Jumaat, 20 Mei 2011

Terlalu sedikit insentif guru lepasan Diploma

SELAMAT Hari Guru buat semua yang bergelar pendidik. Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara. Itulah tema perayaan Hari Guru tahun ini yang disambut dengan begitu meriah di Kuching, Sarawak.

Tahniah kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan juga Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak yang berjaya menganjurkan perayaan Hari Guru tahun ini dengan kelainan. Pastinya ia menjadi nostalgia buat kami semua yang hadir sebagai tetamu, terutama Majlis Berambih yang diadakan sebagai meraikan tetamu warga pendidik yang hadir dari seluruh negara.

Majlis pelancaran Hari Guru yang diadakan di Borneo Convention Centre Kuching sekali lagi turut meninggalkan beberapa impak besar. Pastinya ramai yang ternanti-nanti apakah kejutan bakal diumumkan sebagai menghargai peranan guru selama Ini. Sambutan gilang-gemilang di pintu masuk utama amat meriah.

Sambil menanti ketibaan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, serta dif-dif kehormat, warga pendidik disajikan klip video pengorbanan guru-guru yang bertugas di pedalaman. Juga guru-guru yang mendidik anak-anak istimewa di serata tanah air. Sungguh terharu melihat pengorbanan mereka yang kebanyakannya adalah para pendidik di sekolah rendah.

Warga pendidik secara umumnya mengetahui betapa sukarnya menjadi guru di sekolah rendah. Amanah dan tanggungjawab menjayakan KSSR, LINUS, Pendidikan Khas, Pemulihan Khas dan pelbagai lagi cabaran tugas yang datang bertimpa tanpa henti dilaksanakan dengan sebaik mungkin walaupun terdapat banyak kekangan yang tidak perlu dijelaskan di sini.

Malahan jumlah warga pendidik daripada Kumpulan Sokongan II masih mendominasi jumlah sebenar guru-guru. Begitu juga jumlah sekolah rendah termasuk Sekolah Kurang Murid, jumlahnya jauh melebihi Sekolah Menengah. Oleh itu, tentu sekali jumlah guru Lepasan Diploma juga amat besar dari keseluruhan jumlah warga pendidik dalam perkhidmatan awam.

Guru-guru terutama warga pendidik Lepasan Diploma amat berbesar hati atas usaha kerajaan memartabatkan profesion keguruan. Usaha mewujudkan Guru Wibawa dan Pendeta Guru sewajarnya disokong. Kejayaan-kejayaan seperti NKRA Pendidikan dan LINUS secara khususnya adalah usaha guru-guru sekolah rendah. Lihat sahajalah jumlah sekolah rendah yang mendapat penghargaan New Deal yang jauh melepasi unjuran awal Kementerian Pelajaran.

Namun ramai kecewa kenapa terlalu sedikit pengumuman insentif untuk warga pendidik Lepasan Diploma dari sekolah rendah yang telah berkorban. Ramai daripada mereka tertanya-tanya kerana sudah beberapa kali pengumuman semasa pelancaran perayaan Hari Guru sejak tahun 2009, yang menerima habuan adalah warga pendidik siswazah.

Begitu jelas terpancar kekecewaan di wajah mereka yang hadir pada majlis pelancaran Hari Guru 2011. Yang kuat bertepuk adalah yang menerima habuan. Maka menjelma kembali ulasan kecewa mereka yang telah menanti sekian lama sejak tahun 2009 hinggalah 2011, termasuk kekecewaan semasa Perhimpunan Guru 1Malaysia pada tahun 2010. Kepada Kongress dan beberapa kesatuan guru yang lantang bersuara, teruskanlah usaha murni memartabatkan kaum guru terutama mereka yang berada dalam Kumpulan Sokongan II.

Terharu dan simpati kepada Guru-Guru Besar Sekolah Kurang Murid yang masih terbelenggu pada Gred DGA 32. Kami juga simpati kepada Guru-guru Penolong Kanan Sekolah Rendah yang sepatutnya diberi Elaun Tanggungjawab lebih tinggi daripada RM60 sebulan. Jika boleh tingkatkan gred perjawatan mereka ke DGA 34 agar dapat dibezakan dari guru-guru time-based DGA 32.

Kepada semua Guru Besar Sekolah Rendah, terpaksalah terus membuat tuntutan Elaun Keraian bulanan yang tidak seberapa itu walaupun hakikatnya belanja keraian itu melebihi dari apa yang dituntut, walaupun banyak kerenah membuat tuntutan.

Teruskanlah mendidik anak bangsa kerana Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara. Selamat Hari Guru.

Utusan Malaysia Online: 20 Mei 2011

4 ulasan:

guru sokid berkata...

Sabarlah wahai tuan-tuan Kerajaan ada banyak pilihan untuk semua guru tetapi kerajaan juga kena pertimbangkan budget kerajaan. Bayangkan kalau semua 400,000 lebih guru diberikan insentif sedangkan kerajaan bergelut dengan masalah kewangan apa akan jadi pada negara ..BANGKRAF...DEK

Jadi Perdana Menteri kena memilih permintaan yang terdahululah ..Ikut rangking..sebabnya semua penting semua perlu ..semua baik..semua untuk rakyat bergelar guru. Tapi bayangkan Kementerian Pelajaran sedang melangkah ke tahap globalisasi tapi kepimpinan sekolah menengah masih ditahap lama maka penilaian orang luar ..bagaimana??Bukanlah bermaksud kenaikan gred Pengetua/guru besar dan GPK sekolah menengah dan sekolah kluster terus melonjakkan semua sekolah di Malaysia tapi sekurang-kurangnya sudah ada langkah pertama ke arah itu.

Wajarlah...tu tuan puan...
Tak payah diperdebatkan...
Gaji kita masih tetap berjalan...

Awanama berkata...

Lebih baim jangan umumkan apa-apa insentif semasa perayaan hari guru. Sebelum-sebelum ni tak ada pun sebarang insentif diumukan semasa hari guru. Jadi, rak ada kecoh-kecoh pun.

Apa pun, punca permasalahn yg berlaku adalh berpunca drp KPM sendiri.

Awanama berkata...

Elok juga difikir-fikirkan gaji yang tak nampak iaitu ganjaran Allah... Berapa pun gaji dan ganjaran yang diterima tidak akan cukup - jika Allah tidak mencukupkannya...

Yang penting, jom kita berusaha ke arah menjana transformasi pendidikan negara. Yang lain-lainnya akan datang dengan sendirinya dalam pelbagai bentuk tanpa kita ketahui dan sedari, insya-Allah!

kamanuk64 berkata...

ya betul.betul. Saya setuju benar !!!!!
Kalau kita berkhidmat dengan baik ada ganjaran nanti.