Sabtu, 19 Julai 2008

Respons Isu: Apakah dasar PPSMI akan diganti?

Oleh Zainor Said

zainor@bharian.com.my

APAKAH dasar pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan pada 2003 akan diganti? Itulah persoalan yang menjadi fokus perbincangan persidangan meja bulat yang diadakan di Kementerian Pelajaran, Rabu lalu.

Adakah kementerian akan mengambil langkah ‘U turn’ untuk kembali kepada penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran kedua-dua subjek berkenaan seperti sebelum PPSMI dilaksanakan.

Jawapannya bergantung kepada maklum balas serta maklumat hasil daripada beberapa siri perbincangan meja bulat Kementerian Pelajaran, di samping mengambil kira pencapaian kumpulan pertama calon UPSR tahun ini yang terbabit dengan dasar PPSMI.

Bagaimanapun persidangan itu bukanlah bertujuan membuat sebarang ketetapan, sebaliknya kementerian mahu mengumpul sebanyak mungkin maklumat dan maklum balas berhubung impak ke atas prestasi pelajar secara menyeluruh.

Sebab itulah wakil pelbagai pihak diundang termasuk tokoh akademik, penyelidik, pengkaji dan pemikir untuk mendapatkan input serta pandangan berhubung isu berkenaan sebelum membuat keputusan muktamad mengenainya.

Kita sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan, sama ada meneruskan dasar PPSMI seperti dirancang atau kembali kepada penggunaan bahasa Melayu atau pun kekal dengan penggunaan dwibahasa seperti yang dilakukan sekarang.

Berdasarkan temu bual secara rambang dengan guru yang bertanggungjawab menentukan berjaya atau gagalnya dasar itu, mereka berpendapat kita harus kembali kepada penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran kedua-dua subjek ini. Pada masa sama, mereka juga mahu kementerian memantapkan strategi untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris sejak di peringkat sekolah rendah kerana mereka sedar bahasa itu amat penting dikuasai jika pelajar mahu terus bersaing dalam bidang kritikal.

Pendapat mereka sejajar dengan pandangan ramai ahli akademik yang antaranya menjalankan kajian terperinci berhubung kesan dasar PPSMI membabitkan murid sekolah rendah. Mereka berpendapat dasar itu gagal mencapai matlamat, sama ada dalam menguatkan asas bagi memperoleh maklumat dan ilmu sains teknologi atau pun mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

Perkembangan itu pasti diikuti dengan penuh minat oleh banyak pihak terutama ibu bapa dan pendidik. Bagi ibu bapa, isu itu amat penting kerana akan menentukan hala tuju pendidikan anak mereka pada masa depan, apatah lagi membabitkan subjek kritikal Sains dan Matematik.

Bagi kalangan pendidik pula, tanggungjawab yang dipikul kini menjadi begitu membebankan kerana pelbagai masalah termasuk keupayaan mereka sendiri dalam menguasai bahasa Inggeris. Sesetengahnya gagal melaksanakan dasar PPSMI sepenuhnya berikutan tahap penerimaan dan kefahaman murid begitu rendah apabila ia diajar dalam bahasa Inggeris.

Kajian juga mendapati sebahagian besar guru yang mengajar Matematik dan Sains terpaksa menggunakan campuran bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Hanya segelintir yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya, mungkin tidak sampai 10 peratus, malahan masih terdapat sebilangan guru yang terus menggunakan bahasa Melayu.

Impak ke atas prestasi murid adalah kebimbangan utama yang harus diambil kira dalam membuat sebarang perubahan terhadap dasar PPSMI. Terdapat jurang yang semakin melebar antara pelajar bandar dan luar bandar sepanjang dasar itu dilaksanakan. Selain itu pencapaian pelajar Melayu juga lebih rendah berbanding pelajar bukan Melayu, khususnya Cina dan India.

Sebarang keputusan dasar baru, kerajaan tidak harus membelakangkan keupayaan pelajar luar bandar yang masih dibelenggu dengan pelbagai kekurangan terutama kemudahan prasarana, pendedahan serta persekitaran yang jauh lebih mundur berbanding di bandar, khususnya di sekolah kebangsaan (SK).

Semua ini mempengaruhi pencapaian murid dan jika berpanjangan, kita khuatir ia akan menjejaskan matlamat kerajaan untuk mencapai nisbah 60:40 pelajar yang mengikuti bidang sains dan sastera di institusi pengajian tinggi, terutama di kalangan pelajar Melayu.

Berita Harian Online: 18 Julai 2008

Tiada ulasan: