Isnin, 7 Julai 2008

Keengganan JAJ isu sekolah agama rugikan pelajar, guru

SEBAGAI bekas guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) Johor, saya terpanggil untuk memberi pendapat mengenai keengganan Jabatan Agama Johor (JAJ) membenarkan SAR dijadikan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan yang dikendalikan Kementerian Pelajaran.

Saya pernah berkhidmat di sebuah SAR di Johor dan kini menyambung kerjaya yang sama di sekolah kerajaan.

Sebenarnya, SAR adalah antara sumber jalan penyelesaian kepada pelbagai permasalahan masyarakat terutama yang membabitkan masalah gejala sosial yang bagaikan tidak berkesudahan hingga sekarang.

Mengajar di SAR selama 10 tahun lalu memberikan saya suatu pengalaman berharga dan cukup bermakna. Namun, di sebalik kenangan manis itu, ada pihak cuba melenyapkan SAR walaupun SAR inilah tempat menghasilkan produk ulama.

Saya tidak faham mengapa JAJ enggan menerima bantuan Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pelajaran.

Alasan JAJ sehingga kini adalah bimbang sukatan al-Azhar akan terhapus sekiranya sekolah berkenaan dijadikan SABK. Apakah tiada pegawai JAJ yang berkepala kreatif mahupun inovatif untuk menyelesaikan perkara sekecil ini?

Sukatan al-Azhar tiada kena mengena dengan bantuan modal yang ingin diberikan kementerian selepas didaftarkan sebagai SABK. Sukatan al-Azhar sebenarnya boleh dikawal dikawal selia JAJ sendiri.

Jika bimbang sukatan itu terhapus, maka berilah alternatif untuk menyelesaikannya. JAJ seolah-olah takut dengan bayang-bayang sendiri.

Berikutan tindakan JAJ itu, guru SAR kini dinafikan kuota untuk mengambil Kursus Dalam Cuti Diploma Pendidikan, dinafikan gaji setaraf guru di kementerian, berdepan pula dengan masalah kelengkapan sekolah yang kurang, serta bebanan tugas yang terlalu banyak akibat daripada kekurangan guru.

Hasrat Kementerian Pelajaran untuk menyalurkan bantuan modal adalah hasrat yang mulia lebih-lebih lagi melepasi sempadan politik apabila kerajaan Kelantan dan Pusat bersetuju mendaftarkan semua SAR sebagai SABK.

Bayangkan, gaji pendahuluan seorang guru SAR Johor ialah RM1,095 dan lebih teruk, tiada tangga gaji! Apakah sebenarnya yang dimahukan oleh JAJ? Peruntukan yang diberikan setiap tahun hanya mencukupi beberapa bulan saja selepas majlis penyerahan cek, malah ada SAR di mana gurunya tidak mengambil gaji semata-mata ingin melihat operasi sekolahnya berjalan dengan lancar seperti biasa.

Pengarah JAJ dan pegawai kanannya sentiasa mengingatkan guru SAR di setiap kali perjumpaan atau majlis, iaitu sentiasa ikhlas dalam bekerja walaupun gaji kecil, bersyukur dengan kurniaan Allah serta cukup dengan apa yang ada.

Saya bukanlah ingin mendedah keaiban orang, tetapi sekadar ingin membela nasib rakan saya yang masih berjuang di dalam SAR walaupun ada di antara mereka terpaksa melakukan kerja tambahan untuk menyara hidup keluarga mereka.

Walaupun saya memilih untuk berkhidmat di luar daripada SAR, saya rasa SAR perlu dibela seperti `menatang minyak yang penuh', kerana SAR mampu meningkatkan kesedaran agama di kalangan masyarakat. SAR mampu menjadi elemen pendidikan yang lebih cemerlang dan menjadi aset kepada negara pada masa akan datang.

BEKAS GURU SAR,
MUAR, JOHOR.

Berita Harian Online: 7 Julai 2008

Tiada ulasan: