Selasa, 17 Mei 2011

Analisis: Jasa pendidik terus diiktiraf

Oleh Muhd Yusuf Abu Bakar
muhdyusuf@bharian.com.my
2011/05/17

Perjawatan baru, kenaikan pangkat lanjutan transformasi pendidikan negara

BERITA gembira buat guru sempena Hari Guru semalam, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kaedah baru kenaikan pangkat sebagai lanjutan transformasi kecemerlangan pendidikan negara. Kalau sebelum ini skim Guru Cemerlang diperkenalkan bagi meningkatkan keupayaan guru dalam proses pembelajaran dan pengajaran (P&P) di sekolah, tahun ini sekali lagi jasa guru dihargai.

Pengumuman Najib itu membolehkan hampir 400,000 warga guru di seluruh negara menarik nafas lega berikutan skop perjawatan diperluaskan bagi membolehkan lebih ramai guru mendapat kenaikan pangkat. Sebelum ini struktur perjawatan guru berakhir dengan jawatan pengetua atau guru besar, selepas melalui jawatan guru biasa atau guru kanan. Kini sudah ada jawatan Guru Wibawa dan Pendeta Guru bagi memastikan mereka meneruskan pengajaran di sekolah.

Dua jawatan baru ini, selain Guru Cemerlang dijangka dapat membuka ruang yang lebih luas kepada guru yang ingin berada terus dalam sistem pendidikan iaitu proses P&P, jika enggan menjadi pentadbir sekolah atau bertugas di jabatan pelajaran negeri. Hakikatnya, memang ada guru yang hanya mahir dalam P&P, tetapi gagal menjadi pentadbir ketika diberi jawatan guru besar atau pengetua di sekolah. Melalui kaedah baru ini, guru boleh kekal mengajar dengan imbuhan yang lebih baik.

Dengan lapisan struktur baru ini, guru yang mempunyai minat mendalam dan kepakaran dalam P&P boleh dilantik sebagai Guru Wibawa, malah boleh mengisi jawatan Pendeta Guru jika tahap kecemerlangan mereka melepasi ujian dan kriteria yang ditetapkan. Selama ini, sekolah hanya mempunyai lapisan guru biasa dan guru kanan sebelum pengetua atau guru besar. Mulai tahun depan sekolah akan mempunyai lapisan guru dan pentadbir yang berwibawa dalam usaha Kementerian Pelajaran meningkatkan mutu pendidikan di sekolah.

Bagi guru yang terpinggir berikutan perubahan Skim Saraan Malaysia (SSM) dan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) terutama pada 1990 hingga 1994, mereka turut mendapat perhatian kerajaan melalui skim baru yang diumumkan itu. Dalam pada itu, langkah kerajaan menaikkan gred jawatan semua pengetua sekolah menengah daripada Gred DG48 ke Gred DG52 membabitkan 1,228 jawatan tentunya memberi dorongan baru kepada pengetua kerana ia satu pengiktirafan yang cukup tinggi daripada kerajaan.

Begitu juga Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum Sekolah Menengah daripada Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 membabitkan 6,585 jawatan. Malah, semua GPK Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum di sekolah rendah kluster turut menerima kenaikan daripada Gred DGA32 ke Gred DGA34 sebanyak 99 jawatan. Semua ini adalah langkah kerajaan bagi memartabatkan profesion perguruan selari dengan dasar transformasi dilaksanakannya. Kita percaya tema ‘Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara’ menepati usaha kerajaan itu, apatah lagi dengan memberi pelbagai imbuhan dalam bentuk perjawatan baru, ia pastinya mendorong mereka untuk terus mencatatkan kecemerlangan.

Berita Harian Online: 17 Mei 2011

2 ulasan:

Awanama berkata...

BERITA GEMBIRA APA BENDA? PAPER LEBIH-LEBIH BUAT KOMEN. MASYARAKAT YG TAK TAHU APA PUN PERCAYA DGN BERITA TU.

SEBENARNYA ......biasa je...5% guru shj yg terbabit ok....

Awanama berkata...

Jangan Disambung perkhidmatan Pengarah Pelajaran Negeri atau Pusat yang sudah sampai umur bersara wajib. Menghalang peluang orang lain, dah tua tidak produktif, pemikiran tertutup, menghalang idealisme baru kecemerlangan. Macam orang lain tak pandai buat kerja....