Oleh Amin Ridzuan Ishak
Tuntutan Cuepacs RM500 dibayar untuk penjawat awam tak kira daerah diteliti: KSN
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia mempertimbangkan secara serius tuntutan Cuepacs, supaya pemberian Elaun Sara Hidup (Cola) kepada kakitangan awam diselaraskan kepada RM500 sebulan di seluruh negara.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata beliau akan membawa permohonan kesatuan itu kepada pengetahuan kerajaan, dalam masa terdekat supaya satu kajian khusus mengenainya dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Katanya, kajian itu akan melihat secara mendalam mengenai kesan dan kesesuaian pelaksanaan tuntutan Cuepacs itu untuk jangka masa panjang, baik kepada kerajaan dan kakitangan awam itu sendiri.
"Banyak perkara perlu dipertimbangkan, antaranya kemampuan kewangan kerajaan untuk membayar Cola RM500 sebulan di seluruh negara.
"Kita kena lihat semua itu terlebih dulu dan tidak boleh dibuat secara serta-merta. Sebaliknya, ia perlu melalui prosedur betul... kajian lengkap yang mengambil kira pelbagai aspek," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan mesyuarat Majlis Kongres Cuepacs, kelmarin, yang salah satu cadangannya meminta kerajaan menyelaraskan Cola kakitangan awam kepada RM500 sebulan di seluruh negara.
Pemberian Cola kepada pekerja perkhidmatan awam pertama kali dilaksanakan pada 2006 sebagai langkah mengurangkan beban pekerja di bandar besar yang menghadapi kenaikan kos sara hidup.
Mesyuarat diadakan bertujuan membincangkan pelbagai isu berkaitan cadangan kerajaan membantu pengurusan perbelanjaan dan aliran tunai kakitangan awam.
Kongres itu bagaimanapun menolak cadangan pembayaran gaji dua kali sebulan dan pengurangan potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada tujuh peratus.
"Tidak semestinya apa yang mereka minta akan dapat dan saya berharap tidak akan ada sebarang bantahan daripada kakitangan awam sekiranya keputusan dibuat kerajaan berbeza dengan apa yang diharapkan.
"Mereka harus sedar yang tidak semua tuntutan boleh dipenuhi kerana kadang kala ada kekangan untuk kita berbuat demikian," katanya.
Ditanya bila beliau akan membawa perkara itu kepada pengetahuan kerajaan, Mohd Sidek berkata, beliau akan berbuat demikian sebaik saja menerima permohonan rasmi Cuepacs.
Berita Harian Online: 30 Jun 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan