Isnin, 16 Mei 2011

NUTP syor perkenal skim khas beli buku

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my
2011/05/16

KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan Kementerian Pelajaran memperkenal skim khas untuk guru membeli buku bagi menggalakkan budaya ilmiah dalam kalangan warga pendidik seluruh negara.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata menerusi skim itu, guru dibenarkan membuat tuntutan buku di sekolah masing-masing bagi memudah dan mempercepat urusan bayaran semula.

Beliau berkata, harga sesetengah buku rujukan terutama yang diimport agak tinggi dan skim buku guru berkenaan dapat meringankan beban mereka untuk mengikuti perkembangan ilmu.

“NUTP mahu guru sentiasa mengemas kini pengetahuan dalam bidang masing-masing atau memperluas ilmu mereka dalam bidang lain.

“Skim ini juga membolehkan guru membeli buku fiksyen seperti novel dalam bahasa Melayu atau Inggeris berdasarkan minat mereka,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Adnan berkata, skim buku guru itu juga boleh meningkatkan pengetahuan guru selain merancakkan industri buku tempatan.

Beliau berkata, dengan lebih 400,000 guru di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran sekarang, jika mereka dibenarkan membuat tuntutan RM500 saja setahun, dana RM20 juta akan berlegar dalam industri buku negara ini.
“Dengan itu, proses jualan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka atau penerbit lain lebih rancak sama ada di bandar atau luar bandar.

“Ini secara tidak langsung menggerakkan ekonomi luar bandar terutama di kedai kecil menerusi jualan bahan bacaan.

“Skim ini memberi keadaan menang-menang kepada guru dan juga kerajaan kerana kita dapat melahirkan guru yang sentiasa mengemaskinikan ilmu mereka” katanya yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Ramai, Manjung, Perak.

Berita Harian Online: 16 Mei 2011

Tiada ulasan: