Rabu, 4 Mei 2011

Mana resolusi ringankan beban guru?

2011/05/04

APABILA memperkatakan mengenai isu beban kerja berlebihan yang dihadapi guru sekolah boleh diibaratkan seperti air pasang. Ada naik dan ada surutnya. Isu ini akan timbul sekejap dan bermacam perdebatan akan dapat kita baca dan ikuti, baik di dada akhbar atau sumber media massa yang lain. Kemudian secara perlahan-lahan ia akan senyap dan lenyap kembali.

Guru pun mungkin sudah tidak berminat lagi untuk menyuarakan perasaan mereka berkaitan hal ini malah, terpaksa menerima hakikat bahawa tiada apa yang akan berubah dalam isu ini.

Justeru, apakah hasil daripada jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran untuk mengkaji beban kerja guru yang dikatakan kian bertambah ini? Sudah hampir setahun jawatankuasa ini ditubuhkan, tetapi apakah hasil serta tindakan susulan daripada kajian itu.
Apa yang nyata, guru terus dibebankan waktu mengajar yang terlampau banyak dan ditambah pula terpaksa memikul tugas yang di luar bidang hakiki mereka. Ada guru dipertanggungjawabkan ini untuk mengajar sehingga 28 waktu seminggu. Itupun selepas terpaksa berjumpa dan merayu dengan pihak pentadbir sekolah untuk mengurangkan waktu mengajar yang pada asalnya ditetapkan sebanyak 31 waktu mengajar.

Itu belum lagi ditambah dengan tugas lain seperti guru disiplin, guru kelab dan persatuan serta bermacam lagi tugas ‘perkeranian’ yang terpaksa dihadapi. Jadi apa bezanya keadaan sebelum dan selepas jawatan kuasa itu ditubuhkan?

Walaupun ada pembantu guru yang dihantar untuk membantu dan meringankan beban kerja guru, tetapi apa yang terjadi adalah sebaliknya. Pembantu guru ini diambil kesempatan pula oleh pihak pentadbir sekolah untuk meringankan kerja mereka sendiri. Akhirnya bukan guru yang mendapat manfaat daripada kehadiran pembantu guru ini, tetapi yang untungnya adalah pihak pentadbir sekolah.

Saya berharap agar kerajaan dan Kementerian Pelajaran bersikap lebih telus dan serius untuk menyelesaikan masalah beban kerja guru ini. Bukannya sekadar duduk di pejabat, menerima laporan daripada pegawai mereka dan kemudiannya membuat dasar yang tidak bersandarkan realiti sebenar masalah perguruan di negara ini.

MIENAMI,
Puchong, Selangor


Berita Harian Online: 4 Mei 2011

2 ulasan:

Awanama berkata...

DULU, KINI, SELAMA-LAMANYA SAMA SAJA. TUNGGULAH MASA HARI GURU THN NI. MUNGKIN ADA PENGUMUMAN YG SAMA KOT?

Awanama berkata...

Ada sapa cakap tak ada....

1) Mewujudkan tidak lebih 10 Jawatankuasa di sekolah.

2) Sekolah cari sendiri dan bayar sendiri jurulatih sukan bertauliah utk melatih budak dlm sukan.

3) dll