Jumaat, 6 Mei 2011

Salahkah Rozita membela anaknya dibuli?

APABILA saya membaca kisah anak lelaki Rozita Che Wan didakwa dibuli di sekolah dan dia telah membuat laporan polis juga telah memindahkan anaknya di sekolah harian biasa, saya amat bersetuju dengan tindakan itu.

Tindakan Rozita adalah tindakan nekad seorang ibu yang kasih kepada seorang anak.

Apa yang saya bimbangkan, ada banyak kes-kes pukul dan buli berlaku di sekolah berasrama yang tidak dapat pendedahan umum. Cuma Rozita adalah ibu yang mempunyai sedikit kelebihan. Dia seorang public figure dan apabila sesuatu yang melibatkan public figure, bersiap sedialah, satu dunia akan gempar!

Apabila kolum Katarsis Kualong, Pancaindera, pada 1 Mei lalu, menulis tentang komen seorang guru yang tidak bersetuju dengan kenyataan Rozita tentang isu buli itu, saya tersenyum.

Guru itu cuba menafikan kes itu sebagai buli dengan berasaskan kepada struktur tubuh budak yang membuli. Apakah buli hanya diklasifikasikan berdasarkan kemantapan fizikal seseorang?

Apakah sekiranya budak yang membuli lebih kecil tubuhnya daripada budak dibuli itu tidak boleh dianggap buli?

Dan lagi sekali guru tersebut memandang kes anak Rozita sebagai 'ribut dalam cawan kopi'.

Katanya, tidak perlu sampai melibatkan aduan polis, hebahan media dan sebagainya. Lihatlah dunia, kebodohan daripada pandangan seorang guru tentang isu sosial yang berlaku di sekolahnya.

Kalau beginilah pandangan seorang guru yang menganggap kes tumbuk dada, perut, telinga itu sebagai isu kecil yang tidak perlu dihebahkan, saya bimbang akan nasib akhlak dan jati diri generasi anak bangsa Melayu yang akan menjaga sebuah negara Malaysia pada masa depan.

Sewajarnya guru menjadi kesal dengan kes seperti itu, bukan dengan menyalahkan seseorang ibu yang membuat aduan polis dan hebahan media kerana kesedihan dan kekecewaannya terhadap apa yang berlaku kepada anak yang dikandungnya sembilan bulan dalam perut.

Guru tersebut seakan cuba untuk berada dalam keadaan denial -- penafian. Cuba membela dan membersihkan semula nama sekolahnya. Ini bukan soal nama sekolah menjadi buruk atau tercalar guru. Ini soal sosial dan akhlak. Tidak kira di sekolah mana pun, yang salah tetap salah. Tidak ada mana-mana undang-undang di dunia ini yang membenarkan mencederakan dan menyakitkan fizikal seseorang.

Jangan kerana ibunya penyanyi atau artis, lalu anaknya yang cerdik dinafikan dan dibiarkan saja tanpa sebarang pembelaan yang wajar. Guru patut realistik, bukan jadi plastik! Itu pesan saya.

Utusan Malaysia Online: 6 Mei 2011

3 ulasan:

Awanama berkata...

Adakah premis sekolah sudah tidak menjadi selamat lagi kepada pelajar?
Saya yakin hanya beberapa sekolah sahaja yang bermasalah dan pengurusan sekolah perlu bertanggongjawab dan memperbetulkan keadaan.
Ibubapa amat mengharapkan anak-anak mereka akan sentiasa selamat dan terselamat di sekolah.
- bapa prihatin, jelawat, bachok

Awanama berkata...

Saya suka RCW...

Awanama berkata...

kelakar lah dengar satu pihak je. memang la ibu bapa sayang anak dia tapi kes ni tak adil. sangat tak adil!