Sabtu, 7 Mei 2011

Pakar BI ajar anak tempatan

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar
bhizar@bharian.com.my
2011/05/07

MUHYIDDIN memukul gong sempena pelancaran Karnival Pendidikan di MITC dekat Ayer Keroh, semalam.
MUHYIDDIN memukul gong sempena pelancaran Karnival Pendidikan di MITC dekat Ayer Keroh, semalam.
300 penutur jati bahasa Inggeris AS dibawa ke negara ini mulai tahun depan

AYER KEROH: Kira-kira 300 penutur jati bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat akan dibawa ke negara ini bagi membimbing pelajar tempatan dalam mata pelajaran bahasa itu mulai tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pakar Bahasa Inggeris itu akan ditempatkan di sekolah dalam kategori Band 6 dan 7 melalui program yang menelan kos hampir RM18 juta.
Katanya, program itu lanjutan daripada pertemuan di antara Presiden Amerika, Barack Obama dan pemimpin ASEAN pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York, September tahun lalu.

Pada pertemuan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencadangkan agar program yang dikenali American Peace Corps yang begitu popular sekitar 1960-an, dilaksanakan semula. Ia bagi menyediakan bantuan teknikal, membantu rakyat di luar Amerika memahami budaya negara itu dan membantu rakyat Amerika memahami budaya negara lain.

“Kementerian juga menimbang kemungkinan mengadakan kelas tambahan Bahasa Inggeris selepas waktu persekolahan bagi memperkukuhkan lagi penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar. Usaha itu bagi memastikan pelajar sekurang-kurangnya dapat berkomunikasi secara asas dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Pendidikan Melaka 2011 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), dekat sini, semalam. Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Muhyiddin juga mengajak sektor swasta berganding bahu dengan Kementerian Pelajaran bagi membangunkan sekolah teknikal dan vokasional dalam usaha melahirkan lebih ramai modal insan yang mampu membantu memacu sektor ekonomi negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dalam tempoh 10 tahun akan datang, negara dijangka memerlukan kira-kira 3.3 juta tenaga manusia terlatih dan berpengetahuan tinggi serta mempunyai kemahiran khususnya bagi memenuhi permintaan dalam sektor ekonomi.

“Sekiranya tiada kerjasama ini, sudah tentu hasrat kerajaan meningkatkan jumlah pelajar daripada 10 kepada 20 peratus dalam tempoh lima hingga 10 tahun tidak akan tercapai,” katanya.

Mengikut sistem pendidikan sedia ada, hanya kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan pelajar adalah daripada sekolah vokasional dan teknikal, jauh lebih rendah berbanding beberapa negara maju termasuk negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Singapura yang mempunyai kadar antara 40 hingga 60 peratus.

Sementara itu, di PUTRAJAYA, Timbalan Perdana Menteri semalam menerima kunjungan empat Duta Besar Malaysia ke luar negara yang baru dilantik.

Mereka ialah Datuk Nazirah Hussain (Thailand); Datuk Jamaiyah Mohamed Yusof (Mexico); Mohd Ashri Muda (Sudan) dan Datuk Rustam Yahaya (Oman). Sebelum pelantikannya, Nazirah adalah Ketua Pengarah (Perancangan Dasar dan Strategik) Kementerian Luar, manakala Jamaiyah pula Duta Besar Malaysia ke Senegal.

Mohd Ashri sebelum ini Timbalan Ketua Protokol Kementerian Luar manakala Rustam penasihat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.

Berita Harian Online: 7 Mei 2011

2 ulasan:

Awanama berkata...

Memadailah dgn tenaga pakar tempatan. Ambil bekas pensyarah/guru bersara.

PENUTUR JATI BI tak sesuai di sekolah. Berdasarkan pengalaman lepas, ada penutur jati dr luar negara ditempatkan diPPD utk melatih guru dlm PPSMI.

Namun, loghat inggerisnya banyak tak difahami oleh guru-guru termasuk guru BI sendiri.

Kalau rakyat tenmpatan, mereka boleh terjemahkan pktan jika kita tak faham.

CAMNA pula dgn BM. Hari ni majoroti rakyat MALAYSIA mengguna BM yg salah. Mengapa tak diusahakan sesuatu.

KPLI_2005 berkata...

Setuju..
Mengarutlah dasar ni..
Buang duit..
Buang masa..
Kita ada ramai guru BI yang berpotensi. Lebih baik gilap mereka dengan sebaik-baiknya agar dapat bersinar dengan terang dan menyinari anak bangsa.