Sabtu, 7 Mei 2011

Guru jalankan tugasan luar terpaksa tinggal di asrama

2011/05/07

BARU-BARU ini, Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP) melalui unit sukan mengadakan pelbagai pertandingan sukan peringkat negeri di seluruh negeri ini dan ramai guru terbabit sama ada menjadi jurulatih, pengurus pasukan, pengadil dan pengiring kepada peserta atau pelajar yang mewakili daerah masing-masing.

Malangnya, kami guru turut tinggal di asrama sekolah dengan tilam yang berkerak, tidak bercadar, berbantalkan lengan atau beg baju sendiri serta mandi di bilik mandi bersama pelajar.

Antara guru yang terbabit bersama peserta atau pelajar berada pada gred jawatan DG41, DG44, malah ada Guru Penolong Kanan DGA32 atau guru besar DGA34.
Saya kira tiada pegawai atau penjawat awam yang berada di gred 41 atau 44 akan tinggal di asrama, malah kumpulan ini akan berada di hotel.

Malang sungguh nasib guru, malah orang awam tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

Lebih mendukacitakan, kami guru yang menggunakan kenderaan sendiri untuk membawa pelajar ke tempat kejohanan sama ada di dalam daerah atau luar daerah tidak dibenarkan membuat tuntutan perjalanan dengan menggunakan jarak perjalanan sebaliknya menuntut kadar satu tempat duduk teksi pergi dan balik saja, walhal kami mengangkut pelajar setiap hari pagi atau petang.

Kami juga dilarang menuntut sekurang-kurangnya lojing menggantikan tinggal di asrama sekolah, terdapat guru yang sudah tidak mahu tinggal di asrama kerana pada zaman persekolahan mereka sudah berlalu tetapi masih bersama pelajar tidur di tilam berkerak dan bantal busuk.

Baru-baru ini, sahabat saya yang mengiringi pelajar ke Karnival Muzik Sekolah Pahang turut mengalami perkara yang sama dan lebih malang bertugas mengawasi muridnya dalam tempoh yang panjang termasuk pada cuti umum sedangkan kakitangan awam lain seronok bersama keluarga masing-masing.

Diharap pihak Kementerian Pelajaran dan jabatan negeri masing-masing memikirkan bagaimana menjaga kebajikan guru yang menjalankan tugas di luar waktu pejabat dan di luar kawasan serta keselamatan mereka.

GURU SEDIH,
Temerloh, Pahang

Berita Harian Online: 7 Mei 2011

4 ulasan:

Awanama berkata...

SUKACITA sya nak beritahu, mereka yg terlibat dgn XTVT selain AKADEMIK/KuRiKULUM perlu tabah dan sabar. Memang inilah yg perlu kita lalui. Perlu banyak berkorban masa dan wang ringgit sendiri. Sayangnya, org spt cikgu2 ni memang tak disukai oleh pentadbir & guru.

BERBEZA dgn yg terlibat dgn akademik. Kursus di hotel & tak ada tidur di asrama@ dlm kelas.

SAYA RESPECT PD GURU-GUUR YG TERLIBAT DLM SUKAN/koko NI...Kalau kita nak berkira soal kebajikan, dah lama kita tinggalkan shj kerja ni.

nasib kita berkata...

Cikgu, tu peringkat negeri. Saya seminggu berkampung di sm teknik shah alam- kejohanan ping pong peringkat kebangsaan bawah 18 tahun dan bawah 12 tahun. Samalah juga. Asrama murid, tilam berkerak, banyak nyamuk dan berbantalkan lengan. Jika bijak sedikit, gantilah bantal lengan dengan beg...apa boleh buat cikgu. Suka tidak suka, demi murid murid, kita perlu berkorban...

KPLI_2005 berkata...

Bestnya dapat sama-sama berkongsi pengalaman. Saya dah 5 tahun terlibat dengan Majlis Tadarrus Al-Quran dari daerah sampai kebangsaan. Alhamdulillah nasib kami tidak seteruk yg dialami oleh kawan2 dlm sukan. Tapi standardnya masih rendah. Bayangkan peringkat kebangsaan di Trengganu tahun lepas, walaupun menginap di Asrama Universiti Darul Iman, tetapi penginapan/makanan/pengangkutannya kelas ketiga. Klim memang xde langsung.
Kalau nak mewah sikit, jadi hakim. Baru dapat duduk hotel 3 bintang. Tetapi pegawai, jurulatih dan murid menghadapi banyak kesukaran tadi. Peringkat kebangsaan tu... Parents yg datang pun geleng kepala. Sanggup sewa hotel dan ambik anak dia tidur di hotel.
Tapi kalau nak dibanding dengan rakan-rakan setugas di bidang sukan, saya tabik spring...

Awanama berkata...

SIMPATI DGN NASIB GURU2 MALAYSIA
ALLAH SAHAJA YG DPT MEMBALAS JASA GURU.