Isnin, 16 Mei 2011

Penjana transformasi pendidikan


Salah seorang urus setia Festival Hari Guru Kebangsaan 2011 memberi taklimat kepada beberapa pelajar sekolah menengah yang berkunjung ke pameran sempena festival tersebut di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.


Peranan guru dan pendidik amat diperlukan untuk menyemarakkan aspirasi negara dalam usaha melaksanakan transformasi negara ke arah melahirkan modal insan berprestasi tinggi.

Pengarah Pelajaran Sarawak, Abdillah Adam berkata, guru memainkan peranan amat penting untuk memastikan kejayaan proses transformasi itu tercapai.

Sejajar dengan tema Hari Guru tahun ini, Guru Penjana Transformasi Pendidikan, beliau berharap golongan guru bekerja dengan lebih keras dan bersama-sama membantu kerajaan dalam melaksanakan aspirasi negara kerana hubungan rapat para guru dengan pelajar sejak dari peringkat awal.

“Guru menggalas cabaran pendidikan pada masa kini melalui perubahan transformasi teknologi maklumat. Sikap dan perkembangan minda pelajar juga berubah seiring dengan peredaran masa.

“Semua ini memerlukan pergorbanan guru untuk turut sama bergerak dalam iringan perubahan global,” katanya ketika ditemui di Festival Hari Guru 2011, Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Festival di Tebingan Sungai Kuching itu dianjurkan oleh Kumpulan Utusan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan.

Komponen aktiviti sepanjang tempoh festival adalah pameran Hari Guru, pelbagai bentuk pertandingan, jualan dan demonstrasi produk oleh para pempamer.

Turut dianjurkan ialah permainan berasaskan pendidikan, jualan buku dan majalah yang melibatkan interaksi secara langsung antara warga pendidik, pelajar, sektor korporat, agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta masyarakat setempat.

Menurut Abdillah, guru bertanggungjawab mengaplikasi dasar pendidikan negara dengan berkesan di samping menjana transformasi pendidikan negara.

“Festival kali ini diharapkan dijadikan ruang untuk mengetahui catatan pembangunan perguruan di negara ini dalam menghargai perjuangan dan pengorbanan guru dari zaman sebelum, semasa dan selepas era deklarasi kemerdekaan bagi membangkitkan rasa insaf khususnya di kalangan generasi muda,” katanya.

Utusan Malaysia Online: 16 Mei 2011

Tiada ulasan: