Rabu, 11 Mei 2011

Kumpul duit sendiri biaya kos selenggara

Oleh Halina Mohd Noor, Samsudin Awang dan Adnan Ibrahim
bhnews@bharian.com.my
2011/05/11


Persatuan dedah aduan kerosakan tidak diendahkan

KUALA LUMPUR: Guru yang mendiami kuarters di kawasan bandar juga tidak kurang sengsara apabila terpaksa mengeluarkan wang dari poket sendiri untuk membiayai kos penyelenggaraan kuarters mereka.

Ia didedahkan Persatuan Warga Guru Alam Damai Kuala Lumpur yang mendakwa mereka terpaksa mengeluarkan RM40,000 untuk membaiki kebocoran paip air bawah tanah, selain membayar tunggakan bil air kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd.

Pengerusinya, Hedzir Mohd Ali, berkata pihaknya terpaksa mengutip wang daripada guru bagi mengatasi masalah paip bocor selepas pihak bertanggungjawab lepas tangan walaupun beberapa kali membuat aduan.

“Kami bersabar selama dua tahun, tetapi hidup tidak sempurna walaupun sudah mengemukakan aduan sehingga kepada kementerian. Mahu tidak mahu, kami terpaksa mengeluarkan RM31,000 bagi menjelaskan tunggakan bil air selepas SYABAS mengunci meter sebanyak empat kali, selain membaiki paip yang sepatutnya diuruskan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP),” katanya menerusi e-mel kepada Berita Harian.

Persatuan juga menghantar surat rayuan, surat rasmi, surat permohonan dan memorandum kepada Kementerian Pelajaran, Ketua Pengarah Pelajaran, Pengarah Pelajaran JPWP, SYABAS dan Ketua Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), tetapi tiada penyelesaian.

Seorang lagi pengirim e-mel, Hassan Ibrahim, berkata masalah kuarters daif berlaku di Kuarters Institusi Pendidikan (KIP) di Lembah Klang seperti di Shah Alam dan Gombak.
“Masalah bumbung dan lantai bocor serta siling balkoni runtuh membahayakan guru. Ini tidak termasuk kerosakan dalaman. Justeru, guru terpaksa mengeluarkan belanja untuk memperbaiki semua kerosakan,” katanya.

Di KUANTAN, dua blok kuarters guru di Felda Bukit Sagu terbiar dan menjadi sarang penagih dadah, manakala sebahagian besar kelengkapan perabot seperti katil, almari pakaian, kabinet dapur, kipas siling menjadi sasaran penagih dadah dan pengumpul barang lusuh sejak beberapa tahun lalu.

Kuarters lima tingkat mempunyai 20 unit kediaman itu siap pada 2005 dan dihuni tujuh keluarga setahun kemudian, tetapi seorang demi seorang meninggalkan kuarters itu kerana pelbagai masalah.

Penduduk Bukit Sagu Dua, Ayub Muhammad, berkata persekitaran kuarters itu juga kotor kerana penagih dadah turut membuang air besar dan kecil sehingga menyebabkan bau busuk, selain bekas makanan dan sampah berselerakan sehingga berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Di KLUANG, kuarters empat tingkat menempatkan 16 unit kediaman berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar T6, kini ibarat projek gajah putih apabila terbiar kosong tanpa dihuni sejak siap kira-kira empat tahun lalu, menyebabkan ia menjadi tumpuan anak muda berpeleseran berikutan kedudukannya agak terlindung dan jauh dari rumah penduduk terdekat di Taman Sri Lambak.

Penduduk, Fauzan Sumijan, 50, yang sering melewati bangunan itu mendakwa kerap terlihat individu tidak dikenali berkeliaran di sekitar kuarters dan melarikan diri dalam semak, jika penduduk menghampiri mereka.

Penghuni yang mahu dikenali sebagai Ummi Kalsum, berkata jika tiada guru yang mahu mendiami kuarters itu, lebih baik ia disewakan kepada keluarga miskin yang memerlukan kediaman lebih selesa.

"Ini dapat membantu penduduk yang mempunyai masalah. Kita kesal kerana tiada pihak mengambil tanggungjawab membersihkan kuarters sehingga dipenuhi lalang dan semak samun,” katanya.

Berita Harian Online: 11 Mei 2011

1 ulasan:

Awanama berkata...

ye..samelah jugak dengan kuarters yang saye duduki..kami dh buat laporan b'serta gambar tntang kerosakan rumah guru ini,tapi sampai sekarang tiada tindakan dari pihak atasan...
ini membahayakn kami,kerana baru-baru ini kami terjumpa lipan beserta anak-anaknya hampir 20 ekor dlm tandas...sangat merbahaya kerana pintu tandas yang reput ini dijadikan tempat lipan dan pelbagai serangga membiak...harap pihak atsan bg kerjasama...
u.p. PPD Tampin...