Sabtu, 7 Mei 2011

55 jawatan pengetua akan diisi segera

PETALING JAYA 6 Mei - Kementerian Pelajaran akan mengisi kekosongan jawatan pengetua di 55 buah sekolah menengah kebangsaan (SMK) dan sekolah menengah jenis kebangsaan (SMJK) dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, hanya guru dalam gred DG52 layak menjadi pengetua di kedua-dua jenis sekolah tersebut mengikut ketetapan dan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Kita sedang mengendalikan urusan 55 jawatan kosong pengetua ini dan ia akan diisi secepat mungkin," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Menghantar Peserta Pameran Sains dan Kejuruteraan (ISEF) Intel 2011 ke California, Amerika Syarikat di sini, hari ini.

Mengulas mengenai biasiswa JPA yang bakal diumumkan Isnin ini, Ka Siong yakin ia tidak akan meliputi kesemua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang layak.

"Bagi biasiswa JPA ini, kita akan memilih calon yang terbaik dan paling sesuai sahaja," katanya.


Utusan Malaysia Online: 7 Mei 2011

Tiada ulasan: