Pengarahnya, Abdullah Mohamad, berkata siasatan terperinci perlu bagi memastikan tiada pihak yang teraniaya dalam kes itu, tetapi siasatan awal mendapati guru wanita terbabit sentiasa bertindak tegas untuk memastikan pelajarnya berjaya dalam peperiksaan, terutama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini.
"Kita difahamkan guru wanita itu sudah meminta maaf kepada keluarga pelajar berkenaan ketika melawatnya di rumah dan hospital. Saya tidak menolak kemungkinan guru itu tidak sengaja merotannya dan tidak perasan pinggang pelajar itu memang sudah cedera.
"Ini kerana, pelajar itu sudah lama tidak hadir ke sekolah selepas diberikan cuti sakit," katanya di sini ketika diminta mengulas perkembangan siasatan kes pelajar, Nurlieyana Nazran, 17, yang kini tidak boleh berjalan dan berdepan risiko lumpuh selepas dirotan guru wanita itu di kelas, Khamis lalu.
Abdullah berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh dari sekolah dan hospital bagi membantu siasatan kes itu yang akan dikendalikan dengan penuh berhati-hati dan mengikut prosedur sambil mengingatkan semua pendidik mematuhi garis panduan merotan pelajar, terutama pelajar perempuan.
Nurlieyana yang cedera di pinggang akibat terjatuh di dewan makan asramanya tiga minggu sebelum kejadian rotan itu, menerima hukuman berkenaan selepas gagal menjawab soalan matematik dikemukakan guru wanita terbabit.
Dia kini mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), manakala keluarganya sudah membuat laporan polis dan bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas sekolah berkenaan.
Berita Harian Online: 15 Julai 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan