Isnin, 14 Julai 2008

Guru lulusan siswazah patut dapat layanan sama

PENGUMUMAN Perdana Menteri mengenai insentif kepada guru bukan siswazah yang melanjutkan pelajaran ke universiti amat dialu-alukan. Bagaimanapun, insentif ini tidak membabitkan semua guru yang melanjutkan pelajaran ke universiti, terutama guru yang dilantik ke PPPS DG 41 sebelum 1997 (DG3 pada masa itu).

Kami berharap kumpulan ini juga menikmati insentif itu, antara lain:

Bukan semua guru dapat melanjutkan pelajaran ke universiti kerana syarat kemasukan pada waktu (1990-an) itu memerlukan pengalaman mengajar selama lapan tahun ke atas;

Guru yang melanjutkan pelajaran menerima separuh gaji, dengan itu terpaksa membuat pinjaman bagi membiayai perbelanjaan keluarga;

Sanggup menghadapi cabaran meninggalkan keluarga demi mempertingkat ilmu dan menambah guru siswazah;

Tidak mendapat kenaikan gaji selama empat tahun dan kenaikan gred (walaupun layak ke gred B10-D8) ketika di universiti, dan

Tidak layak satu hadiah pergerakan gaji yang baru diberi mulai 1 Julai 2007.

Kumpulan ini adalah guru tua yang kebanyakannya kini berusia 52 tahun ke atas.

Kumpulan ini selepas menamatkan pelajaran di universiti, masuk ke gred PPPS pada tangga gaji pertama seperti siswazah muda lepasan universiti tanpa diambil kira pengalaman sebelumnya.

Kumpulan ini menunggu 10 tahun dalam DG41 untuk dinaikkan ke DG44, walaupun berkhidmat lebih 10 tahun pada gred bukan siswazah (C1, C2, T1, T2 dan T3).

Kami merayu kepada Perdana Menteri dan kerajaan supaya memberikan insentif tiga tahun pengalaman bukan siswazah disamakan dengan satu tahun gred siswazah kepada kumpulan guru (mahasistua) dan semua guru yang menyambung pelajaran di universiti tidak terhad kepada golongan guru yang sedang berada di DG41 pada masa kini saja.

Diharap segala usaha dan pengorbanan guru yang ingin meningkatkan ilmu serta mutu perkhidmatan tidak dihampakan.

  • KUMPULAN MAHASISTUA,
    Kuala Lumpur.

  • Berita Harian Online: 14 Julai 2008

    Tiada ulasan: