Ahad, 15 Mei 2011

'Guru mesti dokong dasar kerajaan'

PASIR PUTEH 14 Mei - Lebih 33,000 guru di negeri ini yang juga sebahagian daripada penjawat awam wajib menyokong pelaksanaan semua dasar kerajaan.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Hussain Awang berkata, golongan pendidik perlu menterjemahkan dasar kerajaan dalam bentuk tindakan termasuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat dan mengaplikasikannya dalam pengajaran.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab guru untuk membentuk dan mencorak keadaan sesebuah negara menerusi pendidikan berasaskan keperluan semasa dan hala tuju negara.

"Macam mana hendak melakukan perkara ini kalau guru tidak menghayati dan memahami dasar-dasar kerajaan termasuk menuduh kerajaan dengan pelbagai persepsi kerana dipengaruhi fahaman politik yang sempit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Taklimat Keselamatan dan Penjelasan Isu-Isu Keselamatan Negara oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Keurusetiaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Ab. Rahman Ismail anjuran bersama JPN dan PDRM dekat sini, baru-baru ini.

Hussain berkata, guru perlu bertindak sebagai tenaga penggerak dan berperanan membantu masyarakat termasuk pelajar, memahami dasar-dasar kerajaan dan bukannya bertindak sebagai kumpulan yang menentang pelaksanaannya sama ada secara jelas atau pun berselindung.

"Guru hanya perlu bertindak sebagai pendokong aspirasi negara dan tindakan mereka menggunakan platform pendidikan untuk tujuan ini tidak boleh ditakrifkan sebagai berkempen atau berpolitik. Mereka hanya perlu menggunakan kreativiti dan berinovasi untuk memperjuangkan dasar kerajaan ketika menjalankan tugas mendidik," katanya.

Katanya, penglibatan guru dalam perkara ini turut menjadi fokus utama JPN selain aspek lain seperti pemantapan kepimpinan, pembangunan sukan dan kokurikulum, pengurusan sumber manusia dan sistem penyampaian berkesan.

Tambahnya, dalam kefahaman yang mudah JPN memberi penekanan agar guru perlu taat setia kepada kerajaan Pusat, sentiasa bekerjasama dengan pemimpin kerajaan dengan sikap yang positif, inovatif dan kreatif.

Utusan Malaysia Online: 15 Mei 2011

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

DASAR MESTI DISOKONG....YG LAIN KEAN FIKIR DULU...