Isnin, 9 Mei 2011

Jadikan kerjaya guru sebagai ibadat

JERANTUT 8 Mei - Para guru perlu menjadikan kerjaya mereka sebagai ibadat supaya setiap tugas dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab bagi melahirkan pelajar cemerlang.

Bekas Ketua Sektor Kurikulum Jabatan Pelajaran Pahang, Daud Talib berkata, guru memikul tanggungjawab besar untuk mendidik para pelajar di sekolah dengan ilmu yang merangkumi pelbagai bidang.

"Apabila seseorang guru beranggapan tugas yang diberi sebagai amanah, mereka akan melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga," katanya ketika menyampaikan ceramah pada Seminar Kecemerlangan Pendidikan dan Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Dalam Pengajaran serta Pembelajaran Peringkat Zon Gelanggi di Sekolah Kebangsaan Kota Gelanggi 1 di sini baru-baru ini.

Seminar tersebut dirasmikan Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Jerantut, Adnan Abdul Kadir.

Daud berkata, mereka juga perlu menambah ilmu pengetahuan bagi mempelbagaikan kaedah penyampaian serta maklumat kepada murid supaya golongan itu cenderung dan minat terhadap pelajaran.

"Para guru harus berusaha mencapai tahap kecemerlangan dalam diri mereka bagi melahirkan pelajar cemerlang," katanya.

Katanya, guru yang efektif sentiasa memperbaiki kelemahan diri dan mengambil kira pandangan murid atau pelajar bagi menghasilkan pendidikan berkualiti.

Utusan Malaysia Online: 9 Mei 2011

Tiada ulasan: