Khamis, 12 Mei 2011

COLA

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my
2011/05/12

NUTP gesa Kementerian Pelajaran kaji semula

KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa Kementerian Pelajaran mengkaji semula Elaun Sara Hidup (COLA) yang diberikan kepada guru di Semenanjung terutama yang mengajar di pedalaman tetapi tinggal di pinggir bandar atau bandar.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata guru yang mengajar di luar bandar menerima COLA RM100 sebulan, bagaimanapun sebahagian mereka tinggal di pinggir bandar atau di bandar, masing-masing terpaksa menanggung kos bahan api selain berhadapan inflasi yang membebankan.

Beliau berkata, kebanyakan guru berkenaan biasanya berulang-alik ke sekolah sekurang-kurangnya 60 kilometer setiap hari kerana tidak mahu menyewa satu lagi rumah berhampiran sekolah bagi mengelak daripada menanggung kos tambahan.

Katanya, COLA RM100 untuk guru mengajar luar bandar tetapi tinggal di bandar tidak adil kerana rakan mereka yang mengajar di bandar menerima RM300 atau pinggir bandar (RM200).

“Perbezaan besar antara COLA mengikut lokasi ini kurang adil kerana harga bahan api sama saja tidak kira di bandar, pinggir bandar atau luar bandar.

“NUTP berharap kementerian mengambil kira keluhan guru berkenaan kerana masing-masing terpaksa menampung kos bahan api berulang-alik ke sekolah,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Hashim berkata, nilai COLA RM100 untuk guru luar bandar tidak setimpal dengan kos sara hidup semasa berikutan kenaikan harga barang atau inflasi sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, COLA RM100 itu patut dinaikkan ke jumlah sewajarnya.

Beliau berkata, sesetengah tempat yang diletakkan sebagai luar bandar di sesuatu negeri sebenarnya memerlukan kos hidup yang tinggi seperti pinggir bandar atau bandar di negeri lain.

Hashim memberi contoh sekolah di Balik Pulau, Pulau Pinang yang diletakkan sebagai luar bandar tetapi kos sewa rumah dan harga barangnya sama di bandar seperti Ipoh.

“Guru ini membuktikan kesetiaan mereka mengajar di luar bandar dan pengorbanan mestilah dibalas secara saksama,” katanya.

Berita Harian Online: 112 Mei 2011

1 ulasan:

Awanama berkata...

elaun COLA tak boleh beri ikut di mana tempat bekerja. Ada cikgu yang pergi sekolah diluar bandar, berulang 65km pergi & 65km balik.