Rabu, 16 Julai 2008

UPSR bukan penentu - Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris

PUTRAJAYA - Keputusan kerajaan berhubung pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah rendah tidak akan dibuat semata-mata berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini semalam.

Beliau berkata, apa jua keputusan kerajaan, ia tidak akan memberi kesan kepada kumpulan pelajar sekolah rendah yang sedang mengikutinya kerana sebarang sistem baru yang dilaksanakan akan disesuaikan agar tidak menganggu pembelajaran pelajar terbabit.

"Saya tidak pernah menyatakan bahawa keputusan untuk mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris hanya akan dibuat berdasarkan keputusan UPSR tahun ini. Ia hanya menyumbang sedikit kepada proses membuat keputusan.

"Apa jua keputusan yang diambil, akan memulakan satu kumpulan baru di mana ia tidak akan menjejaskan pembelajaran dalam apa jua cara, bagi kumpulan pelajar yang terbabit sekarang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Program Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di sini.

Kerajaan memulakan projek perintis lima tahun pada 2003 untuk melaksanakan pembelajaran dua subjek dalam Bahasa Inggeris itu sebagai satu daripada usaha untuk meningkatkan kecekapan pelajar sekolah rendah dalam Bahasa Inggeris.

Projek perintis itu akan menjadi keputusan dasar sama ada untuk mengekalkan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau sebaliknya.

Hishammuddin berkata, keputusan sama ada untuk mengekalkan sistem sedia ada atau sebaliknya bukan mudah dan pihak tertentu tidak sepatutnya mempolitikkannya walau apa pun keputusan yang dibuat kerajaan.

KOSMO Online: 16 Julai 2008

Tiada ulasan: