kalangan guru besar dan pengetua sahaja tidak akan dapat mengendalikan sekolah," katanya.

Sementara itu tinjauan rambang mengesahkan kenyataan kesatuan itu bahawa ramai guru pada dasarnya tidak berpuas hati dengan pengumuman kerajaan yang memberikan kelebihan hanya buat ketua-ketua sekolah.

Seorang guru yang dikenali sebagai Chandran, 45, yang berpengalaman 18 tahun mengajar berkata, beliau amat sayangkan karier sebagai seorang guru dan amat sayangkan muridnya, namun beliau merasa kecewa kerana merasakan dedikasinya selama ini seperti tidak dipandang.

"Saya biasanya pulang ke rumah sejam atau dua jam lebih lewat kerana saya lanjutkan masa mengajar di sekolah, khusus buat pelajar yang lemah, malah saya ambil inisiatif himpunkan mereka pada hujung minggu untuk membantu mereka dalam pelajaran, namun ini nampaknya tidak dihargai oleh pihak sekolah," katanya.

Seorang lagi guru yang dikenali sebagai Tan berkata, beliau sedih dengan pengumuman itu, kerana beliau mahupun rakan-rakan sejawatannya tidak memperoleh apa-apa manfaat daripadanya.

"Kami bekerja keras, tapi dedikasi kami seperti tidak dihargai," katanya. — BERNAMA

Utusan Malaysia Online: 20 Mei 2011

1,629 murid SKBU2 meraikan 93 guru



PARA pelajar menghias wajah guru Zaharuddin Yusof (kiri) Isa Jupri, Hanafiah Sofian dan Arizal Aziz (kanan) sempena Hari Guru di Sekolah Kebangsaan Bandar Uda 2 (SKBU2), Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 18 Mei - Walaupun sambutan Hari Guru telah berlalu, namun kehangatannya masih dirasai.

Hari ini, seramai 1,629 murid Sekolah Kebangsaan Bandar Uda 2 (SKBU2) meraikan 93 guru sekolah itu dengan pelbagai acara menarik.

Antara yang menjadi tumpuan ramai apabila murid-murid menata rias wajah empat guru mereka iaitu Mohd. Arizal Abd. Aziz, Hanafiah Sapuan, Isa Jupri dan Zaharuddin Md. Yusuf.

Guru Besar SKBU2, Fuziah Hasan berkata, selain itu, pihaknya turut mengadakan pertandingan pakaian beragam dan makan buah limau.

"Sebagai tanda menghargai sumbangan dan pengorbanan guru mendidik anak bangsa, kita turut memberikan Anugerah Guru berdasarkan beberapa kategori," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Anugerah 'Guru Vouge' dimenangi beliau, manakala tempat kedua diraih Azizah Ahmad. Bagi kategori 'Guru Kelakar' dimenangi oleh Mohd. Arizal Abd. Azizi dan tempat kedua dimenangi Habibah Saring.

Anugerah 'Guru Cool' pula diraih Norliza Darmin dan tempat kedua dimenangi Shahrul Izwan A. Rahman manakala 'Guru Garang' dimenangi Kua Chan Yong dan kedua K. Chandralegah.

Turut hadir memeriahkan majlis itu ialah Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKBU 2, Zarin Saniman dan Naibnya, Datuk Yahya Jaafar:

Utusan Malaysia Online: 20 Mei 2011

Guru, pelajar sambut Hari Guru dalam koc

KUALA LUMPUR 18 Mei - Pengalaman meraikan sambutan Hari Guru dalam koc kereta api yang dalam perjalanan dari ibu kota ke Ipoh, Perak semalam memberi pengalaman berbeza kepada guru dan pelajar Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional di Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Bagi Mohd. Alimin Che Ali, 35, yang bertugas di Sekolah Menengah Teknik Kajang, ia merupakan pengalaman baru baginya biarpun sudah enam tahun bertugas sebagai guru.

"Selalunya sambutan diadakan di sekolah dan aktiviti yang dijalankan juga lebih kurang sama setiap tahun. Namun, tahun ini sangat berbeza dan lebih santai," katanya.

Beliau merupakan salah seorang daripada 20 guru yang diundang menyertai sambutan Hari Guru itu yang dianjurkan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan kerjasama Bahagian Teknik dan Vokasional Kementerian Pelajaran.

Kumpulan guru dan pelajar terlibat dibawa menaiki kereta api dari KL Sentral ke Ipoh sejauh 200 kilometer sebelum kembali ke ibu kota dan diraikan dalam beberapa acara menarik sepanjang perjalanan itu.

Perasaan sama turut dikongsi oleh Nor Hazwin Solehah Abdul Hamid, 24, yang bertugas di Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Sungai Buloh.

"Sebenarnya ini merupakan tahun pertama saya bertugas sebagai guru dan merasai pengalaman menarik ini. Saya difahamkan ini adalah kali pertama KTMB menganjurkan program seumpama ini dan tentunya saya berasa bangga kerana menjadi kumpulan pertama guru yang merasai pengalaman menarik ini," katanya.

Bagi Nur Aliyaa Athirah Ahmad Bakhtiar, 17, pelajar Sekolah Menengah Vokasional Sungai Buloh, dia turut teruja kerana dapat meraikan guru tersayang dalam suasana yang cukup istimewa itu.

"Saya gembira kerana turut berpeluang meraikan sambutan ini bersama Ketua Pengarah Pelajaran dan rakan-rakan dari sekitar Selangor dan ibu kota," katanya,

Kavita Prapagaren, 17, dari SMV ERT Setapak turut berkongsi perasaan gembira kerana berpeluang meraikan guru dalam koc KTMB.

Utusan Malaysia Online: 20 Mei 2011

Selasa, 17 Mei 2011

Terima kasih Perdana Menteri

KUCHING 16 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mewakili warga guru hari ini mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah memberikan tumpuan istimewa kepada profesion perguruan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pengumuman mengenai nafas baru sistem kenaikan pangkat yang diumumkan hari ini membuktikan Perdana Menteri sentiasa mendengar keluhan guru yang terpaksa mengambil masa terlalu lama untuk menikmati peluang berkenaan

“Kerana itulah, walaupun dalam keadaan kerajaan perlu mengawal defisit negara, Perdana Menteri masih bersedia menawarkan penambahbaikan skim perkhidmatan pendidikan dengan memberi nafas baru kepada kaedah kenaikan gred khususnya secara time-based.

“Insya Allah, dengan pengumuman yang telah dibuat oleh Perdana Menteri, ramai guru akan menikmati manfaat kenaikan gred yang lebih cepat selepas ini,” katanya ketika berucap sewaktu melancarkan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-40 di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, usaha memartabatkan profesion perguruan adalah satu proses yang berterusan antaranya penambahbaikan dalam Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPLD).

Beliau turut menyatakan komitmennya untuk bekerjasama dengan kesatuan-kesatuan guru bagi melihat isu yang berkaitan dengan profesion perguruan secara lebih terperinci dan menyeluruh, serta mencari kaedah terbaik untuk terus memartabatkan kerjaya itu supaya setara dengan darjat kemuliaannya.

“Pihak Kementerian juga akan terus mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyelesaikan beberapa perkara berkaitan perjawatan guru yang telah dibawa kepada perhatian kementerian sebelum ini,” katanya.

Utusan Malaysia Online: 17 Mei 2011

Kaedah baru kenaikan pangkat bantu jati diri guru

KUALA LUMPUR 16 Mei - Kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena sambutan Hari Guru hari ini diharap dapat meningkatkan lagi jati diri guru sebenar.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, peluang peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan mereka bagaimanapun perlu dinilai melalui kriteria menyeluruh iaitu bukan sahaja bersandarkan pencapaian akademik.

Katanya, antara kriteria lain yang boleh diambil kira adalah kepimpinan membimbing murid dalam bidang kokurikulum, sukan termasuk akhlak dan disiplin murid.

"Kita harap pencapaian guru juga dinilai melalui pembabitan guru dengan masyarakat setempat, kita tidak mahu guru mengasingkan diri dengan masyarakat atau berada dalam dunia mereka sahaja.

"Sekiranya guru sanggup turun padang berjumpa dengan ibu bapa atau penjaga murid jika ada masalah, kita mahu semangat seperti itu akan wujud dalam diri guru,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kaedah baru kenaikan pangkat yang diumumkan itu adalah mengikut kategori empat lapisan jawatan iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Pendeta Guru.

Empat lapisan jawatan itu akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.

Dalam pada itu, Mohamad Ali berkata, hal-hal berkaitan integriti di kalangan guru perlu dititik beratkan dengan memberikan satu pengiktirafan jika tidak pernah terlibat dengan kegiatan rasuah.

Sehubungan itu, katanya, kenaikan pangkat dan tangga gaji yang dicadangkan harus ditawarkan kepada mereka yang mempunyai semangat dan minat mendalam dalam profesion perguruan.

''Para guru harus bersikap profesional untuk meningkatkan standard mereka, sentiasa proaktif dalam usaha mentransformasikan pendidikan negara,'' katanya.

Sementara itu, Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, kerajaan perlu mengambil kira keperluan 2,000 guru besar di sekolah kurang murid yang tidak mengalami kenaikan pangkat.

''Mereka memegang jawatan selama 15 tahun dan tidak ada kenaikan pangkat apa-apa, sekurang- kurangnya dinaikkan ke DGA34 daripada DGA32 sekarang ini, iaitu hanya mengalami kenaikan gaji sebanyak RM90,'' katanya.

Utusan Malaysia Online: 17 Mei 2011

Memartabatkan profesion keguruan



NAJIB Tun Razak menyampaikan berita gembira kepada guru-guru yang hadir melalui tayangan video sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-40 di Kuching, Sarawak, semalam. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN


Pada hari yang bermakna ini, saya ingin mengambil peluang sebagai Perdana Menteri Malaysia juga bagi pihak kerajaan, rakyat, diri saya dan isteri untuk mengucapkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada para guru. Hari ini merupakan hari kita meraikan serta memberi pengiktirafan kepada mereka.

Sesungguhnya, jasa mereka yang begitu besar, budi mereka yang ditabur serta khidmat bakti mereka kepada negara tidak mungkin akan dapat diimbal dengan seadilnya. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu memberikan ganjaran setimpal.

Hakikatnya, sejarah pembangunan Malaysia dilakar melalui kalam para guru, ia disuburkan hasil jerih payah dan pengorbanan warga pendidik di bilik-bilik darjah dan padang-padang permainan. Sebetulnya lagi, sebuah negara yang maju, sebuah tamadun yang hebat, tidak mungkin terbina tanpa insan yang bergelar guru.

Hari ini, di setiap ceruk rantau negara, para guru tanpa mengenal penat lelah senantiasa membawa cahaya harapan kepada anak-anak Malaysia. Para gurulah yang membuka pintu gedung ilmu pengetahuan, membolehkan penerokaan khazanah minda seterusnya mengoptimumkan potensi modal insan negara.

Setiap kejayaan nasional dari transformasi negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi, tercatat di celah-celah lipatan kudratnya para guru.

Begitu juga lompatan transformasi berikutnya ke arah negara maju berpendapatan tinggi memerlukan sentuhan para guru sesuai dengan tema sambutan tahun ini "Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara".

Lantaran itu, menyedari bebanan tugas dan pengorbanan yang telah dibuat para guru, maka kerajaan telah memutuskan untuk menambah baik skim perkhidmatan guru Malaysia. Sehubungan itu, sukacita saya maklumkan kerajaan telah bersetuju bahawa:

Sebagai kesinambungan kepada keperluan transformasi kecemerlangan dalam Perkhidmatan Perguruan dan dalam memartabatkan profesion keguruan di samping mengambil kira keunikan fungsi tugas guru, kaedah kenaikan pangkat khususnya time-based perlu diberi nafas baru.

Kerajaan mendapati sekarang ini, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka cuma pada Gred DG48 setelah sekian waktu menabur bakti selama 25 tahun.

Makanya, kini sampai masanya laluan kerjaya guru ditambah baik demi memastikan mereka yang membentuk modal insan negara diberi pengiktirafan dan ganjaran sewajarnya.

Oleh yang demikian, kerajaan memperkenalkan kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran atau PDP yakni Guru Wibawa dan Pendeta Guru di mana guru akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan. Pertamanya: Guru Biasa, keduanya: Guru Kanan, ketiganya: Guru Wibawa dan keempat: Pendeta Guru. Jelasnya, pewujudan empat lapisan jawatan tersebut akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.

Selain itu, melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru ini, laluan kerjaya guru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan sehingga mencapai ke gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.

Satu lagi berita baik bagi mereka yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan, mereka boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.

Namun, untuk guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, mereka masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan.

Untuk ini, kerajaan bersetuju menambah lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak 100 peratus dengan menambah jumlah sebanyak 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru.

Selanjutnya, sebagai membuktikan lagi kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan profesion keguruan, kerajaan bersetuju untuk menaikkan gred jawatan semua Pengetua Sekolah Menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan.

Sementara itu, semua Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum Sekolah Menengah Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 akan melibatkan 6,585 jawatan. Seterusnya, semua GPK Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum di sekolah rendah Kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan sejumlah 99 jawatan.

Khabar gembiranya insya-Allah, tarikh kuat kuasa pelaksanaan semua perubahan yang dinyatakan tadi akan bermula pada 1 Januari 2012.

Begitulah, betapa pihak kerajaan amat memandang tinggi profesion keguruan di negara ini. Hakikatnya, setiap seorang daripada kita tidak kira sama ada beliau seorang pemimpin, pentadbir, doktor, peguam, akauntan, jurutera, ahli sukan atau apa jua pun kerjayanya, telah terasuh dan dibimbing oleh insan yang bernama guru.

Pujangga bermadah:

Guru umpama kandil yang

terang menyala,

Suluh cahayanya penerang jalan,

Sepatah kata dijadikan pelajaran,

Segumpal pesan dijadikan pedoman,

Ilmu dicurah mengorak alam

terkembang.

Akhir kata, mudah-mudahan para guru sekalian terus ikhlas dan bersemangat menabur jasa serta khidmat bakti kepada anak-anak watan demi sebuah Malaysia.

Utusan Malaysia Online: 17 Mei 2011

Empat dianugerah tokoh guru

Oleh Nor Azma Laila
norazma@bharian.com.my
2011/05/17

MUHYIDDIN   bersama   Abdul Taib,  Abd Ghafar  bergambar bersama tokoh guru dan Tokoh  Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2011 selepas merasmikan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-40 di Kuching, semalam.
MUHYIDDIN bersama Abdul Taib, Abd Ghafar bergambar bersama tokoh guru dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2011 selepas merasmikan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-40 di Kuching, semalam.

Bekas Ketua Pengarah Pendidikan mahu pendidik jujur berkhidmat

KUCHING: Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Matnor Daim, 68, dipilih Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan sempena sambutan Hari Guru 2011 peringkat kebangsaan ke-40, di sini, semalam.

Empat penerima Anugerah Tokoh Guru 2011 pula ialah bekas Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Industri Selangor (Unisel), Prof Datuk Dr Ab Rahim Selamat, 66, dari Melaka; Datuk Siva Subramaniam, 64, dari Perak; Hamedah Wok Awang, 63, dari Pahang dan Datuk Rita Jaafar, 62, dari Sabah.

Mereka menerima wang tunai RM10,000, pingat emas, plak dan sijil penghargaan disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran pada majlis dihadiri lebih 4,000 pengetua, guru dan pegawai perkhidmatan pendidikan di Pusat Konvesyen Borneo Kuching, di sini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong dan Dr Mohd Puad Zakarshi; Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Dr Rosli Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud.

Matnor yang pernah bertugas sebagai Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lutong, Miri menyifatkan anugerah yang diterima itu adalah mewakili jasa dan pengorbanan warga pendidik di seluruh negara.

"Saya terima anugerah ini dengan penuh rendah hati kerana ia adalah berkat sokongan semua insan yang bergelar guru. Anugerah ini besar maknanya bukan hanya kepada saya, tetapi kepada profesion perguruan itu sendiri kerana ia akan lebih memberi semangat kepada guru muda untuk memberikan khidmat terbaik kepada anak bangsa," katanya.
Sementara itu, Ab Rahim yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB), menyifatkan anugerah diterimanya adalah di luar jangkaan kerana sebagai bekas warga pendidikan, beliau tidak pernah mengharapkan penghargaan.

"Anugerah ini adalah satu penghargaan yang jujur daripada komuniti pendidikan dan saya amat menghargainya.

"Bagi warga pendidik muda pada hari ini, saya nasihatkan supaya berkhidmatlah dengan sejujurnya tanpa mengharapkan penghargaan kerana mulia seseorang individu itu bukan kerana anugerah, tetapi kerana jasa dan bakti yang dilakukannya," katanya.

Rita yang juga bekas Pengetua Institut Perguruan Gaya, Kota Kinabalu, Sabah, berpendapat beliau terlalu kecil untuk menerima anugerah yang begitu besar pengiktirafannya kepada warga pendidik.

"Kalau dibandingkan anugerah ini dengan apa yang sudah dicurahkan sepanjang bergelar pendidik, memang ia adalah satu penghargaan yang tidak ternilai. Saya cuma menjalankan tugas sebagai guru dengan ikhlas untuk melihat anak murid berjaya dalam pelajaran dan kehidupan mereka," katanya.

Berita Harian Online: 17 Mei 2011

Insentif GPK pengiktirafan tertinggi

2011/05/17

KUALA LUMPUR: Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) menyifatkan insentif kepada pengetua dan guru penolong kanan (GPK) sekolah menengah sebagai pengiktirafan tinggi kepada profesion berkenaan.

Yang Dipertuanya, Mohd Khailani Abdul Jalil, insentif itu mampu memberi galakan dan menarik minat guru untuk menerima tugasan pentadbiran yang sebelum ini dikatakan dibebani dengan pelbagai tugasan termasuk mengajar di kelas.

“Insentif ini mampu membuka banyak ruang untuk kenaikan pangkat kepada guru yang berminat dengan tugas pentadbiran.

“Pengetua juga mampu mencapai gred DG54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun jika memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan. Mereka juga akan layak menerima Gred Khas C,” katanya.

Mohd Khailani menganggap insentif berkuat kuasa mulai 1 Januari depan itu sebagai bonus kepada MPSM dan penghargaan kerajaan kepada jasa guru.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Mohd Sabri Mohd Arsad berpendapat kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru yang terbabit dalam pengajaran dan pembelajaran (PDP) mampu menarik minat graduan institusi pengajian tinggi untuk berkhidmat dalam profesion perguruan, khususnya dalam bidang vokasional dan teknik yang kini diberi tumpuan oleh kerajaan.

Beliau berkata, selain mampu menaikkan semangat guru untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang, pengumuman dijangka dapat melahirkan guru yang pakar dalam pendidikan, sekali gus berupaya memperkasakan dan menjayakan transformasi pendidikan.

Berita Harian Online: 17 Mei 2011

Analisis: Jasa pendidik terus diiktiraf

Oleh Muhd Yusuf Abu Bakar
muhdyusuf@bharian.com.my
2011/05/17

Perjawatan baru, kenaikan pangkat lanjutan transformasi pendidikan negara

BERITA gembira buat guru sempena Hari Guru semalam, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kaedah baru kenaikan pangkat sebagai lanjutan transformasi kecemerlangan pendidikan negara. Kalau sebelum ini skim Guru Cemerlang diperkenalkan bagi meningkatkan keupayaan guru dalam proses pembelajaran dan pengajaran (P&P) di sekolah, tahun ini sekali lagi jasa guru dihargai.

Pengumuman Najib itu membolehkan hampir 400,000 warga guru di seluruh negara menarik nafas lega berikutan skop perjawatan diperluaskan bagi membolehkan lebih ramai guru mendapat kenaikan pangkat. Sebelum ini struktur perjawatan guru berakhir dengan jawatan pengetua atau guru besar, selepas melalui jawatan guru biasa atau guru kanan. Kini sudah ada jawatan Guru Wibawa dan Pendeta Guru bagi memastikan mereka meneruskan pengajaran di sekolah.

Dua jawatan baru ini, selain Guru Cemerlang dijangka dapat membuka ruang yang lebih luas kepada guru yang ingin berada terus dalam sistem pendidikan iaitu proses P&P, jika enggan menjadi pentadbir sekolah atau bertugas di jabatan pelajaran negeri. Hakikatnya, memang ada guru yang hanya mahir dalam P&P, tetapi gagal menjadi pentadbir ketika diberi jawatan guru besar atau pengetua di sekolah. Melalui kaedah baru ini, guru boleh kekal mengajar dengan imbuhan yang lebih baik.

Dengan lapisan struktur baru ini, guru yang mempunyai minat mendalam dan kepakaran dalam P&P boleh dilantik sebagai Guru Wibawa, malah boleh mengisi jawatan Pendeta Guru jika tahap kecemerlangan mereka melepasi ujian dan kriteria yang ditetapkan. Selama ini, sekolah hanya mempunyai lapisan guru biasa dan guru kanan sebelum pengetua atau guru besar. Mulai tahun depan sekolah akan mempunyai lapisan guru dan pentadbir yang berwibawa dalam usaha Kementerian Pelajaran meningkatkan mutu pendidikan di sekolah.

Bagi guru yang terpinggir berikutan perubahan Skim Saraan Malaysia (SSM) dan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) terutama pada 1990 hingga 1994, mereka turut mendapat perhatian kerajaan melalui skim baru yang diumumkan itu. Dalam pada itu, langkah kerajaan menaikkan gred jawatan semua pengetua sekolah menengah daripada Gred DG48 ke Gred DG52 membabitkan 1,228 jawatan tentunya memberi dorongan baru kepada pengetua kerana ia satu pengiktirafan yang cukup tinggi daripada kerajaan.

Begitu juga Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum Sekolah Menengah daripada Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 membabitkan 6,585 jawatan. Malah, semua GPK Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum di sekolah rendah kluster turut menerima kenaikan daripada Gred DGA32 ke Gred DGA34 sebanyak 99 jawatan. Semua ini adalah langkah kerajaan bagi memartabatkan profesion perguruan selari dengan dasar transformasi dilaksanakannya. Kita percaya tema ‘Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara’ menepati usaha kerajaan itu, apatah lagi dengan memberi pelbagai imbuhan dalam bentuk perjawatan baru, ia pastinya mendorong mereka untuk terus mencatatkan kecemerlangan.

Berita Harian Online: 17 Mei 2011

Naik hingga DG54

Oleh Mohd Roji Kawi, M Hifzuddin Ikhsan dan Nor Azma Laila
bhnews@bharian.com.my
2011/05/17

pix_gal0
Najib umum kaedah baru kenaikan pangkat guru PDP

KUCHING: Mulai Januari tahun depan, lebih 300,000 guru yang terbabit dalam pengajaran dan pembelajaran (PDP) berpeluang menikmati kenaikan pangkat hingga ke gred DG54 berbanding setakat gred DG48 sekarang, walaupun menabur bakti selama 25 tahun dalam perkhidmatan.

Jika berjaya menunjukkan kecemerlangan dengan menampilkan perkhidmatan lebih bermutu seperti ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan, mereka juga berpeluang mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.

Kaedah baru kenaikan pangkat khusus untuk guru PDP itu adalah hadiah kerajaan sempena Hari Guru tahun ini bagi mengiktiraf pengorbanan dan menyedari beban tugas mereka memenuhi tuntutan potensi modal insan negara.

Ia diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam perutusan beliau dalam rakaman video yang ditayangkan ketika Pelancaran Perayaan Hari Guru peringkat kebangsaan ke-40 oleh Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yasin, di sini semalam dan disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Melalui kaedah baru berkenaan, guru diklasifikasi dalam empat kategori iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Guru Pendeta dengan mereka yang mencapai dua kategori tertinggi berpeluang mencapai sehingga gred DG54 dalam tempoh 25 tahun perkhidmatan, berdasarkan kecemerlangan.

“Mereka yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka, boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara. Namun, guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, masih berpeluang menikmati Pergerakan Gaji Tahunan. Untuk ini, kerajaan bersetuju menambah jawatan Gred Khas C bagi laluan PDP sebanyak 100 peratus kepada 72 jawatan, berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru,” katanya.
Pada masa sama, kerajaan bersetuju menaikkan gred jawatan semua Pengetua Sekolah Menengah gred DG48 ke DG52, membabitkan 1,228 jawatan, manakala semua Guru Penolong Kanan (GPK) Sekolah Menengah dinaikkan dari DG44 ke DG48 membabitkan 6,585 jawatan. Bagi GPK sekolah rendah kluster pula, mereka dinaikkan pangkat dari gred DGA32 ke DGA34.

Najib berkata, insentif itu adalah kesinambungan transformasi kecemerlangan dalam perkhidmatan perguruan yang mengambil kira keunikan tugas guru dan keperluan memberikan kenaikan pangkat melalui kaedah berasaskan masa (time-based).

Katanya, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka pada gred DG48 selepas berkhidmat selama 25 tahun dan sudah tiba masanya laluan kerjaya guru ditambah baik.

“Hakikatnya, sejarah pembangunan Malaysia dilakar melalui kalam guru, ia disuburkan hasil jerih payah dan pengorbanan warga pendidik di bilik darjah dan padang permainan dengan sebuah negara yang mahu serta bertamadun hebat tidak mungkin terbina tanpa insan bergelar guru.

“Hari ini di setiap ceruk rantau negara, guru tanpa mengenal erti penat lelah sentiasa membawa cahaya harapan kepada anak Malaysia. Merekalah yang membuka pintu gedung ilmu pengetahuan bagi membolehkan penerokaan khazanah minda seterusnya mengoptimumkan potensi modal insan,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin ketika diminta mengulas mengenai beberapa tuntutan yang belum diselesaikan berkata, isu seperti guru siswazah yang belum mendapat kenaikan gred akan diselesaikan secepat mungkin.

“Perjawatan guru amat luas dan kita memandang serius setiap tuntutan yang dikemukakan serta perlu diteliti sebelum diselesaikan seperti isu guru siswazah yang berada di gred diploma.

“Begitu juga dalam mengukur pencapaian guru. Dulu kita sukar untuk menilai, tetapi menerusi sistem dan insentif baru, lebih banyak ganjaran disediakan dan ia berjaya melonjakkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR),” katanya.

Mengenai dakwaan insentif baru yang diumumkan Perdana Menteri sebagai meniru Buku Jingga pembangkang, beliau menegaskan, kerajaan melakukan pelbagai usaha menambah baik perkhidmatan pendidikan tanpa perlu menunggu pilihan raya.

“Insentif yang Perdana Menteri umumkan ini lebih baik daripada janji RM500 pembangkang yang hanya manis di bibir saja. Kita buat semua ini bukan disebabkan mahu menghadapi pilihan raya umum, sebaliknya ia dilakukan sepanjang masa,” katanya.

Berita Harian Online: 17 Mei 2011