Rabu, 11 Mei 2011

PPG peluang kedua guru miliki ijazah

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2011/05/11

PROGRAM Pensiswazahan Guru (PPG) yang mensasarkan 60,000 guru sekolah rendah dan menengah memiliki ijazah sarjana muda menjelang 2015 memberi peluang kedua kepada mereka yang berkelayakan tetapi gagal melanjutkan pengajian ke universiti.

Kementerian Pelajaran memperuntukkan sebanyak RM1.4 bilion menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) untuk menjayakan program berkenaan.

Bagi guru Sekolah Kebangsaan (SK) Setapak Indah, Kuala Lumpur, Roselin Leng, 29, peluang diberikan kementerian akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperoleh status guru siswazah.

Roselin, guru Pendidikan Seni yang memperoleh Diploma Pendidikan Bahasa Inggeris-Pendidikan Seni dari Maktab Perguruan Ilmu Khas (sekarang Institut Perguruan Ilmu Khas) Kuala Lumpur, bertekad belajar bersungguh-sungguh untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Katanya, selepas tiga kali permohonan mengikuti pengajian secara Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) di beberapa universiti awam gagal, akhirnya beliau berjaya mengikuti PPG.

“Peluang mengikuti pengajian secara PJJ menerusi PPG pastinya saya manfaatkan dan ilmu yang diperoleh akan digunakan sebaik mungkin untuk melahirkan pelajar cemerlang,” katanya kepada Berita Harian ketika ditemui di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Roselin mengikuti pengajian di Maktab Perguruan Ilmu Khas pada 2001 hingga 2003.
Bagi guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seafield Subang Jaya, Noriayani Ejip, 36, PPG adalah peluang terbaik kepada guru memperoleh ijazah, sekali gus mempunyai keyakinan tinggi mendidik pelajar menjadi insan cemerlang akademik dan sahsiah.

Katanya, program itu juga turut membantu meningkatkan mutu pendidikan negara berikutan pertambahan guru siswazah di sekolah rendah dan menengah.

Beliau berkata, pihak universiti turut mengutamakan kualiti pengajaran dan pembelajaran supaya graduan PPG setaraf dengan pelajar sepenuh masa.

“Sudah pasti saya tidak mensia-siakan peluang keemasan untuk meningkatkan pendidikan daripada guru yang hanya memiliki diploma kepada guru siswazah,” katanya.

Roselin dan Noriayani antara guru PPG yang mengikuti pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran, Datuk Mohd Ghazali Ab Rahman, berkata program PPG bermatlamat mencapai sasaran 60,000 guru sekolah rendah dan menengah memiliki ijazah sarjana muda menjelang 2015.

Beliau berkata, guru yang mengikuti PPG, diberi biasiswa kerajaan dengan kontrak perkhidmatan bagi mengikuti program PJJ supaya mereka kekal berkhidmat pada sesi persekolahan.

“PPG yang dilaksana pada RMK10 ialah penerus kepada dasar latihan keguruan yang dirancang sebelum ini bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang dipelajari untuk dilaksanakan pada sesi pengajaran,” katanya.

Berita Harian Online: 11 Mei 2011

1 ulasan:

Awanama berkata...

Cikgu-cikgu makin ramai akan masuk DG 41, Dg 44, Dg 48. Camna pula dgn GURU BESAR. Takkanlah masih nak kekal SKIM skrg-DgA32, 34 38.Nanti tertawakan dek org lain.